HUJUNG minggu lalu, nama Saw Jane Harn, 9, menjadi sebutan ramai kerana muncul johan Pertandingan Rekaan Hot Wheels X Proton Kanak-Kanak 2023.
Kejayaan tersebut membolehkan murid tahun tiga Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Beng Teik Pusat, Pulau Pinang itu dinobatkan sebagai pemenang pertama seumpamanya di dunia.
Lebih membanggakan, hasil karyanya akan digunakan sebagai pek bungkusan bagi edisi istimewa yang bakal berada di pasaran seluruh negara pada tahun depan.
Menampilkan unsur flora dan fauna yang melambangkan identiti Malaysia, Jane Harn hanya mengambil masa dua jam untuk menyiapkan rekaan berkenaan.
Si cilik itu berkata, tempoh singkat berkenaan kerana saiz kad blister yang tidak sebesar kertas lukisan biasa.
Tambahan pula, dia memiliki minat mendalam terhadap bidang seni dan mula menghadiri kelas melukis sejak berumur empat tahun.
“Selepas membaca syarat-syarat pertandingan dengan teliti dan penjelasan daripada ibu, saya dapat ilham untuk memasukkan identiti Malaysia, dari zaman merdeka hingga ke moden.
“Saya tidak melukis Proton Saga kerana mahukan latar belakang berbeza bagi menonjolkan rekaan kereta nanti.
“Disebabkan unsur fauna sudah biasa dihasilkan dalam lukisan, jadi saya tidak melepaskan peluang keemasan untuk menampilkan harimau Malaya dan enggang badak dalam rekaan blister ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kanak-kanak itu berjaya membawa pulang wang tunai, produk-produk Hot Wheels termasuk koleksi edisi terhad di samping pengalaman dalam sesi temu mesra bersama Ketua Pereka Pek Bungkusan Hot Wheels, Matt Gabe, yang diterbangkan khas dari Amerika Syarikat (AS).
Tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi Ezra Rehan Pal, 11, dan Austin Goh Zi Hao, 11.
Jane Harn yang bercita-cita menjadi doktor haiwan pernah melakar sejarah sebagai johan (kategori A) dalam Pertandingan Poster 2022 oleh Persatuan Pemakanan Malaysia diikuti naib johan (kategori A) Pertandingan Young Artist Award 2022 anjuran Faber-Castell.
“Saya teruja dan bersyukur. Ribuan terima kasih kepada semua pihak yang memberi peluang dan mendorong saya selama ini,” katanya.
Pertandingan Rekaan Hot Wheels X Proton Kanak-Kanak 2023 menerima lebih 386 penyertaan daripada kanak-kanak berumur antara empat hingga 12 tahun.
Asah semangat juang kanak-kanak
Pengurus Besar Mattel Asia Selatan, Murat Ariksoy berkata, Hot Wheels komited mengasah semangat juang kanak-kanak agar mampu mencapai potensi diri.
“Aspirasi kami untuk membawa pengalaman baharu yang mengujakan bagi menggalakkan kanak-kanak mengembangkan kemahiran dan keyakinan melalui gabungan pertandingan, eksperimentasi serta kreativiti.
“Kami gembira dapat berkerjasama dengan Proton dalam memperkasakan generasi akan datang untuk berani menyahut cabaran,” katanya.
Rekaan Hot Wheels sentiasa berasaskan perspektif kanak-kanak dan pertandingan seumpama itu membolehkan mereka melihat dengan lebih dekat perkara tersebut.
“Ia sekali gus membuatkan kita bertanya, bagaimana dunia kereta daripada kaca mata mereka?,” katanya.
Pada 2022, Hot Wheels dan Proton melancarkan prototaip pertama mereka yang diinspirasikan daripada Proton Saga ikonik tahun 1985, kereta nasional pertama Malaysia, sempena sambutan ulang tahun ke-40 Mattel Malaysia.
Ia akan dibawa ke pentas global selepas ia menjadi antara koleksi individual Hot Wheels dengan jualan terlaris di dunia.










