‘Setiap hari ke kerja 20 jam?’ - Utusan Malaysia

‘Setiap hari ke kerja 20 jam?’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bukan menyebelahi sesiapa, namun pengarah dan penerbit filem, Aziz M. Osman yakin setiap produksi mempunyai sebab tersendiri apabila penggambaran terpaksa dijalankan melebihi masa sepatutnya.

Anak kelahiran Singapura itu bagaimanapun, turut menegur tindakan segelintir selebriti yang suka meluahkan ketidakpuasan hati di media sosial, sedangkan segala masalah boleh diselesaikan secara baik.

“Setiap hari ke penggambaran berjalan sehingga 20 jam? Mungkin satu atau dua hari sahaja apabila produksi terpaksa menghabiskan baki penggambaran disebabkan faktor tertentu.

“Kita kerja dengan manusia, semua pun penat. Kalau artis hendak mengeluh dan tidak tahan bekerja untuk tempoh masa lama, cakap terus-terang,” katanya.

Aziz yang terkenal menerusi francais filem XX Ray berkata, berdasarkan pengalamannya, kebanyakan produksi tidak dapat lari daripada kerja lebih masa.

Walaupun timbul pelbagai isu, ia dapat diselesaikan hasil permuafakatan sesama mereka tanpa melibatkan campur tangan pihak luar.

Sebagai contoh, semasa penggambaran Leftenan Adnan pada 1999, Aziz selaku pengarah pernah mengambil masa hampir 17 jam untuk menyelesaikan penggambaran.

“Masa itu call time pukul 2 petang dan penggambaran habis keesokan paginya sekitar pukul 7 pagi. Ia bagaimanapun, bersambung semula pukul 2 petang. Saya fikir ada enam jam untuk tidur, mungkin cukup masa semua berehat.

“Rupa-rupanya, ada kru yang tidak cukup tidur kerana perlu mengemas peralatan di set sebelum dapat berehat. Disebabkan perkara itu, mereka buat petisyen dan baru saya sedar masalah tersebut,” katanya.

Aziz berkata, dia juga pernah melalui konflik dengan Nasha Aziz yang disifatkan sebagai pelakon yang sentiasa melakukan persediaan rapi sebelum datang ke set penggambaran.

“Nasha sangat menjaga disiplin. Dia akan buat persediaan rapi sebelum memulakan penggambaran. Saya pula jenis yang suka memberi dialog secara langsung di set penggambaran. Disebabkan perkara itu, timbul isu.

“Dia mengadu kepada penerbit eksekutif dan saya terus bersemuka dengannya untuk meminta penjelasan sebenar. Akhirnya, isu tersebut dapat diselesaikan dengan mencapai kata sepakat,” katanya.

Pengalaman yang dilaluinya itu kata Aziz, menunjukkan setiap konflik boleh diselesaikan tanpa sebarang campur tangan pihak luar.

“Ini masalah ‘rumah tangga’, kita ada pengarah. Selesaikan cara baik dan bukan guna orang luar untuk selesaikan hal dalaman. Tidak perlu sampai ke tahap itu,” jelas pelakon drama fiksyen baharu, Legenda Puteri Qaseh itu.

KREDIBILITI TERCALAR

Aziz yang menduduki kerusi pengarah sejak 1990 mengakui, sudah memperlahankan kerja dalam bidang produksi.

Ditanya apakah dia merajuk hingga tergerak hati membawa haluan sendiri, Aziz mengakui, serik dengan segelintir individu yang suka mengambil kesempatan.

“Kalau buat filem semata-mata untuk untung besar, sudah lama saya kaya-raya. Selama ini, saya tidak pernah terfikir buat filem semata-mata mahu untung.

“Apa yang saya lakukan adalah kerana minat dan kesungguhan dalam industri perfileman,” katanya.

Aziz memberitahu, dia pernah ditawarkan peruntukan RM300,000 bagi menghasilkan filem.

“Dengan kos sebegitu, saya cakap baik lupakan sahaja. Semasa filem XX Ray III sepatutnya bajet adalah RM3 juta, tetapi disebabkan masalah dalaman, saya hanya dapat RM1.2 juta.

“Filem tersebut tidak sempurna sehingga dikecam penonton. Walaupun segala keburukan berlaku disebabkan orang lain, saya tidak pernah tuding jari dan ambil tanggungjawab itu sebagai pengarah,” jelasnya.

Disebabkan masalah tersebut, Aziz mengaku imej dan kredibilitinya sedikit tercalar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN