Jingga gelap, merah bata diramal warna tema Aidilfitri 2024

Jingga gelap, merah bata diramal warna tema Aidilfitri 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHUN 2023 menyaksikan rona hitam diangkat sebagai warna tema Hari Raya Aidilfitri paling popular di negara ini.

Bukan sahaja selebriti, malah sebahagian besar masyarakat turut memakai persalinan gelap di hari pertama lebaran.

Menjelang 2024, rona gelap sekali lagi dijangka trending dan menghangatkan suasana sambutan Aidilfitri, tahun depan.

Warna itu ialah jingga gelap (burnt orange) dan merah bata (brick red).

Pereka fesyen dan pengasas bersama Thalia, Muhd. Firdaus Ahmad Kamal berkata, kedua-dua warna itu mula diminati ramai sejak awal tahun lagi.

Namun, populariti warna itu makin melonjak apabila pelakon, Intan Najuwa memilih jingga gelap sebagai baju resepsi dan tetamu di hari bahagianya pada 18 Ogos lalu.

Suri hati kepada ahli perniagaan, Datuk Ahmad Asraf Azman itu tampil anggun dengan sentuhan kurung songket rona itu.

“Majlis perkahwinan Intan Najuwa secara tidak langsung menaikkan lagi minat rakyat Malaysia terhadap warna ini.

“Jika 2023, hitam jadi warna pilihan ramai tetapi pada 2024, pola itu bakal beralih kepada jingga gelap dan merah bata,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Beliau yang juga ahli Persatuan Pereka Bumiputra Malaysia (MBDA) berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ramalan fesyen 2024.

Muhd. Firdaus Ahmad Kamal

Bukan untuk lelaki sawo matang

Bagaimanapun, warna jingga gelap tidak sesuai dipakai oleh lelaki Malaysia yang berkulit sawo matang.

Penggunaannya hanya akan membuatkan kaum Adam nampak lebih gelap.

Muhd. Firdaus berkata, rona itu tampak menyerlah apabila dipakai oleh wanita dan lelaki berkulit cerah.

“Jujurnya bukan semua jenis oren sesuai dengan kulit sawo matang orang Melayu dan rakyat Malaysia.

“Oleh itu, saya mohon wanita-wanita agar mempertimbangkan faktor kulit suami dan anak lelaki anda sebelum memilih warna ini sebagai uniform Aidilfitri 2024,” katanya.

Ujar Muhd. Firdaus, rona merah bata lebih cocok jika mahu digayakan kaum Adam berbanding jingga gelap.

Trend pastel berakhir

Sejak dua tahun lalu, warna-warna pastel dilihat sudah kurang mendapat sambutan daripada pengguna.

Trend itu tidak lagi menjadi pilihan sama ada untuk digayakan pada musim perayaan, majlis formal atau pakaian seharian.

Namun, masih ada segelintir generasi muda yang setia menggunakan rona itu.

Kebaya Indonesia jadi pilihan wanita Malaysia

Industri fesyen Malaysia tahun depan bakal dimeriahkan dengan gaya kebaya Indonesia.

Kata Muhd. Firdaus, trend kebaya klasik dari negara jiran itu dijangka mendapat tempat dalam hati kaum hawa pada Aidilfitri nanti.

“Sambutan terhadap fesyen itu dipengaruhi oleh karakter Dasiyah lakonan Dian Sastrowardoyo dalam drama Gadis Kretek.

“Kebaya Indonesia lebih jarang dan melekap sekali gus menampakkan silhouette atau bayangan tubuh,” katanya.

Berbanding kebaya tempatan, kebanyakannya mempunyai ciri-ciri labuh dan longgar kecuali rekaan Nyonya.

Selain itu, kebaya Malaysia tidak mempunyai korset di bahagian dalam kerana sudah dijahit bersama dengan baju manakala kebaya Indonesia pula memiliki inner.

Dari segi fabrik pula, Muhd. Firdaus menambah, perubahan fesyen kini bergerak ke arah lace atau renda penuh pada baju.

Katanya, sebelum ini penggunaan fabrik itu agak terhad disebabkan faktor harga yang tinggi.

Kebaya tempatan diminati Indonesia

Di sebalik minat rakyat Malaysia terhadap kebaya dari negara jiran, hakikatnya situasi sama turut berlaku di Indonesia.

Kata Muhd. Firdaus, rata-rata wanita di negara itu difahamkan terpikat dengan keunikan kebaya tempatan.

“Kita akan dapat lihat pertukaran fesyen membabitkan kedua-dua negara.

“Tambahan pula, Malaysia dan Indonesia merupakan peneraju fesyen di rantau Asia,” katanya.

Aksesori minimalis

Kaum hawa perlu menjauhi aksesori yang sarat jika mahu dipadankan dengan persalinan kebaya.

Saran Muhd. Firdaus, sebaiknya pilih rekaan klasik dan minimalis.

Aksesori moden boleh digunakan tetapi bukan yang berkonsepkan futuristik.

Masyarakat makin berani berfesyen

Citarasa fesyen rakyat Malaysia disifatkan bertambah baik dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Ujar Muhd. Firdaus, sebelum ini masyarakat setia pada gaya sama selama bertahun-tahun misalnya baju kurung, peplum, kain duyung dan payung.

Namun, kini mereka sudah berani bermain dengan silhouette, fesyen yang menonjol dan potongan baju atau skirt yang berlainan.

“Perkembangan ini disebabkan oleh selebriti kerana peminat dan masyarakat melihat penampilan mereka.

“Mungkin ada yang suka dan tidak suka tetapi akan ada percakapan serta perbincangan antara sesama sendiri tentang fesyen tersebut.

“Maka, daripada situ akan wujud idea baharu dan olahan yang boleh dipakai masyarakat untuk kenduri atau majlis-majlis yang relevan,” katanya.

Fokus pada kesesuaian

Muhd. Firdaus berkata, setiap rekaan di Thalia bukan sekadar mengikut trend semasa, sebaliknya mengutamakan kesesuaian pada diri individu.

Katanya, elemen itu amat dititikberatkan bagi memastikan busana yang dihasilkan cocok dengan tubuh si pemakai.

“Kalau nak nampak cantik, pereka perlu bijak bermain dengan bentuk dan tekstur,” katanya yang mahir dalam rekaan khas baju kahwin, Aidilfitri dan pelbagai majlis lain.

Elak baju berlapis macam selimut

Sementara itu, pereka fesyen terkenal, Bon Zainal Harun mengingatkan masyarakat agar tidak keterlaluan bergaya hingga menjadi mangsa fesyen.

Katanya, trend pakaian berlapis-lapis, labuh meleret mahupun yang mencolok mata tidak sesuai dengan cuaca serta budaya di negara ini.
Selain keselesaan, aspek paling penting dalam bergaya ialah kesopanan.

“Janganlah pakai pelik-pelik kerana fesyen ini ada batasnya sama ada bagi orang Melayu, Cina dan India.

“Tidak semestinya kena pakai kain terbelah, seksi atau sut dua tiga lapis seperti selimut kerana cuaca di Malaysia ini panas.

“Jadi kalau nak bergaya tu berpada-padalah kerana yang mustahak ialah keselesaan dan penampilan menawan,” katanya.

Bon Zainal berkata, masyarakat usah terikut-ikut dengan trend semasa hingga hilang identiti bangsa dan jati diri.

Sebaliknya, individu perlu teguh dengan citarasa fesyen dan gaya masing-masing.

“Boleh kalau nak tukar sedikit gaya dan ikut trend semasa, tetapi bukanlah keseluruhan penampilan hingga orang luar pelik tengok kita seolah-olah tiada identiti.

“Nasihat saya, sebelum nak bergaya macam-macam, ‘fesyenkan’ dulu badan anda dengan bersenam dan menjaga kesihatan agar dapat muat dengan semua pakaian. Janganlah terlalu sado atau kurus,” katanya.

Bon Zainal Haron
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya