PENYANYI yang terkenal dengan jolokan Ratu Tari Malaysia, Stacy akhirnya mampu tersenyum selepas berjaya melunaskan impian beraksi dalam konsert sulung, baru-baru ini.
Stacy melakar sejarah tersendiri apabila beraksi buat kali pertama di pentas berprestij, Dewan Filharmonik Petronas (DFP).
Penat lelah berbulan-bulan terbalas. Stacy mengakui, dia berpuas hati melihat wajah kesayangan yang datang memberi sokongan pada konsert DFP Presents Stacy itu.
“Kita manusia tidak pernah puas. Tapi, Alhamdulillah, saya puas sebab keluarga dan peminat hadir.
“Saya anak Sabah. Jadi, saya terharu kerana diberi peluang untuk membuat konsert pertama di lokasi berprestij di Kuala Lumpur.
“Terima kasih kepada peminat dan rakan media atas sokongan yang diberikan kepada saya,” katanya.
Sebanyak 17 lagu dipersembahkan pada konsert tersebut. Stacy mengembalikan nostalgia menerusi lagu hits seperti Pakai Buang, Kasanova, Jahat, Pelangi Senja, Bosan, Aku Stacy dan banyak lagi.
Lebih istimewa, konsert tersebut turut diserikan dengan kemunculan suaminya, Akim Ahmad yang membawakan beberapa lagu, termasuk lagu duet Menggegar Dunia dan Aku, Kau & Muzik.
Kata Stacy, dia bagaikan bermimpi untuk mengadakan konsert sebesar itu di DFP. Rata-rata semua 800 peminat yang hadir pulang dengan senyuman.
“Sejujurnya, saya tidak pernah sangka, selepas melahirkan anak ketiga, saya dapat peluang dan momen seperti ini.
“Saya terlalu teruja untuk memberikan yang terbaik. Malam ini adalah yang paling maksimum, paling ‘maut over’ daripada saya. Saya berpuas hati. Terima kasih DFP,” ujarnya.
Letih, kurang tidur
Akui Stacy, gara-gara terlalu memikirkan tentang konsert solo itu, dia kurang tidur dan keletihan.
Namun katanya, segala penat lelah itu terbayar apabila melihat peminat gembira dan terhibur dengan persembahan yang diberikan.
“Sudah beberapa hari saya tidak dapat tidur yang mencukupi. Mental masih berlawan dan otak tidak mahu berehat.
“Konsert ini terlalu holistik. Ia adalah perjalanan yang membezakan awal kemunculan saya dengan pencapaian saya sekarang. Semua itu proses yang saya lalui
“Saya tidak nafikan memang penat, tetapi saya tetap teruskan rutin harian. Suami juga banyak memberikan semangat” ujarnya.
Ditanya tentang perasaan melihat kehadiran dua anaknya, Bella dan Eshaal pada konsert tersebut, Stacy mengakui terlalu gembira serta bangga.
“Anak saya selalu menjadi pengkritik di rumah. Jadi, saya bawa mereka untuk tengok persembahan saya kali ini.
“Saya tidak akan lupakan memori ini. Terima kasih atas momen ini,” jelasnya.
Sebak, bangga
Tidak dinafikan, di sebalik kekuatan Stacy pada konsert itu, tersembunyi semangat yang disuntik suaminya.
Akim memaklumkan, dia bangga dan sebak melihat pencapaian isteri kesayangan yang selama bertahun-tahun berkorban jiwa dan raga demi bidang yang dicintai.
“Ketika pembukaan konsert, saya sebak mengenangkan pengorbanan dan usaha keras yang dia lakukan sepanjang kerjayanya sebagai penghibur.
“Dalam sibuk membuat persiapan untuk konsert, dia tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai ibu. Hafal koreografi tarian dalam gelap, tetapi tengah malam tetap bangun bancuh susu untuk anak.
“Rezeki saya dipertemukan dengan isteri seperti Stacy. Saya selalu doa konsert ini berjaya dan membuat semua orang gembira. Alhamdulillah, dia berjaya,” katanya.











