Melodi, lirik lagu lama lebih ‘menangkap’ - Utusan Malaysia

Melodi, lirik lagu lama lebih ‘menangkap’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP kali lagu Menjelang Hari Raya diputarkan, tidak kira sama ada pendengar muda atau dewasa pasti mampu menyanyikan keseluruhan lagu tersebut.

Lagu itu juga membangkitkan semangat pendengar untuk sama-sama menanti ketibaan Hari Raya Aidilfitri.

Walaupun dirakamkan pada 1978, penyanyinya, Datuk DJ Dave berkata, semua lapisan masyarakat tahu tentang lagu yang mudah melekat di telinga itu.

Ternyata, melodi lagu yang dicipta S. Atan dan arwah Kamali Hudi itu kekal menjadi seleksi lagu malar segar dan bertahan dari zaman ke zaman.

“Lagu itu saya rakamkan sebelum memeluk Islam. Sehingga kini, ia masih didengar semua lapisan masyarakat, meskipun sudah berusia 45 tahun.

“Lagu era 1960-an hingga 1980-an masih mendapat permintaan pendengar sehingga sekarang,” katanya.

Disoal rahsia sentuhan komposer lama kekal bertahan, DJ Dave atau nama lengkapnya, Irwan Shah Abdullah berkata, lagu lama mempunyai kekuatan tersendiri, terutama dari segi melodi dan lirik.

Katanya, ketika itu, industri muzik sedang mengalami revolusi dan keterbukaan khalayak menerima perubahan membantu semua genre mendapat tempat di hati pendengar.

“Baik lagu Inggeris, Hindi atau Melayu, semuanya bertahan. Sejak era 1960-an, industri muzik mengalami revolusi. Kenapa lagu arwah Tan Sri P.Ramlee, Michael Jackson dan Elvis Presley orang masih dengar?

“Ini disebabkan oleh melodi dan lirik yang mudah dihafal, malah peminat juga membesar dengan lagu tersebut. Tidak seperti hari ini, kebanyakan melodi dan lirik hanya diminati segelintir pendengar. Itu yang membuatkan sesetengah lagu tidak dapat bertahan lama di hati peminat,” katanya.

LAGU PERPADUAN

Berkongsi perkembangan terkini, DJ Dave berkata, dia bakal berkolaborasi bersama 13 penyanyi popular menerusi sebuah karya berunsurkan perpaduan.

Katanya, lagu tersebut dihasilkan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu ia direalisasikan.

“Muzik juga boleh mencetuskan perpaduan. Contohnya, kalau kita masuk ke pusat karaoke, semua jenis lagu ada baik Melayu, Cina dan India. Kebanyakan lagu nyanyian saya juga mempunyai elemen perpaduan.

“Letak ketepi soal agama atau pegangan hidup setiap individu jika mahu agenda perpaduan dapat terus dimartabatkan,” katanya.

Menariknya, setiap penyanyi bakal menyampaikan lagu tersebut mengikut dialek daerah dan negeri kelahiran masing-masing.

Menurut DJ Dave, lagu yang menampilkan 13 bahasa dan dialek seperti bahasa Melayu, Iban, Kadazan, Orang Asli dan Siam itu sudah siap dirakamkan.

Antara penyanyi terlibat adalah Datuk Awie, Marsha Milan Londoh, Jaclyn Victor, Suki Low dan ramai lagi.

“Lagu berunsur perpaduan ini akan dilancarkan tidak lama lagi dan hanya tinggal penghasilan video muzik,” katanya.

TRADISI LIMA DEKAD

Presiden Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air itu ditemui semasa majlis sambutan ulang tahun kelahiran ke-75 di Rumah Titian Kasih, Titiwangsa, baru-baru ini.

Saban tahun, kongsinya, dia tidak pernah gagal meraikan hari jadi bersama kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU), asnaf dan kurang berkemampuan.

Kongsinya, tradisi itu bermula sejak lima dekad lalu selepas seorang remaja OKU menjadi pencetus kepada perjalanan karier seninya.

“RTM pernah jemput saya menyanyikan lagu Hindustan pada 1971. Saya nyanyi lagu Maafkanlah dalam versi Hindustan. Ketika itu, saya masih bekerja di pejabat pos.

“Seorang remaja kurang upaya datang dan memberitahu, lagu itu sedap. Dia mencadangkan saya menyanyikannya dalam bahasa Melayu. Apabila lagu itu dirakamkan, ia meletup dan melonjakkan nama saya,” kongsinya.

Sejak itu, DJ Dave berkata, kariernya sebagai penyanyi semakin berkembang apabila lagu tersebut berjaya menghuni tangga pertama carta selama 13 minggu berturut-turut.

Nasihat daripada remaja itu juga membuatkan dia bertekad meraikan sambutan hari jadi setiap tahun bersama kanak-kanak istimewa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×