Kurang empat peratus wanita Malaysia buta huruf

Kurang empat peratus wanita Malaysia buta huruf

ANWAR Ibrahim dan Nancy Shukri (empat kiri) bergambar dengan penerima Anugerah KASIH Wanita selepas merasmikan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2023 di Dewan Perdana FELDA baru-baru ini. – URUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAMBUTAN Hari Wanita Antarabangsa 2023 kelmarin merupakan manifestasi penghargaan dan pengiktirafan kepada golongan wanita tanpa mengira latar belakang, etnik, bahasa, budaya, ekonomi dan politik.

KASIH Wanita diangkat sebagai tema kali ini yang bermaksud kasih sayang, akhlak mulia, sihat, ilmu dan harmoni dalam usaha melahirkan individu, keluarga serta masyarakat yang maju dari segi pemikiran, kerohanian, kebendaan, beradab dan menyanjung tinggi nilai-nilai kemanusiaan.

Tema itu tepat bagi merujuk kepada peranan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sepanjang 22 tahun memperkasa wanita dan mengarus perdanakan gender, selari dengan hasrat Malaysia Madani.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, antara kejayaan besar yang dicipta wanita dalam tempoh itu ialah peningkatan kadar literasi daripada 86.3 peratus pada 2000 kepada 96.20 peratus tahun berikutnya.

Lebih membanggakan, katanya, kadar kemasukan wanita di setiap peringkat pendidikan turut mencatatkan lonjakan.

Menurutnya, statistik 2021 mendapati jumlah kemasukan prasekolah ialah 90.31 peratus manakala peringkat rendah (98.43 peratus), menengah (94.45 peratus) dan pendidikan tinggi (47.51 peratus).

“Secara keseluruhan, wanita masih mendominasi kadar kemasukan kasar berbanding lelaki dalam semua peringkat pendidikan.

“Malah, kemasukan wanita di peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) dan sarjana turut meningkat iaitu sebanyak 50.02 peratus dan 56.62 peratus pada tahun sama, 2021,” katanya berucap dalam majlis sambutan di Dewan Perdana Felda, baru-baru ini.

Majlis dihadiri kira-kira 600 tetamu yang turut disiarkan secara langsung di Facebook dan YouTube itu dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Yang hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek serta Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu.

Anwar turut menyampaikan hadiah kepada lima penerima Anugerah KASIH Wanita iaitu Rosmani Ismail yang mengungguli kategori Wanita Bangkit diikuti Azrina Salleh (Wanita Cekal), B. Marie Puspan (Wanita Harmoni), Sang Swe Teck (Wanita Komuniti) dan Dayang Rugayah Awang Besar (Wanita Bakti).

ANWAR menyerahkan Anugerah Wanita Bangkit kepada Rosmani Ismail sambil diperhatikan oleh Nancy.

ISI TIGA JAWATAN

Penyertaan wanita dalam tenaga buruh masih lagi rendah iaitu sebanyak 55.5 peratus meskipun terdapat peningkatan saban tahun.

Nancy berkata, bagi jawatan pembuat keputusan di sektor awam, wanita berjaya melepasi kuota 30 peratus yang disasarkan dengan merekodkan sebanyak 38.8 peratus berbanding 38.75 peratus 2021.

Bagaimanapun, ujarnya, kajian penilaian terkini yang dilaksanakan KPWKM mendapati terdapat sektor-sektor tertentu termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang masih jauh daripada sasaran itu.

Nancy memberitahu, hak-hak dan kedudukan kaum Hawa akan lebih terjamin jika semakin ramai wanita terlibat sebagai pembuat keputusan sekali gus dapat menyuntik kepelbagaian dalam kepemimpinan dan pentadbiran negara selaras untuk merapatkan jurang gender di Malaysia.

“Senario itu membayangkan mengapa tidak tiga jawatan tertinggi dalam perkhidmatan awam iaitu ketua setiausaha negara, ketua pengarah perkhidmatan awam dan ketua setiausaha perbendaharaan disandang oleh wanita pula selepas ini,” katanya.

Sehubungan itu, Nancy berjanji kementeriannya akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif memperkasakan wanita daripada segi ekonomi, keselamatan, kesejahteraan dan kepemimpinan.

“Langkah itu bagi memastikan wanita dapat berdikari dan mengurangkan kebergantungan kepada orang lain untuk kelangsungan hidup, seterusnya mendaya upayakan potensi mereka agar mampu bangkit mengatasi cabaran,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya