tenaga kerja sektor perladangan

Kekosongan sektor perladangan diisi graduan BSPP

Pelajar BSPP didedahkan dengan teknik penuaian tandan buah kelapa sawit.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KRISIS guna tenaga dalam sektor pertanian di Malaysia bukan lagi perkara baharu sejak pandemik Covid-19 melanda.

Terbaharu, negara dilaporkan memerlukan lebih 180,000 tenaga kerja asing bagi memenuhi permintaan di sektor berkenaan.

Perkara itu dinyatakan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin dalam Sesi Dialog Industri Agromakanan dan Taklimat Khas Penggajian Pekerja Asing Sektor Pertanian pada Februari lalu.

Bagaimanapun, katanya, pengambilan pekerja asing itu hanyalah sebagai penyelesaian jangka pendek kerana dalam tempoh jangka panjang kerajaan mahu sektor itu dikuasai orang muda.

Mengulas mengenai isu itu, Pengerusi Semakan Semula Struktur Kurikulum Bacelor Sains Pengurusan Perladangan (BSPP) di Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. K.S Daljit Singh berkata, kebergantungan tinggi terhadap pekerja asing kurang mahir boleh diatasi oleh lulusan BSPP.

Katanya, mereka kini dalam usaha menyemak semula program itu agar seiring perkembangan semasa termasuk menerapkan elemen seperti keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Ujarnya, misi UPM adalah untuk melahirkan eksekutif perladangan yang mahir dalam aspek pengurusan dan pengoperasian di samping mampu menguruskan sumber manusia.

Jelasnya, tawaran yang disediakan itu diyakini mampu membantu melonjak pengeluaran dan pendapatan di sektor berkenaan.

“Kami ingin menghasilkan graduan yang bukan sahaja tahu mengira jumlah tanaman, tetapi mampu mengajar pekerja-pekerja ladang mengenai kesihatan pokok, kesuburan tanah dan keperluan nutrien oleh tanaman.

“BSPP mula ditawarkan kepada pelajar kohort pertama sesi 2015/2016 dan sehingga kini sudah empat kohort secara keseluruhannya dengan hampir kesemua graduan mendapat tawaran bekerja selepas tamat semester terakhir mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurut Daljit Singh, pelajar yang mengikuti kursus itu dipilih berdasarkan pencapaian akademik cemerlang dan kebolehan daya tanah dari segi mental dan fizikal.
Hal itu kerana, katanya, mereka bukan sekadar duduk di pejabat, malah perlu turun padang memantau keadaan ladang dan pekerja.

Jelasnya, program BSPP dibentuk hasil perbincangan dan pandangan daripada pihak industri agar kesemua elemen-elemen dimasukkan dalam silibus terutama mengenai pengurusan dan pengoperasian ladang serta sumber manusia di samping hal-hal berkaitan Roundtable Sustainable Palm Oil (RSPO) dan Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO).

Sementara itu, seorang pelajar, Muhammad Firdaus Khairulhafiz berkata, bidang perladangan menawarkan peluang kerjaya yang luas terutama komoditi seperti kelapa sawit dan getah.

“Sebelum ini saya mengikuti kursus Diploma Pengurusan Pertanian dan Perladangan dan berazam untuk melanjutkan pengajian dalam BSPP kerana sedar kepentingan bidang ini dalam menjamin sekuriti makanan negara,” katanya yang menjalani latihan industri di Estet Pamol Barat milik IOI di Kluang, Johor.

Mirhafizah Mirzaman pula terpanggil untuk memberi sumbangan dalam bidang perladangan kerana yakin wanita juga mampu berperanan dalam meningkatkan pertumbuhan industri itu.

Dia yang merupakan pelajar tahun pertama BSPP berharap dapat menarik lebih ramai lagi kaum Hawa untuk menceburi bidang pengurusan perladangan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya