Gencatan senjata politik sempena Ramadan - Utusan Malaysia

Gencatan senjata politik sempena Ramadan

Ramadan ini, sila jaga tindak-tanduk, lidah atau jari jemari sewaktu mengeluarkan komen.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ramadan semakin hampir, namun gelora polemik politik seakan tidak kunjung reda gelojaknya. Gelora politik perkara biasa, tetapi tikam cucuk ejek sindir berlebihan boleh membangkitkan ribut politik dan membocorkan sampan rohani dalam Ramadan.

Hidup di dunia tidak mungkin berpisah dengan politik kerana politik adalah sebahagian keperluan asasi manusia.

Rasulullah SAW sendiri seorang ahli politik yang berjaya mengangkat nama Madinah sebagai negara yang sejahtera lagi adil.

Tanpa kuasa politik yang hakiki, mana mungkin segala polisi berguna dapat ditegakkan oleh Baginda sebagai cerminan keindahan serta kesyumulan islam.

Pun begitu perlu disedari bahawa permainan politik baginda kukuh bertunjangkan akhlak Islam yang sebenar. Tiada pada kempen atau langkah politik baginda membuahkan dosa lain seperti dosa ejek, caci, sindir dan hina pihak berbeza aliran.

Bahkan jika terpaksa menjawab celaan musuh sekalipun, bahasa Baginda tetap indah berlapik. Bagaimana?

Pernah sekali sekumpulan Yahudi masuk bertemu Rasulullah SAW dan mereka memberikan ucapan salam yang ‘dijatuhkan huruf lamnya’ (AS-SAAMU ALAYKUM) yang bermaksud “Celaka ke atas kamu”

Aishah menceritakan Aku faham maksud 2 patah perkataan ucapan mereka itu, lantas aku menjawab “Ke atas kalian juga celaka dan laknat!” Berikutan itu Rasulullah menegur Aishah:

Tunggu dahulu (Sabar) Wahai Aishah! Sesungguhnya Allah sukakan lemah lembut dalam semua perkara. Aku jawab: “Tidakkah engkau dengar apa yang mereka ucapkan?” Baginda menjawab: Aku sudah menjawab – Wa ‘Alaykum (Ke atas kalian juga cacian itu) (Sahih al-Bukhari, 5565 & Sahih Muslim, 4027).

Pendek kata, baginda SAW sangat berwaspada dengan bahasa digunakan.

Oleh itu, jika anda mahu menegakkan politik seperti baginda, maka jaga tindak-tanduk, lidah atau jari jemari anda.

Jangan sampai perjuangan berbau hamis dan hanyir dilumpuri akhlak buruk.

Sempena Ramadan bakal menjengah dalam masa tidak sampai 10 hari lagi, saya mencadangkan ‘gencatan akhlak buruk’ dilancarkan melibatkan semua peminat politik Malaysia demi menjamin kesucian pesta ibadah Ramadan.

Perang media sosial yang menggunakan peluru ejek dan panah sindir para peminat tegar politik Malaysia kelihatan sangat kritikal. Keluar apa sahaja isu dan polemik, setiap pihak akan mula memukul gendangnya yang penuh dengan nada sumbang merosakkan imej Islam dan umat Islam.

Fitrah manusia, mereka bermatian mempertahankan fahaman dianuti, termasuk bendera parti yang mereka julang melalui sistem demokrasi. Allah jelaskan perkara ini dalam firman-Nya bererti:

Kemudian umat para Rasul itu berpecah-belah dalam urusan agama mereka kepada beberapa pecahan, setiap golongan bergembira dengan apa yang ada pada mereka (al-Mu’minun 23:53).

Walaupun begitu, fanatik pihak sendiri perlu dikawal kerana ia boleh mendorong kita menuai dosa dalam bulan Ramadan.

RAMADAN BULAN IBADAT

Umat Islam perlu sedar Ramadan bukan bulan biasa. Ia datang setahun sekali dan termasuk dalam senarai hembusan Rahmat Allah yang wajib direbut semua sesuai saranan Nabi SAW, ertinya:

Ertinya: Anas bin Malik RA berkata Rasulullah SAW pernah bersabda: “Kerjakan kebaikan sepanjang usiamu (terutama sekali pada waktu istimewa yang disebut agama) dan carilah hembusan Rahmat Allah kerana ia menyentuh siapa sahaja yang Dia mahu dalam kalangan hamba-Nya. Pohonlah kepada Allah agar Dia tutup aibmu dan selamatkan kamu daripada ketakutanmu (Mu’jam al-Kabir Imam al-Tabrani).

Usah cemari kemuliaan Ramadan dengan aktiviti politik yang tak habis dengan ejek sindirnya.

Kita sangat beruntung kerana tidak disyariatkan puasa senyap tanpa bicara sebagaimana syariat lampau (Maryam 19:26). Walaupun kita dibenarkan bertutur semasa berpuasa, arahan berpuasa daripada kata nista tetap ditekankan Islam. Sabda Nabi SAW:

Ertinya: Sesiapa yang tidak meninggalkan cakap yang dusta, kotor serta mengamalkannya, serta minumnya (Sahih al-Bukhari, 1770).

Rehatlah seketika, puasa-kan tangan, jari jemari dan minda semasa Ramadan daripada berkongsi atau mengulas sebarang polemik politik yang remeh. Timbang dan nilai menurut neraca agama adakah komen atau ulasan yang bakal ditulis memberi faedah rohani dalam bulan Ramadan atau sebaliknya. Pastikan sebarang polemik politik yang mahu diulas menepati ciri ‘benar dan baik’. Dua ciri ini wajib didokong bersama tanpa pisah.

Hal ini kerana ada sesuatu isu yang benar cirinya tapi tidak semestinya baik kerana ulasan tambah pada isu tersebut boleh pula menjerumuskan kita ke dalam lurah dosa.
Ada juga perkara yang kelihatan baik, namun tidak benar.

Jika kita turut ulas perkara tidak benar yang berbau seakan baik itu, kita akan terkena pula ancaman dosa dusta sebagaimana sabda Nabi SAW, ertinya: Cukuplah seseorang itu digelar pendusta jika dia berbicara dengan apa sahaja yang didengarnya (Sahih Muslim, 6).

Dahulu semasa dunia tidak didominasi oleh media sosial, kita boleh hidup tenteram tanpa mengulas semua polemik dan isu.

Sepatutnya kita cuba sedaya mampu mempraktikkan perkara sama dalam bulan Ramadan agar dosa kita tidak bertambah dan pahala kita tidak hangus. Hayati semangat takwa yang Allah jadikan sasaran utama dalam ibadah puasa:

Ertinya: Wahai orang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang dahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa (al-Baqarah2:183).

Penulis ialah Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya