MASJID Jamek Dato’ Klana Petra Sendeng, Ampangan, Seremban yang kini menjangkau usia 184 tahun merupakan antara masjid tertua di Negeri Sembilan.
Dibina pada tahun 1840, ia mempunyai reka bentuk tinggi nilai sejarah dan kaya warisan tersendiri.
Baru-baru ini, ia terpilih menjadi antara lima masjid di negara ini bagi program Rumah Ibadat Hijau, Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC), Kementerian Alam Sekitar dan Kelestarian Alam.
Pengerusi masjid, Rosli Che Man berkata, penggunaan tenaga solar di masjid berkenaan adalah bagi menjimatkan belanja dan tenaga elektrik.
Malah ia selari dengan saranan kerajaan agar rumah-rumah ibadat mengadaptasi teknologi hijau mengguna pakai tenaga yang boleh diperbaharui menerusi program Rumah Ibadat Hijau.
“Secara purata, kami menjimatkan kos elektrik daripada RM5,000 kepada RM3,000 sebulan atau RM24,000 setahun.
“Penjimatan ini membolehkan ia disalurkan untuk aktiviti dan penganjuran program lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.
BUMBUNG BERTANGKUP
Konsep pembinaan rumah Allah yang mempunyai bentuk bumbung bertangkup tiga lapis ini menyerupai masjid-masjid di Melaka, Pahang dan Kelantan.
Bangunan utamanya berbentuk segi empat dan terdapat penambahan di bahagian kanan masjid sebagai penyambung ruang bagi menampung jemaah pada satu-satu masa.
Rosli berkata, lebih istimewa kerana ia mengekalkan reka bentuk masjid tradisi Nusantara iaitu bumbung berbentuk limas bertingkat yang menjadi tipologi masjid Nusantara.
“Bangunan ini didirikan menggunakan bahan daripada batu konkrit yang boleh bertahan lama.
“Pada asalnya, masjid ini dibina menerusi sumbangan wakaf orang ramai sewaktu pemerintahan Undang Luak Sungai Ujong Ke-10, Dato’ Klana Petra Kawal.
“Ia kemudian dibaiki serta diubahsuai menerusi inisiatif Dato’ Klana Petra Sendeng yang menjadi Undang Luak Sungai Ujong ke 11 pada tahun 1850 hingga 1872.
“Pada 1928, Dato’ Klana Petra Maamor Kasim, Undang Luak Sungai Ujong membina semula masjid dengan bangunan batu yang menjadi induk masjid sekarang,” katanya.
Masjid ini pernah beberapa kali dibaiki dan dinaik taraf iaitu pada tahun 1963, 1978, 1991, 1993 dan 2021.
Pada peringkat awal, ia mampu menampung 300 jemaah dan kini kapasitinya bertambah menjadi 3,000 orang khususnya ketika solat Jumaat.
Masjid ini turut mengurus dan mengawal selia tiga kawasan tanah perkuburan dan lapan buah surau.

SARAT AKTIVITI
Pihak masjid turut giat menganjurkan pelbagai aktiviti, menerusi program yang boleh menarik semua lapisan masyarakat ke masjid.
Kata Rosli, inisiatif berkenaan, sesuai dengan slogan ‘masjid kita, tanggungjawab kita’ bagi menarik kanak-kanak, remaja, dewasa dan warga emas ke masjid.
“Masjid ini menjadi lokasi pilihan bagi pelbagai aktiviti sosial seperti latihan silat, majlis perkahwinan, berkhatan dan perjumpaan persatuan.
“Insentif bersesuaian juga diberi kepada anak-anak remaja untuk menggalakkan mereka berkunjung ke masjid.
“Golongan asnaf juga tidak dilupakan dan masjid telah membuka satu sudut gerobok rezeki bagi mereka yang putus bekalan makanan asas.
“Kami yakin masjid ini akan terus kekal relevan memberi perkhidmatan kepada masyarakat setempat,” katanya.
Masjid ini sentiasa dibuka kerana tidak dipagar dan tidak berkunci sekali gus menjadi tempat persinggahan musafir tidak kira siang dan malam.
Lokasinya juga sangat strategik bersebelahan jalan utama dan laluan ke Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas).











