Kenapa takut ambil pil perancang?

Kenapa takut ambil pil perancang?

Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELIHATKAN di media sosial hari ini ramai dalam kalangan ibu muda mengeluh mengenai kehamilan jarak dekat.

Ramai rupanya menghadapi situasi sedemikian sehingga menjejaskan kesihatan mental si ibu lantaran terpaksa menghadapi kerenah anak yang masih bayi sambil ‘membawa perut’.

Lebih mengejutkan, ada yang tanpa segan silu meminta pendapat untuk menggugurkan kandungan hanya kerana tidak bersedia mengandung lagi selepas baharu sahaja melahirkan.

Melihatkan kepada situasi ini, di mana silapnya?

Sedangkan di negara ini ada pelbagai kaedah perancang yang disediakan oleh pakar perubatan.

Sebut sahaja kaedah oral, suntikan, hormon atau tanpa hormon, semuanya tersedia, tinggal digunakan mengikut kesesuaian masing-masing sahaja.

Pakar Perunding Kesuburan, Pakar Sakit Puan dan Obstetrik, Pusat Perubatan Sunway, Dr. Kannappan Palaniappan berkata, walaupun kefahaman
mengenai keperluan penggunaan perancang keluarga ada, namun ia masih diselubungi stigma negatif.

Puncanya, kerana perasaan takut tidak lagi subur selepas mengambil perancang.

“Masih ramai yang fikir jika guna pil perancang tidak boleh mengandung di masa depan.

“Sedangkan jika pengambilan ini dihentikan, ia dapat mengembalikan kesuburan seperti biasa.

“Malah ada penghidap endometriosis dan sebagainya diberikan rawatan pil perancang. Apabila rawatan dihentikan untuk mengandung mereka
mempunyai peluang yang sama seperti orang lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.

PENYEBAB KANSER?

Lebih mengejutkan, ada juga stigma yang menggeruni pil perancang kerana ia dikatakan penyebab kanser.

Sedangkan, tiada kajian kukuh daripada pakar perubatan yang mampu membuktikan kesahihan dakwaan tersebut.

“Setakat kita tahu tiada bukti secara perubatan bahawa pil perancang menyebabkan kanser.

“Cuma, bagi sesetengah golongan yang ada sejarah keluarga menghidap kanser, pil perancang mungkin meningkatkan risiko secara tidak langsung.

“Bagi yang ada sejarah keluarga boleh berjumpa doktor terlebih dahulu untuk lihat kesesuaian perancang yang boleh digunakan dan dapatkan pemeriksaan lanjut. Tetapi kes sebegini sangat jarang berlaku,” jelasnya.

Mengulas mengenai pilihan kaedah merancang yang ada pada ketika ini, katanya ia pelbagai dan meliputi pelbagai kaedah mengikut keselesaan individu.

Namun, yang paling popular ketika ini adalah pengambilan secara pil atau pil perancang.

Ujarnya, kaedah berkenaan semakin menjadi pilihan berikutan wanita hari ini lebih gemar mengawal sendiri perkara berkaitan kehidupan
dan kesihatan mereka.

Dalam erti kata lain, wanita lebih gemarkan kaedah yang membolehkan mereka menentukan sendiri waktu dan cara pengambilan perancang itu.

“Pil perancang ini boleh diambil sendiri berbanding kaedah Intra Uterine Contraceptive Device (IUCD) yang memerlukan pemasangan dan pembukaan daripada pakar.

“Begitu juga dengan implanon yang memerlukan pemasangan daripada pakar. Wanita sekarang lebih berpendidikan, maka mereka lebih suka mengawal sendiri kaedah merancang mereka,” katanya.

Mengenai kaedah untuk meningkatkan kefahaman dan fasiliti dalam aspek perancangan keluarga, Dr. Kannappan berkata, kerajaan atau pihak berwajib boleh mempertimbangkan mewujudkan platform penyampaian maklumat yang efektif kepada masyarakat.

Platform seperti hotline, dapat membantu wanita terutamanya memahami kaedah merancang dengan lebih baik.

“Misalnya, jika terlupa mengambil pil perancang, ramai yang keliru sama ada untuk buang pil itu atau makan sahaja dengan pil seterusnya.

“Mungkin boleh wujudkan satu platform untuk pengguna bertanya apa yang perlu dilakukan jika terlupa dan sebagainya. Tidak semestinya doktor yang perlu menjawab, jururawat terlatih pun boleh sebab semuanya sudah ada dalam protokol.

“Mungkin kementerian wanita dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) boleh pertimbangkan perkara ini,” cadangnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×