Beri motivasi, ganjaran galak anak berpuasa - Utusan Malaysia

Beri motivasi, ganjaran galak anak berpuasa

TIADA konsep paksaan dalam mendidik anak-anak untuk berpuasa. GAMBAR SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kaedah yang betul dapat membantu anak-anak untuk mengadaptasi amalan berpuasa dengan lebih mudah.

Pakar Kanak Kanak, Hospital Pakar Kanak- Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (HPKKUKM), Dr. Farin Masra berpendapat, konsep pendedahan secara berskala boleh diguna pakai oleh ibu bapa yang mahu mula mengajar anak berpuasa.

“Pada peringkat permulaan, anak- anak ini diberikan sarapan pagi seperti biasa di rumah, cuba berpuasa separuh hari di sekolah dan apabila balik rumah baru diberi makan tengahari.

“Kemudian, cuba kejut mereka pada waktu sahur. Sekiranya anak-anak ini boleh berpuasa separuh hari, kita galakkan pula mereka untuk tambah waktu berpuasa kepada ¾ hari dan akhirnya sehingga waktu berbuka.

“Bagi saya, tiada konsep paksaan dalam mendidik anak-anak untuk berpuasa,” katanya yang juga Pensyarah Fakulti Perubatan UKM.

MAKANAN SESUAI

Memastikan anak-anak mendapat gizi seimbang sewaktu menjalani ibadah berpuasa sangat penting.

Makanan sewaktu sahur adalah wajib bagi kanak-kanak untuk memberi mereka sumber tenaga sepanjang hari.

Makanan ini perlu terdiri daripada gizi seimbang mengikut piramid makanan.

Bagi menu sahur, perlu ada kandungan karbohidrat seperti nasi, roti, roti canai, mi atau bubur.

Menu ini juga perlu ada kandungan protein seperti ayam, telur, ikan, atau daging serta dilengkapi dengan sayur-sayuran.

Selepas makan sahur, anak perlu minum segelas air kosong atau susu serta mengambil dua bahagian buah-buahan seperti kurma, epal, betik dan sebagainya.

“Menu berbuka juga harus seimbang sepertimana menu sahur. Kurangkan pengambilan minuman atau makanan manis serta elakkan pembaziran.

“Pengambilan air yang secukupnya adalah sangat penting. Pastikan anak-anak minum air sebanyak enam hingga lapan gelas sehari,” katanya.

BOLEHKAH BERMAIN?

Mungkin segelintir ibu bapa bertanya, bolehkah anak-anak bermain di luar rumah kalau berpuasa?

“Adalah dibenarkan anak-anak bermain diluar namun harus mengikut kemampuan masing-masing, tidak terlalu ekstrem serta pastikan cuaca adalah sesuai iaitu tidak terlalu panas.

“Ibu bapa perlu pastikan waktu tidur anak-anak adalah cukup, dalam purata lapan jam sehari. Oleh itu, anak-anak digalakkan tidur awal, sebagai contoh tidur selepas menunaikan solat tarawih dalam jam 9.30 hingga 10 malam.

“Hal ini juga untuk memudahkan mereka untuk bangun awal pada waktu sahur,” katanya.

Beliau turut mencadangkan ibu bapa memberi pengiktirafan atau ganjaran sebagai pembakar semangat anak berpuasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×