Nyamuk Aedes disuntik bakteria, kurangkan populasi

Nyamuk Aedes disuntik bakteria, kurangkan populasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MASALAH denggi masih menjadi isu yang serius di negara kita. Saban tahun, tidak ada petunjuk yang jelas sama ada jangkitan nyamuk Aedes mampu ditamatkan seperti malaria.

Walaupun kes semasa adakalanya menurun, namun atas faktor-faktor tertentu seperti kebersihan alam sekitar yang tidak baik menyebabkan kes kembali melonjak.

Misalnya, sampah plastik yang tidak terurus, hujan, kewujudan kawasan pembiakan dan kemungkinan wujudnya perubahan jenis strain virus denggi di persekitaran.

Pola turun dan naik jangkitan denggi ini turut menyebabkan angka kematian agak signifikan.

Sejumlah 39 kes kematian denggi direkodkan sehingga Jun 2023 berbanding 37 kematian pada 2022.

Majoriti kes berlaku di Selangor iaitu 49.9 peratus daripada jumlah keseluruhan 55,512 di Malaysia.

Pencegahan jangkitan denggi melalui pendekatan tingkah laku sosial masih relevan dan perlu terus dikukuhkan.

Sejak program vaksin denggi di Filipina digantung pada 2017, kesihatan awam masih menantikan vaksin yang sesuai untuk digunakan dalam konteks mencegah jangkitan dan komplikasi serius.

Bagi tujuan itu, tingkah laku pencegahan yang positif perlu kekal dilaksanakan.

Individu perlu memainkan peranan penting untuk mencegah titik panas berleluasa dengan sentiasa menjaga kebersihan dan menggunakan abate bagi membunuh jentik-jentik.

Pendekatan lain ialah pelepasan nyamuk Aedes yang disuntik bakteria Wolbachia untuk menurunkan jumlah populasi nyamuk yang infektif sekali gus mengurangkan risiko jangkitan di persekitaran.

Usaha rintis yang dimulakan sejak 2016 itu meliputi majoriti kawasan yang dikenal pasti merupakan lokasi titik panas untuk kes-kes denggi.


Penglibatan masyarakat
Sudah pasti, aktiviti ini memerlukan penyertaan masyarakat dan komitmen yang berterusan.

Beberapa syarat perlu dipenuhi sebelum nyamuk Aedes berWolbachia itu dilepaskan dalam lokaliti antaranya ialah memusnahkan kawasan yang berpotensi sebagai sarang pembiakan, kajian dan pemusnahan jentik-jentik serta kawalan sampah persekitaran.

Data terkini menunjukkan terdapat penurunan ketara kes-kes denggi dan indeks larva di lokaliti yang mempunyai populasi nyamuk Aedes berWolbachia.

Pola sedemikian diharap mampu menurunkan jumlah kes denggi tahunan serta membantu mengurangkan kes-kes teruk dan kematian.
Berdasarkan data dan praktis semasa, kita perlu memahami tiada pendekatan unggul untuk memerangi denggi.

Menurut kenyataan tidak rasmi di lapangan, liputan pelepasan nyamuk berWolbachia di seluruh Malaysia dijangka dapat dicapai menjelang tahun 2025 nanti.

Pengalaman mendepani wabak denggi sejak dikesan di negara ini menunjukkan semua pihak perlu memainkan peranan termasuk di tempat kerja untuk memastikan risiko jangkitan kekal rendah.

Tanggapan pencegahan dan kawalan hanya tanggungjawab pihak kementerian sahaja perlu diperbetulkan.

Demikian juga dengan tanggungjawab membersihkan sampah-sarap di lapangan.

Sebagai ahli masyarakat, kita turut sama bertanggungjawab untuk memastikan semua pihak terhindar daripada risiko jangkitan denggi.

Unsur-unsur populis yang bersifat jangka pendek seperti melibatkan golongan popular dalam aktiviti lapangan boleh digunakan untuk menarik minat masyarakat terlibat secara langsung.

Namun, perancangan jangka panjang juga perlu dilakukan bagi membolehkan aktiviti berkenaan kekal mampan serta dimanfaatkan oleh mereka yang terlibat.

Tanggungjawab mengelak jangkitan denggi dan mengawal perebakan titik panas kawasan yang berisiko memerlukan komitmen setiap kita. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya