Si cilik peninju wanita pertama Perlis

Si cilik peninju wanita pertama Perlis

DUA sekawan ini menjadi perintis sukan tinju wanita di Perlis.- . – UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA rakan seusia memilih sukan yang sinonim dengan budak perempuan seperti bola jaring dan olahraga, Izzah Azzalea Abdul Mu’izz
dan Nur Afreen Damia Juzaini sebaliknya lebih tertarik dengan sukan tinju.

Izzah Azzalea, 10 dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kayang menyertai tinju sejak setahun lalu.

Selain minat, beliau mengambil inspirasi daripada datuknya, Jusoh Man, 80, yang merupakan seorang peninju yang mewakili negeri ini ketika era 70-an.

“Saya mengimpikan untuk menjadi peninju wanita yang hebat, sekali gus ingin mewakili negara.

“Biarpun tidak ramai wanita meminati sukan yang sinonim dengan lelaki ini, tetapi saya tidak takut.

“Saya sentiasa bersemangat setiap kali berlatih dan bertarung,” kata anak kepada pasangan Ahmad Zamri Jusoh,49, dan Zalika Arais,44, ini.

Izzah Azzalea menjalani latihan bersama barisan jurulatih, sekurangnya lima hari seminggu di gelanggang Majlis Sukan Negeri (MSN) di
Kangar.

Selain di pusat latihan, Izzah Azzalea turut menjalani latihan bersama datuk yang memberi tunjuk ajak teknik pukulan dan pergerakan.

RAJIN BERLATIH

Nur Afreen, 10 dari SK Tambun Tulang menyertai latihan tinju sejak lima bulan lalu.

Beliau menjalani latihan di gelanggang MSN setiap hari Isnin sehingga Jumaat selama dua jam bermula 4.30 petang sambil ditemani ayahnya,
Juzaini Ramli,48,.

Anak keenam daripada tujuh beradik ini turut menanam tekad untuk mewakili negara dalam sukan tinju sekali gus mencipta sejarah Perlis.

“Sebelum ini, saya kerap mengikut abang berlatih, sebelum timbul minat untuk turut serta dalam sukan tinju.

Masa mula datang menyertai latihan, Izzah sudah ada sekali gus adalah rakan ‘sparing’.

“Mula-muka memang takut namun apabila sudah dapat teknik yang betul ia jadi lebih mudah. Ayah juga sangat memberi sokongan penuh untuk saya terlibat dalam sukan tinju dan mahu mengembangkan lagi bakat saya ke peringkat lebih tinggi,” katanya yang menjadikan
legenda tinju dunia, Allahyarham Muhammad Ali sebagai idola.

Raut wajah comel ini, bertukar lincah dan berani di atas gelanggang pertaruhan.

Menariknya, si cilik ini berjaya mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi perintis sukan tinju wanita di Perlis.

Malah penyertaan mereka dalam sukan berkenaan bukan sekadar suka-suka, sebaliknya bertekad mewakili negeri dan negara dalam meraih pingat dalam kejohanan pada masa depan.

Untuk rekod, Perlis tidak pernah mempunyai atlet wanita bagi acara tinju malah keterlibatan Izzah Azzalea dan Nur Afreen mampu menjadi
pemangkin bagi mengubah stigma masyarakat terhadap sukan berkenaan khususnya dalam kalangan wanita di samping menarik lebih ramai
lagi penyertaan pelapis muda selepas ini.

PARA peninju bergambar bersama barisan kejurulatihandi gelanggang MSN, Kangar, Perlis baru-baru ini

PROJEK ATLET

Izzah Azzalea dan Nur Afreen mempunyai potensi besar dalam sukan tinju selain menjadi perintis wanita pertama di Perlis yang
menyertai tinju ini.

Ketua jurulatih tinju negeri, Prem Kiang, 58, berkata, dalam tempoh tujuh tahun ke depan, jika terus giat menjalani latihan,nama kedua atlet ini mampu melonjak naik khususnya dalam Sukan Malaysia (Sukma).

“Mereka adalah projek atlet wanita bagi Persatuan Tinju negeri dengan dibantu oleh MSN kerana mempunyai potensi dan semangat juang tinggi dalam sukan ini.

“Selain bersemangat dan mempunyai potensi, ibu bapa mereka juga memberikan dorongan yang padu.

“Dorongan sangat penting, kalau dilihat, ibu Izzah setiap hari datang menemani anaknya dan begitu juga bapa kepada Nur Afreen.

Insya-Allah penyertaan dua kanak-kanak ini akan menjadi tarikan kepada mereka yang lain menyertai sukan ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN