Terapi bercucuk tanam

Terapi bercucuk tanam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seronok melihat laman rumah dipenuhi tumbuhan segar berwarna-warni dan pelbagai bentuk.

Disebabkan itu, Kaunselor Institusi Pendidikan Tinggi Mara, Noorhidayati Tengku Mohamed memilih menanam sayur-sayuran dan bunga-bungaan sebagai salah satu kaedah terapi diri.

Katanya, melihat sayuran hijau yang tumbuh segar di depan mata menjadikan dirinya leka menikmati keindahan hasil berbudi pada tanah.

Dalam masa sama, tanaman tersebut turut menenangkan minda dan jiwanya terutama setelah penat bekerja.

“Bahkan. saya turut memberikan anak-anak pokok lebihan semaian secara percuma kepada rakan-rakan sekerja.

“Secara tidak langsung saya dapat berkongsi aktiviti sihat dengan rakan-rakan sekali gus menyokong kempen ke arah kesihatan mental yang baik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau yang berpengalaman selama lebih 10 tahun sebagai kaunselor menyifatkan warna hijau merupakan identiti alam semulajadi.

“Mengikut pandangan psikologi, warna hijau sangat membantu seseorang yang tertekan untuk meneutralkan kembali mood dan menyeimbangkan emosi.

“Ini kerana elemen hijau sinonim dikaitkan dengan ketenangan, kesegaran dan kedamaian,” jelasnya.

Antara tanaman yang menghiasi laman kediamannya yang terletak di Selangor itu ialah sayur kangkung, terung, cili padi di samping ulaman pegaga, ulam raja dan selom.

Jimat masa
Paling penting, katanya, kaedah terapi itu turut membantu menjimatkan masanya sebagai seorang wanita bekerjaya yang sentiasa sibuk.

“Saya memang tanam untuk kegunaan sendiri sebab sibuk bekerja, saya jarang ke pasaraya untuk membeli barang dapur.

“Jadi, saya manfaatkan hasil tanaman untuk kegunaan seisi keluarga dan berkongsi dengan kawan-kawan dan jiran tetangga. Bukan sahaja sihat, bahkan bebas daripada penggunaan sebarang racun serangga perosak,” tambahnya yang mula bercucuk tanam sejak 2014.

Tanaman hiasan
Wanita berusia 39 tahun ini turut menanam pelbagai jenis flora antaranya mawar.

Bagaimanapun, katanya, mawar lebih susah dijaga kerana memerlukan perhatian yang teliti untuk kekal segar dan subur.

“Guna baja dan racun kimia berjadual secara konsisten kerana mawar sensitif kepada air yang banyak dan mudah diserang serangga perosak serta kulat,” ujarnya.

Berkongsi kaedah penanaman yang diamalkan, Noorhidayati berkata, elemen asas seperti tanah yang sesuai, air, baja dan cahaya matahari mencukupi merupakan perkara penting.

“Bila semua keperluan asas pokok dipenuhi, pokok pasti akan subur dan membesar dengan sihat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya