“Apa agaknya reaksi kita jika dalam kubur atau di padang mahsyar kelak segala lenggok tari kita yang kurang sopan mempamerkan aurat ditayangkan Allah sebelum kita disabitkan sebagai pendosa yang pasti kita sesali?”
Soalan di atas mungkin dipandang sinis sesetengah pihak. Si penegur dianggap ekstrem, tidak sporting atau berlagak baik. Biar apa pun persepsi atau cemuhan orang, Islam menetapkan semua manusia akan diaudit atas segala tingkah laku mereka semasa di dunia ini (al-Baqarah:281)
Memandang sinis teguran terhadap dosa dilakukan, bukanlah perkara baharu dalam sejarah manusia. Nabi Lut a.s pernah disindir sinis sebagai manusia suci setelah baginda berterusan menegur kelakuan nafsu songsang kaumnya.
Ia direkodkan Allah dalam firman bermaksud: Dan tidak ada jawab dari kaumnya selain daripada berkata: “Usirlah mereka (Nabi Lut dan para pengikutnya yang taat) dari bandar kamu ini, sesungguhnya mereka adalah orang yang (mendakwa) mensucikan diri. (al-A’raf: 82)
Biarlah teguran ini dipandang sinis sekalipun, perkara mungkar perlu dicegah dan ditegur kerana sikap memandang remeh yang mungkar itu sendiri boleh mengundang bencana lain pula (al-Ma’idah: 78-79 & al-Anfal: 25).
Terbaharu, lagu Alamak Raya Lagi mencetuskan fenomena luar biasa dalam kalangan orang Melayu di Malaysia.
Ramai yang ghairah menyahut lagu tersebut dengan menghasilkan video joget tersendiri dan dikongsi pula secara terbuka dalam media sosial.
Tari gelek yang berkongsi video itu pula ada yang mendedahkan aurat.
Fenomena lagu ini perlu dinilai dengan suluhan wahyu agar segala gerak laku kita sebagai Muslim membuahkan pahala bukannya dosa.
Berikut analisis saya terhadap lagu itu:
1) Hiburan dan hari raya. Antara fitrah manusia ialah mahu berhibur ketika tibanya hari kebesaran yang membawa kegembiraan. Nabi SAW membenarkan perkara tersebut.
Perhatikan sabda Nabi SAW yang bermaksud: Aisyah r.ha menceritakan pada hari raya (Fitri atau Adha) Abu Bakar masuk bertemunya ketika dia bersama Rasulullah SAW.
Ketika itu ada dua kanak-kanak perempuan sedang menyanyi mengenai kebanggaan orang Ansar pada Hari Bu‘ath (perang antara Aws dan Khazraj). Abu Bakr berkata: “Suara syaitan” (sebanyak dua kali). Berikutan itu Nabi SAW menegur: Biarkan mereka wahai Abu Bakr! Setiap kaum ada hari raya dan hari ini adalah hari raya kita. (Sahih al-Bukhari, 3931).
Perlu diingat, kebenaran yang Nabi berikan dalam hadis ini masih terikat dengan batas agama. Si penyanyinya cuma anak perempuan kecil dan isi lagunya pula sejarah gemilang orang Ansar.
Pastinya ia sangat berbeza dengan rentak gelek badan penyanyi wanita yang mampu mencetus banyak dosa lain. Oleh itu, sebarang hiburan yang berdampingan dengan hari raya perlu selaras dengan kehendak agama.
2) Hari Raya perayaan agama yang dihadiahkan Allah kepada umat Islam dan sewajarnya ia disambut dengan panduan dan kehendak Allah.
Nabi SAW bersabda bermaksud: Anas menceritakan ketika Rasulullah SAW tiba di Madinah, penduduknya memiliki dua hari raya yang mereka bergembira padanya. Rasulullah bertanya: Dua hari apa ini? Mereka menjawab: Dua hari yang kami biasa bergembira padanya ketika Jahiliyah. Rasulullah SAW pun bersabda: Sesungguhnya Allah telah ganti kedua hari tersebut dengan dua hari yang lebih baik iaitu Aidul Adha dan Aidilfitri. (Sunan Abu Dawud, 1134).
Tambahan lagi, hari raya ini dikaitkan dengan ibadat puasa Ramadan yang bertujuan meranumkan buah takwa dalam diri.
Jika sambutan hari raya disambut tanpa panduan agama, maka semangat takwa yang dipupuk-subur dalam Ramadan lepas akan hilang nilainya.
3) Lirik lagu perlu ada nilai pendidikan untuk masyarakat. Penggunaan perkataan kontroversi ‘macam ba*** dalam lirik lagu tersebut yang boleh difahami secara terang sebagai kiasan carut, sangat tidak manis dipaparkan kepada umum. Bimbang nanti budaya carut berlapik sebegini akan menjadi ikutan pengkarya lain pada masa hadapan.
Ingatlah! Penulis lirik bukan hanya berperanan menyesuai kata dengan nada lagu, sebaliknya memikul tanggung jawab besar mendidik masyarakat dan membawa mereka kepada keredaan Allah.
Budaya carut lucah secara terang atau berkias bercanggah dengan kehendak agama (al-Baqarah: 83 & al-Israk: 53) dan satu rukun negara – kesopanan dan kesusilaan.
Penggiat seni merangkumi pencipta lagu, penulis lirik dan penyanyi perlu lebih peka dalam berkarya. Anda ada peranan besar mendidik masyarakat.
Selarikan fitrah mahu berhibur dengan landasan agama agar karya anda menjadi bank pahala dan bukannya legasi karat yang mungkin disesali kemudian hari.
Jadikan sabda Rasulullah SAW ini sebagai pemandu anda dalam berkarya: Sesiapa yang merintis dalam Islam satu perbuatan baik, lalu amalan itu diamalkan orang lain selepas itu, akan ditulis untuknya pahala bagi setiap orang yang melakukannya tanpa dikurangkan pahalanya walau sedikit pun. Manakala sesiapa yang merintis dalam Islam satu perbuatan buruk, lalu perbuatan itu dilakukan orang lain selepasnya, akan ditulis untuknya dosa bagi setiap orang yang melakukannya tanpa dikurangkan dosanya walau sedikit pun. (Sahih Muslim, 1017).
Orang awam, jangan mudah terpengaruh dengan sebarang cetusan trend seperti budaya rakam-joget-kongsi umum yang berlaku dalam kes lagu tersebut. Kita perlu bijak menilai dan bukan semua ikutan ramai memberi faedah dunia dan akhirat.
Jadikan Firman Allah ini sebagai panduan: Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta. (al-An’am:116)
Tanam perasaan malu sebelum bertindak mengikut sebarang trend yang tercetus. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: Sifat malu dan iman digandingkan secara bersama. Apabila satu daripadanya hilang, maka hilanglah yang satu lagi. (Mustadrak al-Hakim, 58).
Semoga rencana ini mampu menyuluh isu ini dengan lebih jelas dalam suluhan wahyu. Tiada niat lain dari penulis melainkan mahu kebaikan untuk semua sebagaimana Nabi Syuaib a.s pernah berkata kepada umatnya: Aku (menegur) bertujuan memperbaiki (kesilapan ini) sedaya upayaku; dan tiadalah aku beroleh taufik (bimbingan) untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali. (Hud: 88)
Penulis ialah Timbalan Pengarah, Hal Ehwal Pelajar Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.










