Isoflavone dalam soya cegah kanser payudara - Utusan Malaysia

Isoflavone dalam soya cegah kanser payudara

Teo Soo-Hwang (dua dari kanan) pada majlis penyerahan Homesoy sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara di ibu kota baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANSER payudara kekal sebagai penyebab utama kematian akibat kanser bagi wanita di Malaysia.

Berdasarkan kajian pada 2018, dianggarkan lebih daripada sembilan individu meninggal dunia kerana kanser itu setiap hari sekali gus menyumbang kepada 3,500 kematian setiap tahun.

Di sebalik angka tersebut, kajian lain dijalankan di negara ini turut mendapati pengambilan soya yang tinggi dapat mengurangkan risiko kanser payudara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Penemuan sama turut dikesan di China yang melibatkan seramai 300,000 responden wanita.

Hal itu dipengaruhi oleh kehadiran sebatian semulajadi dalam kacang soya terutama isoflavone.

Selain kanser payudara, manfaat lain isoflavone adalah melindungi daripada kanser prostat, simptom menopause, penyakit jantung dan juga osteoporosis.

Ketua Pegawai Saintifik, Penyelidikan Kanser Malaysia, Prof. Datin Dr. Teo Soo-Hwang berkata, pengambilan terkini soya yang disarankan adalah antara 80 hingga 120 miligram sehari.
Jumlah itu bersamaan dengan dua gelas susu soya atau sekeping tauhu atau sekeping tempe.

“Bagaimanapun, kicap tidak termasuk dalam saranan ini kerana anda mungkin perlu minum sebotol penuh untuk mendapatkan anggaran jumlah bagi mencegah risiko kanser,” katanya ketika ditemui dalam majlis penyerahan RM50,000 sumbangan Homesoy sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Bila perlu ambil?

Lebih banyak kajian perlu dilakukan bagi menentukan tempoh tepat untuk wanita mula mengambil makanan berasaskan soya bagi mencegah risiko kanser payudara.

Kata Soo-Hwang, buat masa ini pihaknya belum mempunyai jawapan kepada persoalan itu.

“Banyak data berkaitan diperlukan dalam usaha pencegahan risiko kanser ini.

“Antaranya, apakah soya perlu diambil sejak kecil, selepas wanita melahirkan anak atau semasa menopause?” katanya.

Sambung kajian tertangguh

Empat tahun lalu, pihaknya melaksanakan ujian klinikal untuk mengetahui saling kaitan pengambilan susu soya dalam mencegah risiko kanser payudara.

Namun, kajian yang melibatkan keseluruhan 270 responden wanita itu tertangguh hingga kini disebabkan pandemik Covid-19.

“Kita sudah menjalankan tinjauan rambang kepada 130 responden wanita yang diminta minum dua gelas susu soya sehari atau tablet isoflavone.

“Kita merancang untuk meneruskan semula kajian itu dan merekrut lebih ramai lagi responden,” katanya.

Kes di Asia meningkat

Kes kanser payudara di Asia makin melonjak berikutan perubahan reproduktif dan gaya hidup masyarakat.

Kini, lebih ramai penduduk Asia meninggal dunia akibat kanser payudara berbanding bahagian lain di dunia.

Menurut Soo-Hwang, langkah pencegahan pula agak sukar kerana kebanyakan penyelidikan lazimnya dijalankan di Eropah, bahkan maklumat mengenainya juga terhad di Asia.

Henti salah faham

Sehingga kini, masih wujud tanggapan kononnya pengambilan soya berlebihan boleh meningkatkan risiko kanser payudara.

Ia disebabkan struktur molekul isoflavone yang seakan-akan hormon estrogen wanita.

Malah, Soo-Hwang berkata, dalam kalangan pengamal perubatan juga ada yang berpandangan sedemikian.

“Terlalu banyak salah faham tentang soya dan ia boleh diperbetulkan menerusi dapatan kajian-kajian klinikal yang dilakukan kelak,” katanya yang turut menambah susu soya Homesoy 3.0 menawarkan kandungan berprotein tinggi dan tanpa gula tambahan.

Ia turut menyokong ibu dalam perjalanan kehamilan sihat dan penyusuan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×