KALAU hendak dikatakan tentang ‘sumpahan’, barangkali benar, sumpahanlah yang membuatkan kumpulan New Boyz (NB) bagai selamanya ‘tersekat’ dengan lagu hits Sejarah Mungkin Berulang.
Masakan tidak, selepas 24 tahun ia dihasilkan, lagu itu bagaikan membawa kumpulan ini dan peminatnya masuk ke dalam sebuah mesin masa, kembali mengimbau sejarah ketika mula-mula mereka tumbuh menjadi anak seni popular pada 1999.
Semuanya melalui penganjuran konsert New Boyz Sejarah Mungkin Berulang, berlangsung di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC) pada 10 dan 11 Februari lalu.
Mengumpulkan peminat-peminatnya dalam satu konsert penuh nostalgia, Tomok, Lan, Zack, Jay, Afiez dan Ristoe secara tidak langsung mencipta sejarah tersendiri di era yang baharu.
Malah, ia sekali gus membuktikan bahawa NB tidak pernah kehilangan peminat walaupun rata-ratanya kini bukan lagi ‘budak-budak sekolah’ atau remaja yang dahulunya laju membeli kaset, cakera padat atau bahkan mengumpul gambar-gambar dan poster artis kesayangan mereka ini sebagai koleksi peribadi.
Melihat isi ruang dewan yang penuh selama dua malam berturut-turut konsert itu diadakan, sebagai vokalis, Tomok atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail tidak menyangka sebegini ‘gila’ sambutan daripada peminat terhadap NB walaupun masing-masing sudah dewasa.
“Sebab itulah, ketika menyanyi, saya cuba menahan air mata dari mengalir jatuh. Sebenarnya, setiap lagu dibawakan pada konsert itu memang mengimbau kenangan dan ia bukan cuma pada lagu Sejarah Mungkin Berulang.

“Melihat peminat-peminat masih ingat dan hafal lirik lagu NB dan menyanyi bersama, membuatkan saya dan anggota NB yang lain rasa sangat terharu, sampai nak menangis dibuatnya.
“Lagu Meraung yang dibawakan di hujung persembahan juga sangat istimewa buat kami. Terus-terang, rasa meremang jugalah bulu roma ini,” katanya.
Mengakui ketika beraksi di pentas, segala macam pengalaman dan kenangan lama mula datang menerpa di minda, Tomok sedaya upaya mahu menyembunyikan perasaan sebenarnya kerana bimbang mengganggu kelancaran persembahan.
“Kalau keluar air mata juga, memang tak boleh menyanyilah ceritanya. Sebenarnya, saya jadi teringat kepada kenangan lalu. Waktu kami sama-sama berlatih di studio lagi perasaan ini sudah datang.
“Macam tak percaya, kami dapat berkumpul semula, dapat sokongan daripada keluarga, kawan-kawan dan peminat hinggalah konsert ini berjaya direalisasikan, semuanya bagaikan satu mimpi,”katanya.
Ada sisi hampa
Dalam keterujaan menyaksikan NB kembali beraksi sebagai sebuah kumpulan, timbul pertanyaan mengenai ketiadaan anggota asal mereka iaitu Syuk (bass),Along (dram), Zimi (gitar) dan Rizz (gitar).
Kecuali Along, secara rasmi, memang Syuk, Zimi dan Rizz, keluar daripada kumpulan berkenaan, namun peminat mengharapkan sekurang-kurangnya untuk projek konsert ini, ketiga-tiga mereka dapat bersama-sama mencipta semula kenangan manis.
“Saya tahu ramai yang tanya tentang Syuk dan Along. Saya sudah cuba hubungi tetapi ternyata mereka memang tak boleh terlibat sama sebab ada komitmen.
“Untuk konsert ini, memang kami semua kena ambil masa lama. Berlatih pun berbulan-bulan dan di situ memerlukan komitmen yang tinggi.
“Kalau ikutkan hati, memang nak bawa semua anggota NB untuk konsert ini,” katanya.
Konsert lebih besar
Tomok mengesahkan bahawa penganjuran konsert NB ini merupakan inisiatif kewangannya sendiri, justeru amat bersyukur kerana usahanya untuk merealisasikan konsert itu tercapai.
Pun begitu, kata penyanyi berusia 39 tahun ini, jauh di sudut hati, dia mengangankan sebuah konsert berskala lebih besar untuk menghargai dan menghiburkan lebih ramai peminat.
Bahkan, kata Tomok, hal itu membuatkan dirinya dan anggota lain menjadi lebih bersemangat kerana telah pun mendapat pertanyaan ramai berhubung kebarangkalian wujud konsert seterusnya.
“Kalau sajalah ada penaja yang nak realisasikan hasrat itu, memang saya rancang nak buat konsert di lokasi yang lebih besar. Menerusi konsert kali ini, saya harap ia mampu jadi ‘umpan’ buat mana-mana penaja kelak bahawa konsert NB boleh jadi sesuatu yang besar.
“Kita ada banyak lagu hits dan tarik orang datang. Dengan momentum sebegini, mungkin selepas ini kita boleh buat kertas kerja.
“Jangan takut rugi buat konsert dengan NB. Peminat kami turut meliputi Brunei, Indonesia dan Singapura,” katanya.
Selain Sejarah Mungkin Berulang dan Meraung, antara lagu lain yang dibawakan termasuk Cuba-Cuba, Iye Iye Iyo, Kejora, Hiasan Di Laman Rindu, Cinta Dan Dicintai dan Putus.
Tidak ketinggalan turut dimainkan ialah lagu Masih Ada Cinta, SMS, Apa Kau Mau, Ku Miliki Jua, Lolita, Lukamu Lukaku Jua dan Marah Bukan Sifatku.
Selain itu, untuk segmen akustik, Tomok memilih untuk membawakan lagu Ku Abadi Selamanya, Norkia, Hanya Tinggal Sejarah, Qyiam dan Khilaf.