Popularkan kembali serunai daun kelapa - Utusan Malaysia

Popularkan kembali serunai daun kelapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Serunai daun kelapa merupakan sejenis alat muzik tradisional yang dimainkan kanak-kanak dan remaja zaman dahulu.

Sejajar pembangunan semasa, alat muzik ini kian hilang dari radar pemikiran generasi abad ke-21.

Ia diperbuat dari daun kelapa berbentuk tanduk, menjadikan serunai daun kelapa serumpun dengan tetuang tanduk kerbau.

Memuatkan artikel berkaitan…

Adiguru alatan tetuang, Rozali Abdul Rani, 49, berkata, serunai daun kelapa terhasil dari tuntutan dan pemikiran masyarakat silam berhubung ilmu bunyi.

“Penghasilannya dipengaruhi interaksi alam sekeliling, sekali gus memenuhi tuntutan rohani dan jasmani generasi terdahulu sebagai hiburan dan komunikasi.

“Dalam ilmu perang di hutan dan dalam gelap malam, serunai daun kelapa digunakan sebagai isyarat pasukan gempur,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam konteks ini ujarnya, ramai generasi baharu tidak mengenali serunai daun kelapa, apatah lagi tetuang tanduk kerbau, meskipun instrumen tradisional itu sudah lama digunakan dalam kalangan masyarakat Melayu.

Menurutnya, serunai daun kelapa dan tetuang boleh mengeluarkan bunyi atau gema menerusi getaran udara selepas ditiup serta turut berfungsi sebagai alat komunikasi pada zaman dahulu.

Bunyinya nyaring seperti serunai biasa, bagai­manapun ada kalanya seolah-olah beralun berdasarkan kekuatan nafas peniupnya.

Tiupan serunai daun kelapa berselang-seli dan bersahut-sahutan pada waktu pagi atau ambang senja menimbulkan semangat persahabatan dalam komuniti zaman silam.

Menyedari serunai daun kelapa sebagai khazanah, usaha mema­syarakatkan permainan itu menerusi medium pendidikan luar, dianjurkan Unit Kokurikulum Sekolah Kebangsaan Teh, Jerantut, Pahang, baru-baru ini.

Rozali yang juga jurulatih Pusat Latihan Guru Dalam Perkhidmatan ( PLGDP), Seri Tualang berbangga dapat membantu generasi muda mengembangkan budaya tempatan yang semakin tidak dipedulikan generasi abad ke-21.

Menurut Rozali, seramai 40 murid Tahap 2 sekolah berkenaan menjayakan program perkhemahan unit beruniform di Kem Susur Tembeling, Jerantut dengan membuat serunai (tetuang) daun kelapa.

Tambah beliau, menerusi slot ‘Tetuang sebagai semboyan dahulu kala’, peserta diajar membuat tetuang daripada daun kelapa yang mengeluarkan pelbagai bunyi mengasyikkan.

Menurutnya, kebanyakan peserta tidak menyedari serunai daun kelapa menjadi mainan popular nenek moyang mereka sebagai hiburan anak kampung di pedalaman.

“Membuat serunai (tetuang) daun kelapa perlukan ketelitian dan kemahiran kerana apabila ditiup, bunyi yang dihasilkan lebih merdu dan nyaring,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini