PERKATAAN pesakit ,‘ditidurkan’ hangat diperdebatkan oleh orang ramai setiap kali timbul khabar seseorang pesakit perlu
ditidurkan.
Istilah ditidurkan juga amat digeruni kebanyakan orang kerana ia seolah-olah meletakkan pesakit selangkah ke alam abadi.
Pakar Bius dan Rawatan Rapi, Sultan Ahmad Shah Medical Centre, Pahang, Dr. Nazhan Afeef Mohd Ari @ Ghazali berkata, dakwaan itu
ada benarnya jika keadaan pesakit sangat kritikal.
“Jika pesakit tersangat kritikal, kadang-kadang rawatan yang diberikan sudah terlambat atau rawatan yang wajar tidak diberikan secepat
mungkin, bukan sahaja selangkah tetapi pesakit sudah ‘berlari’ ke alam abadi.
“Sekiranya ada alasan yang kukuh, langkah wajar termasuk kaedah rawatan adalah digalakkan, malah perlu untuk meningkatkan peluang
hidup pesakit,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah beliau, kadangkadang ia bukan lagi soal 50-50 iaitu 50 peratus berjaya, 50 peratus gagal tetapi mungkin lebih rendah.
Kejayaan rawatan bergantung kepada banyak faktor seperti umur, penyakit kronik, kegagalan organ yang dialami pesakit, tahap serius penyakit dan jenis penyakit itu sendiri.
“Namun jika pengambilalihan fungsi pernafasan atau yang disebut ditidurkan itu tidak dilakukan, peluang untuk pesakit hidup
adalah sangat tipis,” katanya.

ISTILAH MENGELIRUKAN
Dr. Nazhan Afeef berkata, terma ditidurkan sebenarnya adalah satu kesilapan yang perlu diperbetulkan.
“Mereka ini bukanlah ditidurkan tetapi sebenarnya memerlukan bantuan pernafasan kerana penyakit yang serius akibat kegagalan organ penting seperti jantung, paru-paru dan otak.
“Proses ini memerlukan satu teknik yang dipanggil intubasi yang bertujuan untuk memudahkan proses pengambilalihan pernafasan
dilakukan,” katanya.
Beliau yang juga Penolong Professor, Kulliyah Perubatan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, pesakit yang perlu dimasukkan ke
dalam Unit Rawatan Rapi (ICU), mengalami sekurangkurangnya kegagalan dua organ utama.
Bagi kes-kes yang masih mempunyai harapan, pesakit perlu di beri bantuan pernafasan dan sokongan ke atas organ yang gagal sementara rawatan yang spesifik diberikan.
Intubasi ialah proses memasukkan tiub pernafasan ke dalam trakea (saluran pernafasan utama).
Teknik ini membolehkan oksigen diberikan dengan lebih baik kepada pesakit serta mengurangkan beban kerja organ-organ yang gagal.
“Paling penting adalah semua organ utama, dapat menerima oksigen dan tekanan darah yang mencukupi.
“Setelah intubasi dilakukan, seterusnya bantuan pernafasan pula akan diberikan oleh mesin pernasafan mekanikal,” katanya.
HALANG JANTUNG PESAKIT TERHENTI
Dr. Nazhan Afeef berkata, bantuan pernafasan diperlukan apabila tahap oksigen dalam darah pesakit kekal rendah walaupun selepas diberikan bantuan oksigen melalui tiub di hidung atau topeng oksigen.
“Setiap kaedah bantuan ini ada had dan kelebihan masing-masing. Jika kaedah ini masih tidak berjaya, topeng oksigen kedap udara
dan bertekanan positif atau tiub di hidung yang menyalurkan oksigen bertekanan tinggi akan digunakan.
“Namun teknik ini bukanlah pengganti kepada intubasi dan ada hadnya terutama jika pesakit sudah tidak sedar atau pun tekanan darah yang sangat rendah. Jika tiada tindakan, jantung boleh berhenti dan pesakit boleh meninggal dunia,” katanya.
Tambah beliau lagi, bantuan pernafasan juga diperlukan sekiranya pesakit dalam keadaan renjatan (shock) di mana tekanan darah pesakit
terlampau rendah.
Keadaan ini akan menyebabkan aliran darah ke organ utama seperti otak, jantung, paru-paru, hati dan buah pinggang berkurangan.
“Akibatnya, tahap kesedaran akan menurun, jantung menjadi lemah, paru-paru tidak dapat mengeluarkan karbon dioksida
dan menerima oksigen dengan baik, hati dan buah pinggang akan mula menunjukkan tandatanda kegagalan.
“Intubasi perlu dilakukan bagi merawat pesakit dengan lebih baik sambil doktor menstabilkan tekanan darah dan merawat punca renjatan,”
katanya.
Organ utama iaitu jantung, paru-paru dan otak. Tiga organ yang lain adalah hati, sistem darah dan buah pinggang.
Kegagalan setiap organ utama akan menyebabkan gangguan global kepada badan pesakit.
Pesakit yang mengalami kecederaan otak misalnya akan mengalami tahap kesedaran rendah, hilang kemampuan untuk mengawal ritma
pernafasan.
Ia juga menyebabkan kegagalan keupayaan melindungi saluran pernafasan dari cairan perut atau darah daripada masuk ke dalam paru-paru juga.
PESAKIT DAN WARIS BERHAK BUAT KEPUTUSAN
Dr. Nazhan berkata, pesakit mempunyai pilihan dari segi undang-undang untuk memutuskan sama ada mereka ingin diintubasi atau tidak.
Namun arahan itu hendaklah diberikan secara awal (advanced directive order) dan dalam keadaan bertulis seperti melakukan wasiat.
“Pesakit juga berhak untuk menarik balik arahan itu pada bila-bila masa. Mereka berhak melantik sesiapa sahaja semasa pesakit masih sihat
sebagai wakil yang sah (‘legally appointed representative’ (LAR) atau lasting power attorney (LPA)’ seperti di United Kingdom.
“Wakil boleh membuat keputusan penting jika pesakit hilang kemampuan untuk membuat demikian. Ia tidak semestinya waris terdekat
seperti isteri, anak-anak dan sebagainya,” katanya.
Dr. Nazhan Afeef berkata, biasanya, apabila pesakit kritikal dan tidak mampu untuk membuat keputusan, tiada arahan awal bertulis
wujud dan tiada waris atau wakil lantikan sah hadir.
Maka, doktor terpaksa melakukan pengambilalihan pernafasan tanpa menunggu wakil atau waris.
Justeru, ada waris yang mempertikaikan tindakan berkenaan tetapi waris ini tidak memegang kesepakatan ahli keluarga yang lain ataupun surat kuasa dalam memutuskan hal itu.
“Perkara ini juga agak kontroversi kerana waris juga berkemungkinan mempunyai kepentingan tertentu di atas kematian pesakit dan
sebagainya.
“Oleh itu, sebagai jalan tengah, kebiasaannya doktor yang merawat akan mengadakan perbincangan bersama keluarga dan mendapatkan maklumat sebenar daripada semua ahli keluarga jika tiada LAR atau LPA wujud,” katanya.
Ahli keluarga juga akan dimaklumkan mengenai keadaan pesakit dan kenapa rawatan itu diberikan.
Jika ahli keluarga memutuskan untuk tidak mahu meneruskan rawatan setelah maklumat diberikan oleh mereka yang layak (kebiasaannya doktor pakar yang merawat), maka pihak doktor akan merekodkan keputusan itu.
Peratus risiko meninggal dunia selepas intubasi
DR. Nazhan yang sedang menjalani latihan subkepakaran Neuroanestesiologi di St. George’s University Hospitals, London, berkata, peratus kematian lebih tinggi sekiranya keadaan pesakit sangat kritikal dan mempunyai banyak kegagalan organ.
Ujarnya, bagi pesakit yang kurang tenat dan memerlukan bantuan pernafasan dalam jangka masa yang pendek maka, peratusan untuk hidup
sangat tinggi .
“Ini bergantung kepada tahap kegagalan organ dan jangka masa untuk organ itu berada dalam keadaan stabil.
Ia juga bergantung kepada jenis penyakit. Sebagai contoh, jangkitan kuman di dalam darah atau sepsis, peratus kematian sejak 10 tahun
kebelakangan tidak kurang dari 50 peratus.
“Berapa lama pesakit ditidurkan bergantung kepada masalah semasa pesakit, respon kepada rawatan yang diberikan, kecederaan kekal ke
atas organ yang terjadi semasa saat kritikal, fungsi organ terkini, kekuatan otot pesakit, tahap sistem imun, tahap nutrisi, kekuatan psikologi dan lain-lain,” katanya.
Katanya lagi, sekiranya pesakit pulih dengan cepat, proses mengeluarkan tiub pernafasan boleh dilaksanakan.
Pesakit hanya ditidurkan di masa awal (fasa akut) untuk merehatkan organ yang gagal, dan semasa menunggu mereka menunjukkan tindakbalas kepada rawatan yang diberikan.
Dr. Nazhan Afeef berkata, sebelum bantuan pernafasan dan intubasi dilakukan bantuan oksigen seratus peratus akan diberikanterlebih dahulu jika masa mengizinkan.
“Namun jika pesakit dalam keadaan tenat dan bacaan oksigen di dalam darah amat rendah atau dalam keadaan renjatan, proses intubasi ini
perlu dilakukan dengan lebih cepat iaitu kurang daripada empat minit.
“Ini kerana selepas tempoh itu, risiko kecederaan otak boleh terjadi kerana otak antara organ yang menggunakan oksigen tinggi
dan sel otak tidak dapat bertahan lama dalam kondisi tahap oksigen yang rendah.
Tahap oksigen yang rendah juga amat berbahaya kepada organ-organ utama lain,” katanya.
Bagi memastikan pesakit t idak sedar dan tidak bergerak semasa proses intubasi ini dilakukan, ubat tahan sakit, ubat tidur dan ubat lumpuh akan diberikan bagi memudahkan doktor
memasukkan tiub pernafasan.
“Secara umum, proses intubasi ini memerlukan latihan tertentu dan bukanlah suatu yang mudah serta bebas komplikasi.
“Oleh itu, kebiasaannya jika keadaan mengizinkan doktor akan menjelaskan terlebih dahulu kenapa proses intubasi ini perlu dilakukan dan apakah komplikasi yang boleh terjadi,” katanya.










