SIAPA sangka dengan menggabungkan kain batik dan dulang buluh tradisional dapat menghasilkan karya seni dengan keunikan tersendiri.
Itu merupakan bahan yang digunakan artis muda, Nurul Diyana Kairulanuar, 22 dalam mengekspresikan ideanya melalui seni dengan maksud istimewa.
Katanya, idea tersebut tercetus semasa mendapat tugasan ketika sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang Seni Halus di sebuah universiti tempatan.
“Idea tercetus semasa saya masih menjalankan pembelajaran di mana saya diberi tugas untuk mencuba dan mempelajari media baharu.
“Saya memilih untuk menggabungkan kain batik dan juga buluh supaya seni tradisional di Malaysia dapat dikembangkan dengan lebih meluas,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Berkongsi tentang maksud di sebalik ciptaan hasil seni, Nurul Diyana berkata, karyanya menggambarkan tentang keakraban bersama seorang individu iaitu ibunya.
Cerita yang cuba disampaikan adalah berkaitan jasa dan pengorbanan seorang ibu dalam melahirkan, menjaga serta mengajar erti kehidupan.
“Sebenarnya karya saya ini menceritakan mengenai seseorang yang paling rapat dengan saya iaitu ibu saya.
“Kebanyakan media yang digunakan dalam karya terutamanya kain batik juga adalah kepunyaan nenek dan ibu saya,” katanya.
PENCIPTAAN IDEA
Penghasilan seni adalah tidak mudah dan ada kalanya memakan masa yang sangat lama.
Ia bergantung kepada beberapa aspek seperti kerumitan proses mengikut jenis seni, saiz dan pencarian idea yang ingin dilakukan.
Selain daripada ingin mengembangkan seni Malaysia, antara nilai yang ingin disampaikan adalah penghargaan kepada susuk wanita berstatus ibu.
Ini juga menjelaskan faktor kepada penggunaan kain batik milikan ibu yang digunakan dalam setiap seni yang dihasilkan.
“Saya ingin menitikberatkan supaya generasi muda terus menghargai ibu mereka sendiri dan tidak lupa akan asal usul kita.
“Saya memilih kain batik kepunyaan nenek dan ibu saya sebagai inspirasi supaya saya dapat mengekspresi perasaan dan minat saya dalam sesebuah karya,” katanya.

Berkongsi tempoh yang diperlukan bagi menyiapkan sesebuah karya, beliau berkata, pelaksanaan mengambil masa kira-kira satu hingga tiga minggu bergantung kepada kerumitan teknik digunakan.
Katanya, bagaimanapun, proses itu tidak termasuk pelaksanaan karya besar kerana memerlukan lakaran dan eksperimen.
“Karya saya yang bertajuk ‘Denial’ mengambil masa yang paling lama iaitu selama tiga minggu kerana saya cuba mencantumkan benang pada kain batik tersebut dengan menjahit. Saya juga gunakan lebih daripada dua kain batik untuk mempelbagaikan corak dan warna.
“Karya bertajuk ‘Bargaining’ mengambil masa paling singkat iaitu seminggu sahaja kerana saya ingin menghasilkan karya yang minimalis.
“Sebelum memulakan karya besar, saya membuat lakaran dan eksperimen dalam penggunaan bahan yang mengambil masa dalam tiga hingga empat bulan,” katanya.
BATIK, DULANG BULUH
Kewujudan batik dan dulang buluh semakin dilupakan terutama dalam kalangan generasi muda kini.
Ia merupakan satu warisan yang perlu sentiasa diketengahkan tanpa mengira zaman.
Berkongsi pendapat, Nurul Diyana berkata, ia masih belum terlambat untuk mengenali dan mendalami semula warisan itu.
“Seni dan tradisi seperti ini perlu diteruskan oleh generasi muda agar sentiasa relevan sepanjang masa.
“Mereka perlulah mempelajari sedikit sebanyak warisan batik dan dulang buluh.
“Supaya kedua-dua barangan tradisional ini tidak akan dilupakan dan diteruskan sehingga generasi yang akan datang,” katanya.











