Bagi ibu bapa yang pertama kali menimang cahaya mata sudah tentu kurang arif dalam beberapa perkara.
Terutama hal-hal berkaitan kesihatan anak kecil yang masih belum mampu berbicara.
Antara yang merungsingkan ibu bapa muda ialah apakah anak sedang asma atau selesema sahaja memandangkan kedua-dua simptom itu tampak sama.
Pakar Perunding Pediatrik di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), Dr. Angelina Amaladoss berkata, membezakan asma dan selesema adalah penting kerana simptomnya yang serupa namun implikasinya berbeza.
Selesema biasanya disebabkan oleh jangkitan virus dan menunjukkan simptom seperti demam mendadak, sakit badan, kepala dan tekak.
Ia juga boleh menyebabkan masalah gastrousus seperti muntah atau cirit-birit.
Gejala-gejala itu biasanya sembuh dengan cepat dan tidak memerlukan ubat.
Sebaliknya, asma melibatkan simptom yang lebih lama dan mungkin dikaitkan dengan sejarah keluarga seperti resdung, ekzema dan atopi.
Simptom batuk lebih ketara pada waktu malam, awal pagi dan bila penat lelah.
Mungkin juga terdapat gejala semput, pernafasan yang cepat, sesak nafas dan sakit dada serta tanda resdung dan ekzema.
“Mengenal pasti pencetus asma adalah sepenting memulakan rawatan yang sesuai.
“Asma memerlukan pendekatan komprehensif untuk pengurusan yang berkesan, tidak seperti selesema. Diagnosis awal dan tepat penting untuk mencegah komplikasi jangka panjang dan memastikan kualiti hidup kanak-kanak tidak terjejas,” katanya.
Rawatan bersasar
Mengulas mengenai pendekatan rawatan terkini, kata Dr. Angelina, penjagaan asma bergantung pada simptom dan pencetus yang khusus kepada kanak-kanak.
Rawatan disesuaikan untuk mengurangkan kesan sampingan dan menyasarkan paru-paru secara langsung.
“Dalam rawatan asma, tiada one-suit-fits-all. Rawatan disasarkan khusus untuk paru-paru, berbanding kaedah lama yang diambil secara oral dan menyebabkan lebih banyak kesan sampingan. Merawat masalah yang lain seperti resdung juga penting,” katanya lagi.
Untuk kes asma yang teruk, kemajuan yang paling ketara ialah memperkenalkan ubat baharu dan teknik invasif minimum.
Inhaler kekal sebagai rawatan utama namun untuk kes yang lebih serius, rawatan seperti antibodi monoklonal dan antagonis reseptor leukotriene (LTRA) digunakan untuk menguruskan gejala dengan lebih berkesan.
Oleh itu, ibu bapa disaran mewujudkan persekitaran rumah yang harmoni, bebas asap rokok, rokok elektronik, kemenyan, bulu haiwan peliharaan, patung mainan dan permaidani harus dielakkan.
Pelan pengurusan asma secara individu bukan sahaja menangani simptom dengan serta-merta tetapi juga meningkatkan kualiti hidup jangka panjang bagi kanak-kanak.
“Asma yang dikawal dengan baik membolehkan kanak-kanak berkembang dalam akademik dan sukan, mengurangkan lawatan ke klinik dan meningkatkan produktiviti secara keseluruhan.
“Ramai ahli sukan antarabangsa termasuk David Beckham dan Paula Radcliffe mempunyai asma yang terkawal dan mereka berjaya maju dalam bidang itu,” kongsinya.
Satu lagi aspek kritikal dalam menguruskan asma kanak-kanak ialah memahami sifat kroniknya dan memastikan pematuhan berterusan pada pelan rawatan.
Dr. Angelina menegaskan asma tidak boleh diubati walaupun ramai kanak-kanak tidak terjejas dengan asma apabila mereka semakin tua.
Oleh itu, mematuhi rawatan dengan konsisten adalah sangat penting.
Perjalanan menguruskan asma kanak-kanak adalah rumit, namun terdapat banyak harapan, berkat kemajuan dalam perubatan secara individu.
Inovasi ini membolehkan kanak-kanak yang menghidap asma menjalani kehidupan dengan riang.











