Bahasa Melayu senang dipelajari – Olga

Bahasa Melayu senang dipelajari – Olga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAHIR berbahasa asing memberi banyak kelebihan kepada seseorang terutama dalam memudahkan proses interaksi dan komunikasi.

Apatah lagi jika perlu berurusan dengan penduduk dari negara luar, tentunya kemahiran itu menambahkan lagi keyakinan untuk berbual atau memohon bantuan.

Paling mustahak, bahasa asing turut menjadi medium bagi memupuk semangat perpaduan di sebalik latar belakang bangsa, agama dan budaya yang berbeza.

Menyedari kepentingan itu, wanita warga Russia, Olga Golovko, 36, berazam untuk menguasai bahasa Melayu sebagai bahasa kelimanya.

Golovko yang merupakan Setiausaha Pertama Kedutaan Russia di Malaysia menetap di negara ini sejak 2021 dan turut bersamanya ialah suami dan anak lelaki berusia tujuh tahun.

Sebenarnya, tidak sukar untuk wanita kelahiran Moscow itu berbuat demikian, memandangkan sudah fasih bertutur dalam bahasa Indonesia.

Percaya atau tidak, bahasa Indonesia merupakan bahasa keduanya sebelum bahasa Inggeris dan Sepanyol, yang dipelajari ketika mengikuti Ijazah Sarjana Muda Hubungan Antarabangsa pengkhususan Asia Tenggara di Moscow Mgimo University.

“Asia Tenggara adalah pembangunan masa depan kita dan kerajaan Russia optimis untuk memperkasakan hubungan dengan negara di rantau ini.

“Kemahiran bahasa asing banyak membuka mata saya kerana fungsinya bukan sekadar untuk membina hubungan malah, membantu memahami mentaliti dan kehidupan rakyat sesebuah negara.

“Melalui bahasa, seseorang tidak perlu mengambil masa sehingga 20 atau 30 tahun untuk mengenali secara mendalam bangsa atau budaya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

‘Keluarga Malaysia’, perkataan kegemaran

Golovko berkata, walaupun bahasa Melayu dan Indonesia kedengaran sama, tetapi makna sebenar di samping penggunaan dan intonasinya berbeza.

Katanya, situasi itu sekali gus memerlukannya bertanya semula kepada rakan-rakan tentang makna sebenar di sebalik perkataan berkenaan.

“Dalam bahasa Indonesia tiada perkataan ‘jom’ atau ‘lah’ dan semasa kali pertama mendengarnya, saya keliru maksud sebenar sehinggalah dijelaskan oleh kawan.

“Tetapi saya seronok dapat memahami dan boleh bertutur dalam bahasa Melayu cuma azam saya adalah untuk mempelajarinya dengan lebih mendalam menerusi kelas di universiti misalnya,” katanya.

Mengimbau kembali kenangan mempelajari bahasa Indonesia, Golovko berkata, hanya dalam beberapa minggu dia boleh memahami bahasa tersebut, jauh lebih singkat berbanding rakan-rakan yang mengikuti bahasa Mandarin atau Jepun.

Ketika ini, pendekatan yang diambil Golovko untuk memantapkan penguasaan bahasa Melayunya ialah dengan menonton video kembara di laman sosial.

Menurutnya, antara perkataan bahasa Melayu yang sering digunakan dalam perbualan seharian ialah keluarga Malaysia.

Katanya, walaupun berjauhan dengan keluarga kandung, namun dia bersyukur kerana dikelilingi ‘keluarga’ atau rakyat Malaysia yang ramah-tamah sepanjang menetap di negara ini.

Makanan satukan Malaysia-Russia

Aiskrim buah beri antara hidangan penutup istimewa bagi sebarang keraian oleh masyarakat Russia.

Walaupun berlainan benua, namun Malaysia dan Russia mempunyai titik persamaan dalam konteks makanan.

Golovko berkata, menjadi amalan penduduk di negaranya untuk berhimpun dan menyambut perayaan bersama-sama keluarga termasuk pada Hari Maslenitsa.

Katanya, situasi itu mirip seperti sambutan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Deepavali yang diraikan di negara ini.

“Malaysia dan Russia ada hubungan yang unik kerana makanan menyatukan rakyatnya yang berbilang bangsa serta etnik.

“Apabila ada perayaan atau jamuan, tuan rumah akan bertungkus-lumus menyediakan hidangan dan melayan tetamu dengan baik. Amalan ini sedikit sebanyak menghilangkan kerinduan kepada negara asal kerana berpeluang berkunjung ke rumah terbuka yang dianjurkan masyarakat majmuk di Malaysia,” katanya.

Golovko memberitahu, antara menu pilihannya pada Hari Raya Aidilfitri ialah rendang selain turut menggemari tomyam dan sambal belacan.

Olga Golovko (kiri, duduk) bergambar kenangan bersama isteri Duta Rusia Marina V. Latypova (sebelah) dengan tetamu jemputan yang hadir pada majlis sambutan Maslenitsa baru-baru ini.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya