SELARAS untuk menggalakkan masyarakat membeli barangan buatan tempatan, Persatuan Pereka Bumiputra Malaysia (MBDA) mengambil inisiatif mengadakan pertunjukkan fesyen, baru-baru ini.
Seramai sembilan usahawan fesyen dan gaya hidup terlibat dalam acara sempena Karnival Barangan Malaysia 2023 anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang berlangsung di Pusat Konvensyen di IOI City Mall, Putrajaya itu.
Antaranya ialah Kashfi Zulkufli, Rasta Rashid, Muhd. Firdaus Ahmad Kamal, Nurfatinah Mohd. Rashidee dan Echenta Fadzil.
Yang hadir sama, Pengasas MBDA, Bon Zainal Harun.
Kashfi berkata, platform itu secara tidak langsung dapat mempromosikan hasil-hasil rekaan mereka sekali gus menarik orang ramai untuk menyokong barangan dan industri tempatan.
“Kesemua produk yang dipamerkan dan dijual dalam karnival ini adalah 100 peratus barangan buatan tempatan.
“Paling menarik, MBDA juga akan membawa pereka-pereka terbang ke Brunei sempena Hari Raya Aidilfitri bagi mempromosikan koleksi Syawal masing-masing,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, inisiatif itu pertama kali dirintis persatuan berkenaan dalam usaha meluaskan lagi pasaran produk tempatan di samping memenangi hati rakyat negara jiran.
Katanya, selain peragaan fesyen, antara aktiviti lain yang dirancang ialah pameran dan jualan sepanjang seminggu program itu berlangsung.
Walaupun pelanggan berbeza negara dan gaya, namun ujarnya, sentuhan Malaysia masih tetap dikekalkan dalam setiap rekaan.
“Rakyat Brunei sinonim dengan gaya tudung dan pakaian tertentu, tetapi MBDA memberi jaminan akan membawa suntikan baharu dan kepelbagaian dalam koleksi Aidilfitri yang akan diterbangkan ke sana.
“Ke mana sahaja kami pergi, identiti tempatan ada diselitkan dalam setiap rekaan bagi memastikan orang luar kenal pereka-pereka Malaysia,” katanya yang turut melancarkan koleksi minyak wangi dalam majlis itu.
Utamakan produk tempatan
Dalam pada itu, Bon Zainal berkata, pengguna perlu bijak memilih dengan mengutamakan produk buatan tempatan ketika bergaya.
Hal itu kerana, kualiti barangan keluaran Malaysia kini setanding dengan produk-produk import dan jenama terkemuka dari luar negara.
“Biarpun fesyen bersilih ganti tetapi sebagai warganegara kita kena bangga dengan produk tempatan.
“Siapa lagi yang akan menggunakan barangan Malaysia, jika bukan kita?” soalnya lagi.










