Waspada fahaman LGBT cuba meresapi kanak-kanak - Utusan Malaysia

Waspada fahaman LGBT cuba meresapi kanak-kanak

Animasi dan kartun digunakan sebagai alat menerapkan ideologi lgbt dalam minda kanak-kanak. – Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Gaya hidup songsang membabitkan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) seakan sudah menjadi satu bentuk ideologi dalam kalangan generasi muda.

Memuatkan artikel berkaitan…

Lebih membimbangkan ideologi itu cuba diterapkan dalam minda kanak-kanak menerusi animasi atau kartun yang biasanya menjadi tontonan harian kanak-kanak.

Terbaharu, viral mengenai buku panduan bagaimana untuk berdebat dengan orang Muslim mengenai LGBT. Apa yang membimbangkan, buku itu sengaja di buat untuk kanak-kanak dan dijual di rak khas untuk buku kanak-kanak.

Apa yang sedang berlaku kini seolah-olah satu usaha atau propaganda yang dijalankan secara perlahan-lahan tetapi terang-terangan meracuni pemikiran kanak-kanak untuk menerima gaya hidup bercanggah dengan agama dan menjadikan ia sebagai sesuatu yang normal.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), Prof. Dr. Rafidah Hanim Mokhtar berkata, sekarang ideologi LGBT ini cuba diterapkan ke dalam sanubari kanak-kanak menerusi kartun dan buku-buku yang diterbitkan dalam bentuk animasi bagi menarik perhatian mereka.

Prof. Dr. Rafidah Hanim Mokhtar.

“Semua benda berkaitan LGBT disumbat dalam kartun. Bercium sesama jantina, drag queen dan lelaki berpakaian wanita, bebas dipaparkan dalam media sosial dan sebagainya.

“Perkara ini boleh meracuni pemikiran anak-anak kita yang mana golongan ini sedang cuba mahu menormalisasikan unsur-unsur LGBT supaya ia diterima sejak kecil dan akhirnya gaya hidup songsang ini bukan lagi sesuatu terlarang,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas membentangkan topik Kecelaruan Perkembangan Jantina dan Kecelaruan Gender pada Majlis Pelancaran ReproAlert! Modul Pendidikan Seksualiti: Kesihatan Reproduktif baru-baru ini.

Majlis itu dianjurkan Ikatan Pengamal Perubatan & Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik).

Rafidah yang juga Pensyarah Fisiologi dan Timbalan Dekan Akademik dan Penyelidikan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), berkata apa yang lebih membimbangkan, bila ada anak-anak mulai rasa ‘okay’ atau tiada salah kalau sengaja hendak tukar jantina sedia ada, sedangkan dalam Islam ada hukum perlu dipatuhi.

“Saya pernah dapat aduan daripada seorang ibu yang anaknya rasa dirinya seorang gay hanya kerana tiada teman wanita.

“Ada juga anak perempuan bila tengok rancangan seperti kpop, watak perempuan itu ada teman lelaki, sehinggakan kalau dia tiada teman lelaki, rasa ada sesuatu yang tidak kena dengan dirinya. Jadi, bila dua perempuan tiada teman lelaki, mereka rasa salah seorang kena jadi lelaki. Ini berlaku disebabkan tekanan sosial,” katanya.

Tambah beliau, kini ada gerakan-gerakan ideologi gender. Di mana, sesiapa pun bebas menggumumkan diri mereka dalam gender berlainan.

Bagaimanapun, ada kes yang tulen atau genuine yang mana seseorang individu itu dilahirkan tanpa jantina yang jelas sama ada lelaki atau wanita.

“Kita tidak menafikan kes yang betul-betul mengalami masalah ini. Fatwa sudah menjelaskan, kalau sudah disiasat daripada segi perubatan dan didapati ada diagnosis, harus untuk golongan ini menukar jantina mereka. Tapi kalau sengaja hendak tukar, tidak boleh. Ada cara menanganinya.

“Kita tidak mahu membenarkan isu menukar jantina ini terlalu mudah tanpa bersandarkan asas kukuh seperti laporan perubatan. Mereka tidak boleh dengan sewenangnya merasakan hak mereka untuk memilih jantina mana mereka mahukan,” katanya.

Rafidah berkata, lebih menyedihkan apabila ada industri atau pusat kosmetik yang mempromosikan nilai berkenaan dengan menawarkan perkhidmatan seperti suntikan hormon dan sebagainya.

Berada dalam tubuh yang salah

Dr. Rafidah berkata isu kecelaruan jantina adalah diagnosis yang genuine di mana individu terbabit merasakan mereka berada dalam tubuh yang salah.

“Kes yang tulen di mana seseorang itu merasakan berada dalam tubuh wanita sedangkan dia merasakan dirinya adalah lelaki. Kes sebegini boleh berlaku sebab zaman dulu, seseorang itu mungkin ada penyakit hormon dan masalah kemaluan yang tidak jelas apabila dilahirkan.

“Mak dan ayah pun membesarkan dia sebagai seorang perempuan. Tapi bila buat ujian kromosom, rupa-rupanya adalah XY atau lelaki. Patutlah selama ini dia tidak selesa sebab dia lelaki tetapi dibesarkan sebagai perempuan,” katanya.

Namun, pada masa ini sudah ada teknologi canggih mengenal pasti jantina bayi melalui ujian kromosom. Bagaimanapun, bukan semua bayi boleh menjalani ujian ini. Sebaliknya ia dilakukan ke atas kes bermasalah saja.

Biasanya jantina bayi boleh dikenalpasti melalui tanda-tanda luaran terutama alat kelamin.

Cara ini cukup menentukan sama ada bayi berkenaan, perempuan atau lelaki.

“Lazimnya apabila ibu melahirkan bayi di hospital, sejurus selepas bayi dilahirkan, doktor akan menunjukkan bayi kepada ibu dan bertanya apakah jantina bayi berkenaan. Ibu sendiri akan lihat sama ada yang dilahirkan itu lelaki atau perempuan.

“Sekiranya ibu dan doktor mengambil masa untuk mengenalpasti jantina bayi berkenaan kerana mengalami ambiguous genitilia iaitu kemaluannya tidak jelas, bayi akan dirujuk kepada pakar untuk mengesan jantina sebenar bayi berkenaan,” katanya.

Walaupun ujian menunjukkan kecenderungan kepada mana-mana jantina bayi terbabit, sama ada lelaki atau wanita, ibu bapa perlu menunggu sehingga mereka dewasa untuk melihat jantina yang lebih menonjol.

Punca berlaku

Kecelaruan jantina dalam kalangan kanak-kanak boleh berlaku disebabkan kanak-kanak terbabit sering melihat kekasaran yang dilakukan bapa ke atas ibu mereka.

Rafidah berkata, bapa yang selalu berlaku kasar pada ibu dan kerap memukul si ibu, menyebabkan anak perempuan rasa tidak seronok menjadi wanita kerana tidak mahu diri mereka juga dipukul.

“Anak perempuan beranggapan menjadi lelaki lebih selamat dan mula menukar diri mereka daripada segi perawakan dan pemakaian. Sebenarnya dia hendak mengganti kasih sayang ayahnya. Kalau kita lihat golongan perempuan berperawakan lelaki ini sangat penyayang dengan wanita lain.

“Kita boleh tengok cara mereka memegang teman perempuan lebih daripada lelaki biasa. Ini yang kita hendak perbetulkan kepada generasi sekarang supaya perkara ini tidak terus berleluasa sehingga merosakkan generasi akan datang,” katanya.

Tambah beliau selain masalah keibubapaan, ideologi LGBT juga berpunca daripada pronografi termasuk hubungan lesbian yang mudah diakses di internet.

Pantau bahan bacaan anak

Hari ini terdapat golongan lelaki sengaja berpakaian wanita demi mencari keuntungan peribadi terutama dalam perniagaan yang mana perbuatan ini juga tidak sepatutnya dilakukan.

“Lelaki sengaja menjadi wanita, sebenarnya lelaki yang suka memanipulasi orang lain. Dia berada dalam kostum perempuan. Kadang-kadang ada sebab dia berbuat begitu iaitu mencari keuntungan menjual barang. Semuanya ada kepentingan. Mereka ini bukan golongan LGBT.

“Definisi gay berbeza-beza. Gay adalah yang melampaui batas dengan melakukan hubungan seks songsang sesama jantina. Ada golongan lelaki yang mendakwa tidak melakukan hubungan seks tapi cuma suka dekat lelaki lain tetapi tetap mengaku diri mereka gay,” katanya.

Definisi gay sering dipermain-mainkan oleh pihak terbabit dalam isu LGBT sehingga menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat.

Bagi memberikan definisi tepat, pihak Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bekerjasama untuk mengharmonikan terma-terma ini.

“Tasyabuh adalah perbuatan lelaki tulen tapi menyerupai wanita untuk mencari makan dan berniaga tetapi tidak mengamalkan hubungan songsang.

“Satu lagi mukhanas, lelaki yang mengaku perempuan walaupun secara luarannya mereka lelaki. Mereka meniru perwatakan, pakaian, perbuatan dan gaya percakapan wanita dengan sengaja dan berkecenderungan pada perlakuan songsang,” katanya.

Rafidah turut mengingatkan ibu bapa supaya lebih tegas bagi mengelakkan ideologi LGBT diserap ke dalam minda anak-anak yang masih belum matang.

Antaranya dengan mengambil tahu apa yang dibaca oleh anak sama ada bentuk buku, kartun atau media sosial.

“Bagi pihak kerajaan saya menggesa tindakan lebih proaktif dalam membendung gejala negatif ini termasuk menapis sebarang unsur songsang dalam buku, majalah dan media lain.

“Tindakan tegas perlu diambil bagi membendung penularannya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini