Malaysia, negara ke 100 dilawati Chloe - Utusan Malaysia

Malaysia, negara ke 100 dilawati Chloe

Bagi Chloe setiap negara mempunyai keunikan untuk dikunjungi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Saya sangat gembira apabila Malaysia menjadi negara yang ke-100 saya kunjungi. Negara ini unik kerana mempunyai pelbagai budaya.

“Saya melihat Kuala Lumpur sebagai bandar antarabangsa yang mana anda boleh belajar bahawa pelbagai budaya boleh wujud di sebuah tempat yang sama, sambil menghormati antara satu sama lain,” ujar Chloe Rose Russell, 25, asal dari Omaha, Nebraska, Amerika Syarikat (AS).

Kebanyakan rakan rapat beliau turut berasal dari pelbagai negara berbeza.

Malah beliau suka berkenalan dan berinteraksi dengan pelbagai jenis orang dari negara berbeza.

“Saya tidak takut menggembara. Malah, bersedia menerokai dunia untuk melihatnya dengan lebih jelas. Saya ingin membawa masuk diri saya sepenuhnya ke dalam budaya berlainan.

“Saya percaya, dunia ini penuh dengan perkara-perkara hebat dan istimewa, sekiranya kita melihat setiap perkara itu daripada sudut positif,” katanya.

Pengembara ala-backpacker ini mempunyai sikap suka mengembara tanpa kajian awal kerana dia sendiri menginginkan penduduk tempatan, yang menceritakan tentang negara dan budaya mereka terhadapnya.

Menurutnya, ibu bapanya tidak pernah melancong bahkan tak pernah ada pasport.

Oleh itu, semua perkara harus dilakukannya secara bersendirian.

Chloe yakin bahawa pasti ada dunia lain selain Negeri Nebraska, pasti terdapat sebuah kota tanpa gunung-ganang dan tanpa pantai.

“Saya tak pernah membiarkan masalah sebagai penghalang untuk saya bergerak ke hadapan. Saya berfikiran terbuka dan cukup gembira apabila dapat memahami tentang apa yang berlaku di sesebuah tempat.

“Saya biarkan masalah itu, ‘menarik’. Kalau nak jadi pengembara sejati, kita perlu melawat ke tempat yang jarang dikunjungi orang,” katanya.

AMBIL RISIKO

Beliau yakin, seseorang itu perlu mengambil risiko kerana hasilnya nanti adalah satu kenikmatan tak terhingga, iaitu nilai persabahatan dan kenangan indah berkekalan.

Chloe berjumpa ramai orang hebat di sepanjang pengembaraannya dan ada sebahagian daripada mereka telah menjadi rakan baiknya.

“Mereka jugalah yang menyokong segala impian saya dan memberi inspirasi untuk maju ke hadapan,” katanya.

China, negara sulung dikunjungi Chloe, pada usianya 19 tahun.

“China negara yang sesuai dikunjungi sebagai permulaan, memandangkan negara ini besar, sekaligus memberi peluang kepada saya melawat lebih banyak bandar,” tambahnya.

Sebelum ini, Chloe menyangka melancong hanya untuk orang kaya kerana perlu mengeluarkan belanja yang tinggi, sedangkan ia sebaliknya.

“Saya tak perlukan hotel lima bintang untuk berseronok kerana pada hakikatnya, hotel-hotel indah ini semua tidak memberi pengalaman sesungguhnya tentang sesebuah negara.

“Saya nak berada di sebuah kawasan dipenuhi orang tempatan dan merasai sendiri pengalaman di situ. Saya tak kisah duduk di mana pun sewaktu melancong. Saya juga suka makan makanan tempatan berbanding di restoran berkelas,” ujarnya.

Menurut Chloe, ahli keluarganya tak pernah beri sokongan dari segi kewangan untuknya menjalankan hobinya itu, bahkan ibu bapa Chloe cukup risau dengan perjalanannya ke seluruh dunia, tetapi dalam masa sama yakin bahawa Chloe seorang gadis yang kuat dan bijak.

“Ibu bapa tak pernah berasa sangsi dengan kebolehan saya. Lucunya, hampir kesemua tempat yang saya lawati, ibu bapa saya tak pernah mendengar tentangnya.

“Namun mereka gembira mengetahui bagaimana saya diterima baik oleh masyarakat di sesebuah tempat.

“Bagi mereka, ia seperti tak ada masalah untuk berada di mana sahaja. Mereka juga ingin melancong seperti saya tetapi malangnya mereka tidak mempunyai kehidupan yang mudah,” tambahnya lagi.

Gadis ini turut menyatakan hasratnya untuk melancong sepanjang hayat.

Minatnya terhadap dunia dapat diterjemahkan dengan kunjungannya ke negara yang sama untuk beberapa kali.

Padanya, semua tempat dilihat sebagai rumahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya