Nazim Othman sanggup berlakon percuma - Utusan Malaysia

Nazim Othman sanggup berlakon percuma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAMA tidak bertemu pelakon serba boleh, Nazim Othman. Dia seolah-olah lebih senang menjalani kehidupan tanpa publisiti yang sengaja direka-reka.

Pun begitu, dia tidak culas mencari rezeki dalam bidang seni. Bakat bukan lagi persoalan buat peminat pelakon berusia 38 tahun ini.

Melayangkan pertanyaan, pada usia kerjaya seninya mencecah 15 tahun, apakah terbit kepuasan yang dicari sebagai pelakon? Apa lagi yang mahu diraih dan dibuktikan Nazim?

“Saya bukan budak-budak lagi. Diam tak diam, sudah mahu masuk usia 40-an. Drama dan teater sudah saya teroka, cuma belum rezeki untuk berlakon filem.Kalau mengenai watak, banyak sebenarnya yang saya idamkan.

“Cuma, ada beberapa watak yang diimpikan itu tidak sesuai untuk tontonan di layar kaca dan perak. Kita ada banyak kekangan, selain perlu mematuhi dan menjaga sensitiviti masyarakat.

“Saya menunggu peluang untuk platform penstriman yang lebih terbuka dan berani bermain dengan pelbagai watak menarik. Sebelum ini, saya pernah terima tawaran, tetapi terhalang disebabkan kesibukan jadual kerja,” katanya.

Meneruskan bicara, tambah Nazim, sebagai pelakon, sudah pasti ada beberapa impian yang belum dapat direalisasikan.

Apatah lagi, perjalanannya dalam dunia seni banyak mematangkan dia untuk merancang percaturan.

“Saya tidak pergi sekolah lakonan. Saya membesar dalam industri. Penjiwaan dan emosi saya adalah daripada pengalaman yang dilalui dalam kehidupan, selain filem yang saya tonton.

“Saya tahu kelebihan dan bakat yang dimiliki. Saya serius dalam setiap kerja. Saya berlakon bukan main-main. Bukan untuk kejar wang ringgit, tetapi lebih kepada kepuasan dan minat yang mendalam.

“Saya pernah memberitahu seorang pengarah, jika ada peluang, berikan saya watak yang mungkin pada mata orang lain, tidak mampu saya jayakan. Saya akan buktikan sebaliknya. Tiada bayaran pun tak apa,” katanya.

Isteri Halal

Bercerita tentang drama terbaharu, Isteri Halal yang bakal disiarkan bermula 27 Februari ini, Nazim berkata, ini kali pertama dia digandingkan dengan pelakon hebat seperti Uqasha Senrose, Aidit Noh dan Isyariana.

Membawakan watak antagonis Daniel, pelakon itu berkata, dia tidak mempunyai kesukaran mewarnakan watak lelaki egois.

Sementelah, pengarah, Uchee Fukada memberi kebebasan untuk dia menyuntik kreativiti dalam mencorakkan karakter tersebut.

“Alhamdulillah, tidak sukar untuk kami mencari keserasian, biarpun ini kali pertama bekerjasama. Kami tidak ambil masa lama sebab masing-masing tahu mewarnakan watak dan peranan.
“Saya sudah berlakon puluhan drama dan watak ini mungkin sama, tetapi saya beri sedikit kelainan dengan jiwa yang berbeza. Daniel ini egois dan ada dendam sendiri. Tetapi, saya pilih imej yang lebih santai,” katanya mengenai drama yang mengisi slot Tiara setiap Isnin hingga Jumaat di Astro Ria pukul 6 petang.

Ditanya adakah watak antagonis lebih memberikan kepuasan, jelas Nazim, sesuatu karakter bergantung kepada pembawaan dan penjiwaan aktor itu.

“Saya suka watak baik. Sebagai manusia, mestilah saya mahu yang putih. Tetapi, realiti hidup, ada putih, kelabu dan hitam. Begitu juga watak, bergantung kepada jalan cerita, skrip dan penjiwaan.

“Kadang-kadang saya mahu watak lebih gelap. Tetapi, saya perlu bijak supaya tidak terbawa-bawa karakter itu dalam kehidupan realiti. Apabila terlalu mendalami watak, kita terlupa untuk switch off karakter.

“Ia pernah terjadi dahulu, tetapi saya cepat-cepat ajar diri untuk membezakan antara lakonan dan realiti. Sebagai pelakon, kita laburkan banyak tenaga. Apabila terlalu memberi, kita boleh buat silap,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×