Buka restoran sajian Melayu di Mekah, Madinah

Buka restoran sajian Melayu di Mekah, Madinah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PANDEMIK Covid-19 menyebabkan banyak perniagaan di seluruh dunia terjejas, malah ada yang gulung tikar.

Apatah lagi jika bentuk perniagaan diusahakan itu, berkait rapat dengan sektor pelancongan dan umrah.

Untuk bangkit semula terutama selepas dua tahun terkurung sejak 2020 tanpa dapat bergerak bebas bukan satu perkara mudah.

Ia diakui Pengarah Urusan Mursyid Alharamain Travel and Tours Sdn. Bhd., Muhammad Mursyid Abdul Hassan.

Namun pemuda berusia 34 tahun ini, memiliki rahsia tersendiri dalam memastikan perniagaan diusahakannya dapat terus bertahan.

Katanya, paling mustahak seseorang tidak boleh patah semangat dan komited berusaha mencari jalan.

Menceritakan semula detik berdepan ujian besar iaitu pandemik Covid-19, Muhammad Mursyid mengakui turut diselubungi rasa buntu dan dilema sama ada untuk meneruskan perniagaan atau sebaliknya.

“Pelbagai cara saya terpaksa lakukan, antaranya menjual kurma dan makanan sunnah bagi memulihkan kembali kewangan syarikat.

“Semua ini dilakukan bagi memastikan semua kakitangan saya yang sudah dianggap sebagai ahli keluarga sendiri tidak terputus pendapatan dan terjejas dek pendemik.

“Memanglah bila tengok duit banyak keluar dan simpanan kian berkurangan, tetapi Alhamdulillah, Allah berikan jalan keluar kepada syarikat, hingga saya mampu menubuhkan syarikat baharu, Alhijaz Universal Sdn. Bhd,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini, mengimbau kenangan berdepan suka duka berniaga.

Ujar Muhammad Mursyid, selepas Covid-19 berkurangan, beliau memberanikan diri membuka dua buah restoran di Mekah dan Madinah.

Lebih membanggakan, Muhammad Mursyid merupakan rakyat Malaysia pertama berjaya membuka restoran di kedua-dua lokasi tersebut.

Malah, usaha kerasnya berniaga selama 10 tahun membuahkan hasil apabila syarikatnya mengungguli dua anugerah berprestij iaitu Ikon Brand Awards 2022 dan Business Sinar Harian Awards (BISA) 2023.

 

Rasa Malaysia pilihan jemaah Malaysia
Restoran yang dikenali sebagai Rasa Malaysia itu mula beroperasi berhampiran Masjid Al Tawheed di Mekah sejak Julai 2022.

Manakala operasi di Taiba Center di Madinah pula pada Mac lalu.

Menurut Muhammad Mursyid, pelbagai masakan Malaysia disediakan buat pelanggan dengan menawarkan konsep bawa pulang.

Ujarnya, idea membuka restoran itu timbul apabila memikirkan jemaah Malaysia pasti merindui masakan tempatan sewaktu melakukan ibadah Haji dan Umrah di Tanah Haram.

“Saya pernah menetap selama empat tahun di Madinah dari 2008 hingga 2012 kerana menyambung pengajian di sana dan saya faham situasi segelintir jemaah yang tidak dibekalkan sarapan pagi dalam pakej haji mereka.

“Selain itu, ada juga jemaah yang tidak boleh makan menu-menu luar dan mahukan masakan Malaysia, sekali gus menguatkan semangat saya untuk membuka restoran,” katanya.

Kedua-dua restoran itu menawarkan lebih lima jenis makanan bermula dengan sarapan pagi.
Muhammad Mursyid berkata, harga makanan bermula serendah 15 riyal atau bersamaan RM17.85.

Selain menjadi tumpuan jemaah negara, Rasa Malaysia turut dikunjungi jemaah dari Indonesia.

Katanya, pelanggan boleh membuat pesanan menerusi nombor telefon yang diiklankan di hotel-hotel jemaah.

Jemaah minta ikan kering 
Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan sebelum membuka perniagaan itu ialah apabila seorang jemaah warga emas mengeluh mahu makan ikan kering kerana rindukan masakan Malaysia.

“Wanita itu memberitahu tiada selera untuk makan makanan Arab selepas beberapa hari berada di Mekah.

“Menu di sana berbeza dengan air tangan di Malaysia, jadi tidak hairanlah apabila ada yang mengambil masa lama untuk menyesuaikan diri dengan makanan di Mekah dan Madinah,” katanya yang dibantu isteri, Fairuz Ramli dalam menguruskan perniagaan itu.

 

Cabaran dunia F&B

Mengendalikan perniagaan makanan dan minuman (F&B) di luar negara tidak semudah disangka kerana menuntut persediaan rapi dan masa yang panjang

Paling mustahak seseorang mesti memiliki kewangan yang kukuh.

Kata Muhammad Mursyid, sebelum ini syarat dikenakan kerajaan Arab Saudi agak ketat termasuk wajib mengambil pekerja rakyat tempatan, jika tidak, premis perlu ditutup.

Ketika itu hanya jawatan tukang masak tetap sahaja boleh diisi oleh orang Malaysia.

“Tetapi kini, mereka bersikap lebih terbuka kepada mana-mana pelabur dan syarat pengambilan pekerja Arab sudah tidak diwajibkan lagi.

“Cuma apabila kita mencari rezeki di tempat orang, saya akui mereka lebih mesra dengan bangsa mereka sendiri apabila melibatkan urusan-urusan tertentu.

“Kalau kita ibarat bola, adakalanya memang ditendang ke sana ke sini,” kongsinya.

Bagi memastikan keaslian rasa, semua rempah dan bahan makanan termasuk kuih sejuk beku diimport khas dari Malaysia.

Muhammad Mursyid menjelaskan niatnya membuka perniagaan itu semata-mata untuk membantu memudahkan jemaah mendapatkan makanan dan bukan mahu mengaut keuntungan.

Katanya, jika keuntungan yang menjadi keutamaan, lebih baik dia membuka restoran di Malaysia.

“Saya tidak kisah dengan cabaran di masa akan datang kerana lega dapat meringankan urusan jemaah sepanjang mereka menunaikan ibadah umrah dan haji,” katanya.

Sebagai perancangan masa depan, Muhammad Mursyid berhasrat membuka sebuah lagi restoran di Turki dalam masa terdekat. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya