Tujuan asal membuat penyelidikan pada 2018 bagi menghasilkan air untuk bateri namun sebaliknya membawa kepada formula unik untuk minyak wangi.
Campuran beberapa bahan kimia hasil penyelidikan Pensyarah Kanan dan Pakar Kimia, Fakulti Sains Gunaan Universiti Teknologi Mara (UiTM), ChM. Dr. Mohd. Azri Ab. Rani, itu menghasilkan bahan yang tidak diduga iaitu fiksatif, agen pelekat bau-bauan.
Agen pelekat atau gam berkenaan didapati boleh mengurangkan kadar kemeruapan minyak wangi yang menghasilkan kesan bau tahan lama berbanding minyak wangi biasa.
“Bila kami membuat pencarian struktur bahan ini atau kegunaan gam ini, kami mendapati ada orang pernah mempatenkannya untuk formula bagi menghasilkan penyegar udara.
“Bagaimanapun pada masa itu, tiada paten untuk membuat minyak wangi lagi. Dari situ, timbul idea untuk kami terokai pembuatan minyak wangi menggunakan gam itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Gam ini diperbuat daripada bahan semulajadi iaitu tumbuh-tumbuhan tempatan. Ia berperanan memegang aroma dihasilkan minyak wangi yang akan meruap secara sangat perlahan, menjadikan aroma berkenaan tahan lama sehingga 72 jam.
Ia berbeza dalam kebanyakan minyak wangi di pasaran yang biasanya aroma dihasilkan mampu bertahan antara tujuh hingga lapan jam saja untuk sekali semburan.
Selepas dua tahun, dengan sokongan UiTM, Mohd. Azri mengasaskan koleksi minyak wangi yang dikomersialkan ke pasaran tempatan di bawah produk berjenama Dr. Azri’s Perfume.
“Pertama kali UiTM mencatat sejarah selepas berjaya menghasilkan haruman yang sudah dijual di platform membeli belah sehingga mencecah jualan 8,000 botol,” katanya yang menyertai UiTM sejak 2012.

Mengulas mengenai cabaran, katanya menghasilkan fiksatif perlu menggunakan bahan asal yang tulen.
“Bila ada formula, kita perlu mengikut kuantiti dalam formula berkenaan sebab walau sedikit berbeza, bau akan jadi lain.
“Kami juga perlu pastikan apa yang dihasilkan di makmal, sama dengan yang dikeluarkan oleh kilang untuk keluaran berskala besar,” katanya.
700 AROMA
Pada masa ini, sudah ada 700 aroma dihasilkan Azri di makmalnya terletak di UiTM Shah Alam antaranya bau-bauan berasaskan buah, bunga dan musky.
Mohd. Azri berkata, haruman paling laris adalah Mysunset yang menawarkan aroma berasaskan buah-buahan, bunga-bungaan dan aroma manis.
Haruman signature digemari ramai adalah Founders Fav dan haruman terbaharu, Angel yang turut dikenali sebagai wangian tanpa dosa.
Bersaiz 30 mililiter (ml) produk ini dijual pada harga RM39.90.
Walaupun saiz agak kecil tetapi ia mampu memberikan sebanyak 596 semburan. Ia sesuai digunakan untuk lelaki dan wanita.
“Apabila menghasillan minyak wangi, bau mesti lebih sedap daripada yang ada di pasaran. Justeru, saya juga ‘membedah’ haruman berjenama terkenal di pasaran bagi memastikan haruman dihasilkan lebih baik.
“Ketahanan setiap minyak wangi berkenaan juga akan diuji. Biasanya haruman daripada kebanyakan minyak wangi berjenama terkenal di pasaran bertahan sekitar tujuh hingga lapan jam saja,” katanya.
Makmal Mohd. Azri hanya untuk menghasilkan formulasi minyak wangi yang dihantar ke kilang dengan diiktiraf Good Practitioner Manufacturing (GMP) untuk penghasilan berskala besar dan pembungkusan.
Minyak wangi yang dihasilkan turut mempunyai tanda halal daripada JAKIM dan Sijil MYSTI.
‘Lama wangi kalau sembur pada anak tudung’
MINYAK wangi disemburkan pada anak tudung dapat memastikan aromanya bertahan lebih lama.
Apabila suhu di bahagian kepala panas, bau atau aromanya akan meruap.
Pakar Kimia ini berkata, dari situ kita tahu tempoh daya ketahanan pewangi.
“Minyak wangi juga boleh disembur pada sejadah untuk melihat ketahanan aromanya.
“Sebaiknya kita kena tahu jenis pewangi atau aroma yang diinginkan. Elakkan campur penggunaan minyak wangi daripada jenama berbeza pada satu-satu masa,” katanya.
Tambah Mohd. Azri, apabila membeli minyak wangi, sebaiknya jangan terus beli terutama minyak wangi yang tidak pernah digunakan sebelum ini.
Ini kerana setiap pewangi ada tahap bau-bauannya iaitu bau paling atas (topnote), pertengahan (middle) dan bau asas (base).
“Bila pergi kedai minyak wangi, kita akan menghidu bau yang pertama itu. Bau itu tidak akan kekal lama. Selepas beberapa jam, barulah akan keluar bau pertengahannya. Tidak lama selepas itu, barulah keluar bauan yang asas.
“Bau yang pertama, kita akan suka bau itu saja dan bau yang kedua pula, kita mungkin tidak suka. Ini menyebabkan minyak wangi yang dibeli akhirnya jarang dipakai kerana tidak sesuai dengan keininginan kita,” katanya.
Nasihatnya sebelum membeli minyak wangi, sebaiknya sembur dulu ke lengan dan kemudian berjalan-jalan dulu ke tempat lain sekurang-kurangnya selama dua jam.
Dalam tempoh itu, bau yang kedua akan keluar diikuti yang ketiga. Cara ini menentukan sama ada haruman dihasilkan sesuai dengan diri atau sebaliknya.
Justeru katanya, minyak wangi biasanya mempunyai aroma awal atau top note yang cantik untuk memikat pembeli. Ini kerana aroma top note yang mula-mula keluar dulu selepas disemburkan.
“Proses ini berlaku kerana terdapat beberapa campuran kimia di dalam satu botol pewangi, yang setiap satunya ada beratnya tersendiri. Bau lemon ada beratnya, bau bunga ada beratnya.
“Jadi, aroma yang paling ringan beratnya akan keluar dulu sebagai top note, dikuti oleh aroma hasil campuran kimia yang seterusnya sehingga bau terakhir,” jelasnya yang mengakui minat dengan minyak wangi sejak kecil.
Mohd. Azri berkata, selepas menghasilkan tujuh jenis pewangi, penyelidikan dalam minyak wangi akan diteruskan bagi menghasilkan pelbagai produk berasaskan wangian seperti lilin wangi.
Lilin wangi menggunakan minyak masak terpakai menghasilkan aroma berasaskan lemon yang menyegarkan dan bau kek yang manis.
Malah sejak setahun lalu, beliau turut berjasama dengan Felda (FGV) untuk menghasilkan sabun mandi dan pencuci pinggan menggunakan minyak kelapa sawit.
“Tahun ini pelajar juga berminat untuk menghasilkan pupur wajah (facemask) menggunakan lidah buaya atau aloe vera dan madu yang turut akan dikomersialkan.
“Impian saya mahu melihat gabungan penyelidikan akademik dan industri dalam satu kawasan. Sebagai contoh, di kilang berhampiran makmal penyelidikan seperti masa saya belajar di Australia dulu,” katanya.
Di mata Mohd. Azri, minyak wangi adalah pelengkap diri. Walaupun sudah bersiap cantik tetapi tanpa pewangi seperti tidak lengkap penampilan.
“Haruman lambangkan keperibadian. Angel umpamanya, digemari orang yang suka bau menyegarkan.
“Ada orang mahu aroma yang tidak terlalu menonjol tetapi ada juga yang suka bau minyak wangi yang tertinggal di belakang apabila berjalan. Mereka mahukan sesuatu wangian itu menjadi identiti diri mereka,” katanya.










