Famili Duo, bukan program sendalan - Utusan Malaysia

Famili Duo, bukan program sendalan

Aksi memukau Zaki (kiri) dan Yamani Abdillah sewaktu membuat persembahan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KITA tolak tepi pelbagai drama yang tercetus sepanjang lapan minggu program realiti, Famili Duo bersiaran.

Itu adalah elemen penting yang memberi impak kepada rating, perniagaan adalah perniagaan.

Dalam lambakan kontroversi yang tercipta, secara tidak langsung perhatian mula diberikan kepada program ini, malah, boleh dikatakan Famili Duo menjadi antara yang boleh ‘menyaingi’ rancangan realiti terkenal yang lain.

Begitupun pujian harus diberikan kepada seluruh produksi pentas akhir Famili Duo yang berlangsung malam Ahad lalu.

Kita seperti menyaksikan persembahan bertaraf Anugerah Juara Lagu, menerusi konsep dan props persembahan.

Setiap peserta memberikan persembahan yang cukup cemerlang.

Mereka berjuang berhabis-habisan bukan sekadar unuk merebut kejuaraan.

Pentas itu adalah satu pembuktian, kemampuan dan bakat mereka yang mungkin sebelum ini dipertikai serta diperkecil.

Pentas itu adalah platform untuk mereka memberikan yang terbaik.

Juri tetap, Ajai berkata, setiap peserta berjaya memberikan persembahan selari dengan identiti dan trademark sendiri.

Ada kelebihan dan kekurangan, yang penting bagaimana menutup dan menonjolkan setiap satu daripada itu.

“Kita lihat Zaki dan Yamani. Mereka berjaya menghapuskan identiti bapa mereka, Datuk Jamal Abdillah. Di awal pertandingan, tone suara dan gaya persembahan mereka persis Raja Pop Malaya itu.

“Tetapi menuju ke pentas akhir, mereka berjaya jumpa identiti sebenar. Mereka lari daripada persepsi itu. Saya fikir, Jamal Abdillah pun tak mampu untuk melakukan persembahan seperti mereka.

“The Jebats (Ayda dan Fyna Jebat), membuka jalan itu. Mereka mencipta satu tanda aras untuk setiap peserta bersungguh-sungguh bertanding. Biarpun bukan juara, tetapi mereka membuktikan bakat sejati dimiliki,” katanya.

Lapan minggu berjuang, pasangan adik-beradik, Zaki Yamani dan Yamani Abdillah dinobatkan sebagai juara Famili Duo musim kedua.

Membawakan lagu Potret nyanyian asal Akim & The Majistret) dan Pelukan Angkasa (S.O.G) serta medley Hutang (Floor 88); Bunga dan Kau Pun Sama (Syamel), duo tersebut berjaya memukau juri dan penonton.

Naib juara pula menjadi milik duo adik-beradik, Ayda dan Fyna Jebat yang membawa pulang wang tunai RM20,000. Mereka mempertaruhkan lagu Pada Syurga Di Wajahmu nyanyian asal Datuk Nash.

Persembahan kedua mereka menerusi medley lagu Let’s Get Loud/Gangnam Style dibawakan dengan cemerlang serta mendapat standing ovation daripada dua juri tetap iaitu Ajai dan Mas Idayu.

Wani Kayrie dan Bella Astillah yang membawakan lagu Gila nyanyian asal Kaka Azraff, Loca B dan Noki sebagai pertaruhan pada pusingan pertama dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga.

Manakala, tempat keempat dimenangi duo Sissy Imann dan Naim Daniel selepas mempertaruhkan lagu sendiri, Sumpah dan Kau Yang Punya (Najwa dan Malique).

Bagi seorang lagi juri tetap, Mas Idayu, persaingan jelas terlihat di antara dua pasangan adik beradik, Zaki dan Yamani serta The Jebats yang masing-masing memberikan persembahan di luar expectation juri.

Kedua-dua duo menerima standing ovation daripada juri-juri tetap dan mendapat markah hampir sama namun undian akhirnya menentukan kejuaraan milik anak kepada Jamal Abdillah.

“Cukup berpuas hati dengan persembahan setiap peserta. Mereka memberikan persembahan yang menonjolkan siapa mereka yang sebenarnya. Kita jangan cakap pasal vokal, itu kita letak di tempat kedua.

“Tetapi kreativiti, cara mereka mewarnai pentas dengan konsep masing-masing itu menjadi elemen penting,” katanya.

‘Sudah tahu kuasai pentas’
Sementara itu, merangkul erat trofi di tangan, duo Zaki dan Yamani Abdillah tidak menyangka nasib akhirnya menyebelahi mereka menerusi program berkenaan.

Masakan tidak, sebelum ini sudah berkali-kali mereka mencuba melonjakkan nama menerusi penyertaan mana-mana pertandingan, namun, usaha tersebut bagaikan tidak begitu menjadi.

Dapat merasai sendiri progres diri dari segi lontaran vokal dan gaya persembahan, banyak perubahan dilalui oleh kedua-dua penyanyi muda ini yang hingga akhirnya melayakkan mereka bergelar juara.

“Persaingan agak sengit sebab peserta lain juga hebat-hebat belaka. Selepas berjuang hingga lapan minggu, di malam final, kami nekad untuk keluarkan segala energi yang ada secara zahir dan batin untuk mensasarkan posisi juara.

“Apa yang kami lakukan adalah untuk membuktikan bakat yang ada kepada semua pihak selain mahu menyakinkan semua bahawa kami tidak cuma sekadar ‘anak Jamal Abdillah’,” kata Yamani.

Tidak cuma itu, tambah penyanyi berusia 22 tahun ini, dia dan adiknya Zaki banyak menimba ilmu menerusi program ini yang turut menyuntik semangat untuk mereka menjadi lebih berani ketika membuat persembahan di pentas.

“Kami sangat terharu apabila menerima pujian daripada juri khususnya, yang melihat progres kami dari minggu ke minggu.

“Bermula dari tak pandai nak menari atau beraksi, kini kami sudah tahu bagaimana menguasai pentas dan menghiburkan penonton.

“Itu sesuatu yang tak pernah kami terfikirkan dan ternyata mencabar kami untuk menjadi lebih baik dari pelbagai sudut seorang penghibur. Terima kasih kepada Famili Duo kerana beri peluang buat kami menyerlahkan potensi bakat yang ada dalam diri,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.