Pewarna alami daripada sayuran terbuang, bunga telang - Utusan Malaysia

Pewarna alami daripada sayuran terbuang, bunga telang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ubi keledek manis berwarna ungu yang hampir busuk nampak buruk pada pandangan orang lain, namun ia indah dan penuh seni pada mata Muhammad Faiz Zahurin, 24.

Warna ungu keledek berselang seli dengan coklat kekuningan, memberikan inspirasi kepada pelajar tahun akhir, Pengajian Seni Reka Tekstil, Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM Shah Alam ini untuk menghasilkan pewarna semula jadi bertemakan Purple Is The New Black.

Ternyata, rekaannya mendapat pengiktirafan apabila dinobatkan sebagai Pelajar Berprestasi Keseluruhan Terbaik sempena pameran Eksplorasi Eko Tekstil Pewarna Alami di Muzium Tekstil yang berlangsung dari 18 hingga 22 Februari lalu.

Pameran itu turut menampilkan 100 koleksi tekstil rekaan 27 pelajar tahun akhir Pengajian Seni Kreatif berkenaan.

Muhammad Faiz berkata, penggunaan keledek manis hampir busuk itu juga bertujuan mengurangkan kadar pembaziran makanan di negara ini.

“Keledek ungu atau dikenali sebagai sweet potato banyak terbuang sebab orang kita kurang makan. Daripada terbuang, saya gunakan untuk hasilkan warna di mana saya mengambil warna ungu pekatnya untuk mewarnai tekstil yang dihasilkan.

“Antara koleksi saya adalah siri outerwear (pakaian luar) untuk lelaki dan perempuan. Kimono pendek untuk lelaki dan wanita menggunakan teknik canting dan shibori. Shibori adalah teknik dari Jepun yang lebih kurang teknik ikat kita,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau yang ditemui pada majlis pelancaran pameran berkenaan berkata, bezanya teknik ini menggunakan jarum dan benang. Benang akan dijahit mengikut corak yang dibuat di atas kimono. Bagi teknik Shibori, Muhammad Faiz mengambil masa lebih seminggu untuk menjahit.

Selepas dicelup dengan pewarna, benang ditarik dan meninggalkan corak yang dilukis sebelum itu. Menambah keunikan rekaannya, Muhammad Faiz turut menerapkan teknik batik canting pada bahagian belakang dan depan kimono.

Selain baju luaran, Muhammad Faiz turut menghasilkan batik di atas tekstil berukuran empat meter. Warna ungu keledek manis memenuhi rekaannya ini dengan motif berinspirasikan bunga keledek dan daunnya.

“Bagi menghasilkan tekstil ini, saya membelanjakan kira-kira RM5,000. Kos untuk menghasilkan warna alami memang mahal sebab ia menggunakan bahan semula jadi seperti sayur dan buah-buahan,” katanya.

Rona daripada buah-buahan dan bunga

Sementara itu, tekstil rekaan Nurul Farhanah Nor Hanif, 23, bertemakan A Piece of Sentimen’ turut mendapat perhatian juri dan diangkat sebagai Tekstil Terbaik.

Pelajar yang berasal dari Selangor ini, memilih warna ungu daripada buah tempatan iaitu manggis. Rona daripada herba seperti kunyit dan mengkudu turut dijadikan perwarna semula jadi. Nurul Farhanah juga menggunakan keindahan warna asli bunga mawar dan telang dalam rekaannya.

Nurul Farhanah menerapkan warna alami unik yang dihasilkannya sendiri ke dalam empat meter kain batik, sepasang baju dan pario serta sehelai tekstil hasil tenun.

“Saya ambil kulit buah manggis dan rendam semalaman. Kemudian, saya masak selama empat jam sambil hancurkan kulitnya. Bila sudah dapat warnanya, esoknya saya masak pula dengan bunga telang atau butterfly pea supaya warnanya jadi lebih gelap. Saya akan masak lagi sampai pekat.

“Warna yang dihasilkan ungu kecoklatan. Dari bunga telang, sebenarnya boleh dapat banyak warna seperti hijau dan biru. Dari situ, saya gabungkan kesemua warna ini untuk diterapkan ke atas tekstil dan corak yang saya reka sendiri,” katanya.

Gabungan kacang hitam dan telang

Gelaran Pereka Terbaik diraih anak kelahiran Sabah, Nuranisa Awang Anak, 24, yang menggunakan kacang hitam dan bunga telang sebagai pewarna semula jadi dalam rekaannya.

Menurut Nuranisa, baju kebaya berlatarkan rona kecoklatan dihasilkan daripada pati warna kacang hitam. Beliau turut menggunakan pengikat warna semula jadi seperti cuka, lemon dan garam bagi menghasilkan warna coklat itu. Bahan-bahan itu dicampur dengan krim tar tar.

“Warna daripada bunga telang jadi biru, tetapi bila dicampur pengikat warna, bertukar kepada ungu. Bagi selendang, warna daripada kacang hitam dicampur dengan asid sitrik akan bertukar menjadi warna merah jambu lembut. Lagi banyak saya letak lemon, warnanya akan bertukar menjadi warna pic. Bila saya campur baking soda, warnanya jadi lebih gelap.

“Warna latar selendang, saya gunakan teknik batik. Saya gunakan tepung gandum untuk menggantikan lilin yang selalunya digunakan dalam pembuatan batik. Corak bunga pula saya gunakan warna daripada kacang hitam juga. Ada dua selendang saya hasilkan untuk pameran ini yang digandingkan dengan kebaya dan kebarung,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×