KEKAL cantik persis anak dara, mungkin ramai hampir terlupa, 2023 menyaksikan usia pelakon, Rozita Che Wan bakal menjangkau 50 tahun.
Pun begitu, pada usia begini, Rozita masih mendapat kepercayaan untuk membawa gelaran duta produk. Terbaharu, dia bekerjasama dengan jenama Angsa Emas Jewellery.
Mengakui ia sebagai peluang yang tidak terjangka, pelakon yang mesra disapa sebagai Che Ta itu berkata, hatinya kuat mengatakan rezeki yang datang itu adalah ganjaran daripada Allah SWT apabila dia ikhlas menjaga ibu mentuanya.
Menurut Che Ta, sejak dua bulan lalu, ibu mentuanya, Siti Aisyah Abdullah, 76, terbuka hati untuk tinggal bersama mereka.
“Mungkin ia berkat saya menjaga orang tua. Selama ini, saya memang menjaga emak di rumah. Tetapi, sejak dua bulan lalu, saya turut membawa ibu mentua tinggal bersama. Sebenarnya, saya risau dengan keadaannya selepas ayah mentua meninggal dunia, beberapa tahun lalu.
“Rumah kami memang tidak jauh, tetapi saya bimbang kalau dia bersendirian. Dia pula semakin tua dan sudah tidak sekuat dulu kerana pernah jatuh.
“Jadi, saya suarakan kepada suami untuk bawa ibu mentua timggal bersama. Lebih senang bila dia menetap bersama kami,” katanya.
Jelas Che Ta, suaminya, pelakon, Zain Saidin, pada mulanya agak terkejut dengan cadangan itu.
“Zain terkejut kerana sebelum ini, saya tidak pernah bercakap mengenai perkara itu. Dia tahu, tidak semua menantu wanita selesa tinggal bersama mentua. Malah, ada juga mentua lebih selesa menetap sendiri sebab tidak mahu menyusahkan anak dan menantu.
“Saya bukan menantu yang cerewet, malah ibu mentua juga begitu. Memang mudah jaga dia. Sekurang-kurangnya, emak ada teman berbual apabila ibu mentua tinggal dengan kami.
“Walaupun seorang cakap Melayu, manakala seorang lagi bertutur bahasa Inggeris, masing-masing faham apa yang dibualkan,” seloroh Che Ta.
Selain itu, kata pelakon drama Kiah Pekasam dan Tahyul ini, dia sentiasa percaya keberkatan doa orang tua, selain mahu berbakti kepada mereka selagi hayat masih dikandung badan.
“Satu yang saya pegang, kalau kita sayangkan suami, kita mesti mahu bersama-sama meraih pahala. Peluang dapat menjaga ibu bapa yang sudah tua bukan semua orang ada. Kita buat atas rasa kasih dan sayang.
“Mentua ibarat ibu dan bapa kita juga, jadi kita kena sayang mereka sama seperti kita sayang emak dan ayah sendiri,” katanya.
Tips buat menantu
Tidak pernah menganggap dirinya wanita dan isteri sempurna, namun kata Che Ta, toleransi adalah kunci utama yang harus dipraktikkan apabila tinggal bersama mentua.
“Kita mungkin tidak memiliki 100 peratus persamaan dengan mentua.Dalam hal ini, saya bertuah kerana mentua tidak cerewet.
“Sebagai menantu, kita harus bertoleransi dan sesuaikan diri. Sama-sama perlu terima kekurangan dan kelebihan masing-masing,” katanya.











