kebun bandar

Kebun kecil, tapi produktif

Juliana menunjukkan hasil tanaman sawi menggunakan KKG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sekarang ini ramai yang mempunyai hobi menanam, terutamanya sayur-sayuran atau herba yang menjadi kegunaan harian.

Malangnya, bukan semua orang boleh merealisasikan hobi mereka itu, lebih-lebih lagi yang tinggal di kawasan atau rumah bertingkat di kawasan bandar.

Ketiadaan tanah menyukarkan mereka berkebun.

Namun, dengan pelbagai penciptaan baharu, kebun bandar sudah boleh menjadi salah satu hobi penduduk bandar.

Timbalan Pengarah Bahagian Pertanian Bandar Jabatan Pertanian Malaysia, Juliana Megat berkata, penciptaan Kebun Kekunci Grid (KKG) membolehkan sesiapa sahaja menanam pelbagai jenis sayur walaupun di koridor rumah.

Katanya, KKG yang dibangunkan oleh kumpulannya yang dikenali sebagai Greenovator ialah kaedah membina kebun sayur pada skala kecil yang produktif dan berintensif.

Ia bagaikan satu medium tanah yang besar diletakkan di dalam kotak yang diperbuat daripada kayu palet dan kemudiannya dibahagikan kepada beberapa petak.

Setiap petak boleh ditanam pelbagai jenis sayur-sayuran sama ada sayuran berdaun atau berbuah seperti terung, labu, kentang dan tomato.

Tidak ketinggalan, daun herba yang menjadi pelengkap masakan seperti daun pandan dan serai.

“Konsep asas adalah membina Raised Bed (RB) berukuran 4 kaki x 3 kaki dan dibahagikan kepada grid segi empat sama 1 kaki.

“Ditengah pula diletakkan gelung wire mesh berukuran 2 inci x 1 inci setinggi 3 kaki untuk diisi dengan sisa makanan, dapur dan sisa tanaman,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Gelung tersebut berfungsi sebagai medium menghasilkan baja kompos menggunakan sisa-sisa makanan.

“Boleh letak sisa makanan atau sisa tanaman dan ditutup dengan guni. Kacau setiap dua hari sehingga terurai.

“Masa untuk terurai sepenuhnya kira-kira sebulan sebelum ia menjadi baja kompos yang menyuburkan tanaman,” katanya.

Hasil tinggi

Kebun bandar alaf baharu ini juga menjanjikan hasil tinggi memandangkan ia boleh dijadikan medium penanaman pelbagai jenis sayuran dan herba pada masa yang sama.

Pembahagian satu pasu kepada beberapa petak membolehkan pelbagai tanaman keperluan ditanam serentak dalam satu medium yang sama.

“Penanaman intensif kerana pelbagai jenis tanaman dituai daripada ruang kecil, jadi ia sesuai untuk tukang kebun yang mempunyai ruang terhad.

“KKG hanya menggunakan 20 peratus ruang untuk menanam, 15 peratus penggunaan air, 10 peratus penggunaan tenaga kerja dan 5 peratus biji benih, namun menghasilkan 100 peratus hasil tuaian,” tambahnya.

Ia turut menyelesaikan masalah ketiadaan kawasan tanah yang luas, tanah yang rosak dan tanah yang tidak bernutrien di kawasan bandar.

Kaedah inovasi itu juga dikatakan mampu mengurangkan rumpai dan perosak.

“Jika RB dibina dengan betul dan media tanaman yang subur, tiada rumpai dan haiwan perosak dengan pemantauan berkala.

“Pemilik tidak perlu menggali kerana kaedah ini mengamalkan konsep No-Dig Farming sekaligus tanah subur terpelihara dan tidak merosakkan struktur tanah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya