Syafiq Kyle, Mimi Lana tunggu hari bahagia - Utusan Malaysia

Syafiq Kyle, Mimi Lana tunggu hari bahagia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALI ini pelakon, Syafiq Kyle tidak lagi berahsia. Dia tampak lebih tenang ketika melontarkan jawapan, biarpun soalan yang ditanya menebak isi di dalam hati. Lebih-lebih lagi, soal percintaannya dengan pelakon, Mimi Lana.

Bakal membina istana cinta tahun ini, ramai peminat teruja apabila mendengar pengakuan itu. Walaupun tiada sebarang bayangan bila tarikh bakal berlangsung, pengesahan nikah itu sudah cukup menggembirakan.

Apatah lagi, kedua-dua mereka sudah menjalani kursus perkahwinan dan persiapan menuju hari bahagia juga sudah mula disusun rapi. Jelas Syafiq, segala-galanya berjalan lancar dan mereka teruja menanti hari bahagia.

“Rasanya mungkin gambar swafoto peminat ketika kami menghadiri kursus kahwin yang tersebar itu sudah menjadi jawapan.

“Insya-Allah, majlis akan berlangsung, tahun ini. Cuma, tarikh itu saya tidak berani sebut. Semuanya bergantung kepada urusan dan komitmen kerjaya kami berdua.

“Banyak juga perkara yang perlu diselesaikan, tetapi apa yang saya boleh katakan, insya-Allah tahun ini,” katanya.

Mula membuka mulut soal mengenai hubungan istimewa mereka sekitar 2019, baik Syafiq mahupun Mimi dilihat lebih selesa menjalani percintaan mereka secara privasi, tanpa terlalu digembar-gemburkan.

Hubungan merpati dua sejoli itu pernah dikatakan putus sekitar Mei 2020, tetapi kembali terjalin beberapa bulan kemudian.

Jelas keterujaan di relung mata pemilik nama sebenar, Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak ini apabila secara berseloroh mengakui, sudah banyak berhabis wang ringgit untuk memastikan majlis pernikahan mereka berjalan lancar.

“Alhamdulillah, satu persatu langkah kami sudah lakukan. Menangis juga bila banyak berhabis. Tidak adalah, bergurau sahaja.

“Sejujurnya, saya percaya apabila kita mahu melakukan perkara baik seperti pernikahan, Allah pasti meluaskan lagi rezeki dan memudahkan urusan kami.

“Saya dan Mimi juga memohon doa semua agar urusan kami membina masjid dipermudahkan dan berjalan lancar,” katanya.

Pelakon berusia 30 tahun itu juga mengakui, tidak mahu terburu-buru dalam merencana semua persiapan dan menyelesaikan setiap agenda persediaan langkah demi langkah.

“Soal persiapan, saya selesaikan perkara wajib terlebih dahulu seperti kursus kahwin. Saya tidak mahu terkejar-kejar.

“Hal lain seperti pendaftaran, perlu tengok kesesuaian masa dan sebagainya. Disebabkan itu, saya tidak dapat berikan tarikh kerana ia boleh berubah-ubah mengikut komitmen kerja kami,” jelasnya.

Kurta Raya

Bakal menyertai festival jualan raya terbesar, Absolute Bazaar Gaya Raya di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Ramadan nanti, Syafiq menjelaskan, ini bukan kali pertama dia menyertai jualan raya.

“Sudah beberapa tahun saya menyertai jualan raya seperti Absolute Bazaar Gaya Raya ini. Saya menjual kurta jenama sendiri. Tahun ini, saya berhasrat untuk mendapat jualan lebih tinggi.

“Tahun ini, kita lebih bersemangat untuk menyambut lebaran. Ditambah pula dengan pelbagai kelonggaran, pastinya hari raya disambut dengan lebih meriah. Ramai juga rakan artis lain akan terlibat seperti Aedy Ashraf, Rozita Che Wan dan Ikmal Amry,” katanya teruja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN