MUNGKIN ramai yang tahu tentang kewujudan produk Mustika Ratu, tetapi tidak mengenali pengasasnya, Mooryati Soedibyo, 96, yang bersusah-payah membesarkan empayar jamu berkenaan di serantau Asia termasuk Malaysia.
Tokoh terkemuka dalam jamu tradisional di Indonesia itu, mempunyai darah pahlawan dan merupakan cucu kepada Raja Jawa, Raja Kasunanan Surakarta Paku Buwono X, lapor Detik.com.
Dilahirkan di Surakarta pada 5 Januari 1928 dan membesar di Istana Kasunanan Surakarta, tempat tinggal golongan bangsawan Jawa yang sarat dengan kekayaan budaya dan tradisi.
Dibesarkan di tengah kemegahan istana, zaman kanak-kanak Mooryati penuh dengan pembelajaran yang kaya dengan adat istiadat dan nilai-nilai kebangsawanan sehingga membentuk pola kir dan tata nilai ibu lima anak ini.
Sejak kecil, wanita ini diasuh oleh neneknya, Eyang Tranggono dan mendapat pendidikan yang sangat tradisional iaitu menekankan kepentingan memahami dan menghormati budaya serta peradaban Jawa.
KELUAR ISTANA
Pada 1947, Mooryati mengambil keputusan berani meninggalkan kehidupan mewah di istana.
Di luar tembok istana, Mooryati terlibat dalam pelbagai kegiatan sosial dan kemanusiaan seperti Palang Merah Indonesia, menyebarkan kebaikan dan harapan kepada masyarakat.
Setelah perjalanan cinta yang penuh liku, Mooryati akhirnya menemukan pasangan hidupnya, Ir Soedibyo.
Meskipun berasal dari latar belakang berbeza, Mooryati melihat banyak sisi positif pada Soedibyo. Kedewasaan, kecerdasan dan sikap kelakian Soedibyo membuatnya menjadi pilihan tepat bagi dirinya.
Pasangan ini bernikah pada 8 April 1956 dan berpindah ke Bandung dan Medan, selepas suaminya dilantik sebagai Ketua Pejabat Wilayah Bahagian Perindustrian Sumatera Utara dan Aceh.
Sejak bernikah dengan Soedibyo, Mooryati lebih dikenali dengan nama Mooryati Soedibyo dan nama inilah melekat pada dirinya hingga akhir hayat.
MERINTIS MUSTIKA RATU
Mooryati mula tertarik dengan dunia perubatan tradisional dan kecantikan apabila terbiasa menghias diri bersama puteri-puteri istana yang lain.
Beliau memanfaatkan pengetahuannya tentang jamu dan ramuan tradisional Jawa untuk membantu isteri-isteri anak buah Soedibyo di Medan.
Mooryati mengajarkan mereka cara membuat jamu, menata rias pengantin dan menari tradisional Jawa dengan harapan dapat menjaga nilai-nilai tradisional dan meningkatkan pendapatan mereka.
Tanpa disedari, kehebatan dalam meracik jamu dan minat masyarakat pada produk kecantikan tradisional membuka jalan baginya untuk memulakan perniagaan.
Pada 1973, dengan modal terhad dan semangat besar, Mooryati memulakan usaha pembuatan jamu dengan nama Mustika Ratu.
Meskipun menghadapi pelbagai rintangan pada awalnya, termasuk kesulitan dalam menemukan bahan mentah dan peralatan produksi, Mooryati tidak pernah menyerah.
Ketekunan dan dedikasi membantunya berjaya mengembangkan perniagaannya menjadi sebuah perusahaan besar yang dikenal luas dengan produkprodukjamu dan kosmetik tradisionalnya.
Hasil pemasaran yang agresif dan efektif, produk-produk kecantikan tradisional Mustika Ratu mula dikenal secara meluas oleh masyarakat, baik di dalam negeri atau di luar negara.
Pengasas syarikat ini berjaya membina kilang ubat herba moden yang besar pada 1981 di Ciracas, Jakarta Timur, tanpa menggunakan pinjaman atau bantuan suaminya.
Dengan kekuatan 150 pekerja, perniagaan ini menjadi yang terbesar di Indonesia, ketika itu.
Jenama ini terkenal dengan rangkaian produk kecantikan dan kesihatan, menjangkau pasaran domestik dan antarabangsa termasuk Asia Tenggara, Eropah dan Afrika Selatan.
MATI MENINGGALKAN JASA
Mooryati bukan sahaja cantik dan berketurunan darah pahlawan, bahkan beliau juga seorang yang bijak.
Wanita ini merupakan alumni Universiti Saraswati, Univesiti Terbuka dan Universiti Sebelas Maret Surakarta sehingga menerima gelaran Doktor dari Universiti Indonesia dalam jurusan ekonomi.
Nama beliau tercatat dalam The Indonesia World Records Museum (MURI).
Mooryati adalah pemilik Yayasan Puteri Indonesia yang merupakan sebuah organisasi pemilik pertandingan ratu cantik tertua di negara itu.
Beliau menjadikan amalan mengambil jamu sejak muda sehingga membuatkan wanita ini masih kelihatan cantik, sihat dan bertenaga.
Dua tahun lalu, ketika mencecah usia 94 tahun, wajahnya masih kelihatan licin yang jelas menunjukkan jamu adalah rahsia awet muda yang sangat mujarab.
Pemergiannya ke negeri abadi 24 April lalu, disifatkan sebagai kehilangan besar dalam aspek pembangunan wanita, kecantikan dan kesihatan. Jenazahnya dikebumikan di Tapos, Bogor. – AGENSI










