KURANG seminggu sebelum menyambut Aidilfitri, kita tidak dapat lari daripada membicarakan soal biskut raya yang bakal menyerikan hidangan di meja.
Tinjauan Seri mendapati antara biskut raya yang menjadi pilihan adalah almond london, tart nanas, cornflakes madu, semperit dan suji.
Menguatkan lagi pencarian, Seri menghubungi cef selebriti, Sue M. Arukin yang turut mengakui populariti lima biskut itu dalam kalangan orang ramai.
5 biskut raya popular:
-Almond London : Rasa rangup kacang badam panggang yang disaluti pastri rapuh dan disirami coklat memberikan rasa yang mewah seakan-akan coklat import premium.

-Tart nanas : Pastri rapuh menyaluti jem nanas yang masam manis memberikan keseimbangan rasa membuatkan biskut itu digemari pelbagai peringkat usia.
-Cornflakes madu : Kerangupan emping jagung yang disaluti madu memberikan kemanisan dalam setiap gigitan selain cara penghasilannya yang ringkas.
-Semperit : Tekstur biskut dengan rasa lemak berkrim yang cair di mulut menjadikan biskut ini kegemaran ramai.
-Suji : Keharuman minyak sapi dan rasa lemak daripada tepung susu membangkitkan selera lantas menjadikan biskut ini mempunyai peminat tersendiri.











