“…lewat kebelakangan ini sudah mula aku mendengar suara dan bisik-bisik yang tidak aku ingini. Kalau susah sangat tidur, apa kata mati. Sumpah aku takut dengan diri sendiri…”
Suara-suara inilah yang sering mengganggu fikiran pesakit mental sehingga mereka menderita.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan lebih satu bilion penduduk dunia berdepan dengan pelbagai masalah gangguan mental, dengan yang paling kerap dihadapi adalah anxiety atau masalah kebimbangan berlebihan. Ia diikuti dengan masalah kemurungan atau depresi.
Mahu memberi kesedaran tentang penyakit mental, bekas wartawan hiburan, Maliah Surip menulis kisah penderitaan dan perjalanan selepas didiagnos menghidap general anxiety disorder (GAD) dan major depressive disorder (MDD) atau kemurungan teruk sejak 2019 menerusi buku Senandika: Bercakap Seorang Diri.
Penulis menceritakan pengalaman tidak pernah sedar diserang penyakit mental, didiagnos dan perlu mendapatkan rawatan berkala serta bergantung hidup dengan ubat.
Maliah, 42, berkata, selain berkongsi pengalaman, objektif utama penghasilan buku itu ialah untuk meningkatkan kesedaran masyarakata untuk tidak menghakimi atau menilai pesakit, sebaliknya bersama-sama membantu mereka untuk pulih.
“Saya bukan mengajak pesakit mental memperakui diri mereka sakit lalu menjadi lemah, sebaliknya bangkit dan bersemangat untuk terus berjuang dan mencari kehidupan yang baik.
“Saya jadikan buku ini sebagai semangat jika setiap kali berasa ‘pulang’ ke titik terendah. Perlu ingatkan diri bahawa ada pencapaian yang telah dilakukan sepanjang bergelut dengan penyakit ini,” katanya.
Menurut Maliah, buku ini diilhamkan selepas melihat ada dalam kalangan pesakit yang tidak mahu mengaku sakit, tidak mendapatkan rawatan sewajarnya sekali gus memudaratkan diri sendiri.
Beliau tidak menulis dalam penyampaian yang menyayat hati sebaliknya, banyak disulami dengan gaya penulisan nakal, lucu dan membina keyakinan bahawa penyakit ini boleh pulih.
“Selain bercerita tentang perjalanan penyakit ini, saya turut menyelitkan pengalaman berdepan dengan ramai pesakit mental lain yang lebih sengsara. Buku ini penting kerana akan memberi kesedaran buat masyarakat untuk sentiasa peka terhadap keadaan sekeliling,” katanya.
Sementara itu, penyanyi Misha Omar yang hadir merasmikan majlis pelancaran buku berkenaan berkata, penghasilan naskhah itu dilihat sebagai langkah yang baik sewaktu ramai orang berdepan dengan masalah yang sama, tetapi malu untuk menyuarakannya.
“Sudah tiba masanya pesakit mental membuang rasa takut dikecam hanya semata-mata kerana penyakit ini disifatkan dengan bahasa mudah, ‘gila’.
“Keluar dan bersuara jika itu boleh menjadi saluran untuk membantu perkembangan agar mereka pulih. Jangan takut untuk sayangi diri dan menjadi sihat seperti sedia kala,” katanya. Majlis turut dihadiri, penyanyi Amy Search.
Buku berkenaan boleh dibuat menerusi pautan di Instagram @maliahsurip.