Gaji operator pembersihan lebih tinggi dengan robot - Utusan Malaysia

Gaji operator pembersihan lebih tinggi dengan robot

Shaifull (kanan) bersama pasukan inovasinya meneliti robotik yang terbaharu dibangunkan, Unmanned Ground Vehicle bagi kerja-kerja pemantauan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kekurangan tenaga kerja tempatan dalam sektor 3D (kotor, bahaya, sukar) terus membelenggu negara sekali gus meningkatkan kebergantungan terhadap buruh asing yang bermula sejak tahun 1970-an lagi.

Pandemik Covid-19 yang melanda dunia baru-baru ini, menjelaskan betapa kebergantungan itu memberikan impak besar kepada negara apabila sekatan kemasukan warga asing dikuatkuasakan bagi mengekang penularan wabak sehingga membantutkan beberapa kegiatan sektor ekonomi dan perkhidmatan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Sailcott (M)International Sdn. Bhd. Shaifull Naim Othman berkata, sudah tiba masanya kerajaan memulakan langkah memperkasa inovasi bagi meningkatkan taraf pekerjaan di negara ini.

Tegasnya, sektor perkhidmatan antara yang memerlukan inovasi bagi mengurangkan penggunaan buruh asing, sekali gus menarik minat warga tempatan menceburkan diri dalam bidang berkenaan.

Mengambil contoh negara maju seperti Jepun dan Jerman, kata Shaifull, gaji pekerja perkhidmatan di negara itu, berada di kadar yang tinggi disebabkan oleh kemajuan teknologi.

“Contoh yang boleh dilihat adalah kerja pembersihan seperti pengutip sampah yang boleh mencecah sehingga RM5,000 ringgit.

“Sebabnya dialah yang memandu dan kutip sampah menggunakan lori sampah yang dilengkapi dengan teknologi.

“Bayangkan kalau Malaysia juga mampu menghasilkan robot yang mampu membantu pekerjaan, saya percaya gaji operator pembersihan juga boleh mencecah sehingga RM2,400. Robot boleh mengurangkan bilangan tenaga kerja membolehkan gaji ditawarkan lebih tinggi,” jelasnya.

CIPTA ROBOT PEMBANTU

Bukan hanya omong kosong, pemilik syarikat yang menawarkan perkhidmatan di beberapa universiti dan hospital itu sendiri telah memulakan projek inovasi dengan membangunkan beberapa robot pembantu.Ia dibangunkan mengikut perkhidmatan yang ditawarkan bagi membantu menyelesaikan kerja pembersihan dan penyelenggaraan tanpa memerlukan tenaga kerja yang ramai.

Ujar Shaifull, syarikatnya antara terawal memperkenalkan robot dalam sektor perkhidmatan di hospital.

“Semasa pandemik Covid-19 melanda, pekerja asing tiada, jadi kami ambil keputusan membangunkan sistem robotik bagi menangani permasalahan kekurangan tenaga kerja.

“Antara robot dihasilkan dan diguna pakai adalah Mesin Penyental Automatik bagi kerja-kerja mencuci, Mesin Pancaran UV untuk disinfeksi, Mesin Pengangkut Sisa Klinikal di hospital dan sebagainya.

PERANAN KERAJAAN

Walaupun pembangunan robot menelan belanja tinggi, namun kata Shaifull, ia merupakan pelaburan jangka panjang memandangkan ia dapat mengurangkan penggunaan tenaga buruh terutamanya warga asing.

Justeru, kerajaan disarankan proaktif untuk menggalakkan lebih banyak entiti perniagaan menceburi dunia inovasi.

“Sebab itu saya selalu tekankan kerajaan punya tender melibatkan perkhidmatan perlu meletakkan robotik, inovasi dan Internet Segalanya (IoT) sebagai keutamaan dalam memilih kontraktor.

“Saya yakin ramai yang akan mula melibatkan diri dalam bidang inovasi sekali gus dapat membantu negara bergerak ke hadapan dengan kemajuan teknologi,” jelasnya.

BANTU GRADUAN

Sementara itu, Ketua Bahagian Robotik dan IoT, Taufiq Hamdan berkata, perkembangan inovasi dalam industri akan membantu mengatasi masalah lambakan graduan menganggur.

Dia yang juga masih bergelar graduan jurusan kejuruteraan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam bersyukur kerana peluang pekerjaan di Sailcott membantu mengembangkan lagi kemahirannya dalam bidang kejuruteraan.

“ Sebelum ini peluang pekerjaan agak terhad dan tertumpu di sektor perkilangan. Tetapi dengan adanya syarikat inovasi sebegini dapat membantu kami menyalurkan kemahiran yang dipelajari dengan cara yang betul.

“ Malah, sepanjang bekerja juga saya banyak belajar benda-benda baharu dan banyak melakukan penyelidikan membabitkan pembangunan prototaip, “ katanya yang turut menjelaskan mengambil masa enam bulan hingga setahun untuk menyempurnakan satu-satu robotik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya