SEJAK mendirikan rumah tangga bersama usahawan, SM Nasarudin SM Nasimuddin pada 2010, pengacara, Marion Caunter jarang membuat kemunculan di skrin televisyen mahupun media cetak.
Ramai beranggapan, Marion atau nama lengkapnya, Marion Rose Caunter telah mengucapkan selamat tinggal kepada dunia pengacaraan bagi memberi tumpuan kepada rumah tangga dan membesarkan tiga cahaya matanya.
Hakikatnya, wanita berusia 42 tahun ini masih merindukan bidang tersebut. Marion yang ditemui pada majlis pelancaran koleksi terbaharu Rizman Ruzaini, baru-baru ini meluahkan keinginan untuk kembali mengacara seperti dahulu.
“Saya akui, memang jarang menerima tawaran mengacara selepas berkahwin. Saya tidak tahu mengapa, mungkin sebab itu ramai melihat saya seakan jauh dari dunia pengacaraan.
“Mungkin ada pihak beranggapan saya sudah tidak lagi mahu menjadi pengacara. Perkara itu tidak benar sama sekali dan ingin saya nyatakan, saya masih mahu melakukannya.
“Saya tidak pernah menutup pintu kepada tawaran pengacaraan, sebaliknya sangat mengalu-alukannya. Bagaimanapun, banyak perkara perlu saya pertimbangkan, antaranya tempoh bekerja dan topik rancangan yang akan dikendalikan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, kata Marion, suaminya tidak pernah campur tangan, apatah lagi menghalang sekiranya dia ingin kembali menjadi pengacara.
Katanya dia cukup bertuah dikurniakan pasangan hidup yang memahami dan sentiasa menyokong apa sahaja ingin dilakukannya.
“Dia tidak pernah menghalang, malah selalu memberi sokongan. Dia mahu saya berdikari dan itu antara sebab mengapa dia mengahwini saya.
“Saya menamatkan zaman gadis ketika berada di puncak kerjaya, berpeluang terbang ke negara orang dan mengacarakan program televisyen antarabangsa.
“Suami melihat pencapaian saya dan sampai kini, tidak pernah menghalang minat saya. Dia mahu saya gembira dan akan menyokong setiap perkara yang menggembirakan saya,” ujarnya.
Contoh untuk anak-anak
Marion dilemparkan pelbagai persepsi sejak mendirikan rumah tangga. Ada yang gembira, malah terdapat segelintir yang kurang senang melihat kebahagiaan anak kelahiran Pulau Pinang ini.
Marion menegaskan, dia tidak gemar terlalu bersenang-lenang dan hanya bergantung kepada suami sepenuhnya.
Tekannya, dia tetap mahu bekerja, meskipun sibuk menguruskan rumah tangga dan kebajikan suami serta anak-anak.
“Ada yang bertanya kenapa saya mahu bekerja? Saya katakan, kenapa tidak? Saya juga mahu mencari pendapatan dan beli apa yang saya mahukan menggunakan hasil titik peluh sendiri.
“Jadi, saya usahakan perniagaan hasilkan produk vitamin rambut yang saya harapkan dapat tembusi pasaran Asia Tenggara. Saya sibuk berniaga dan tidak bersenang-lenang.
“Saya sangat gembira apabila dapat bekerja semula, terutama selepas anak-anak membesar. Saya pilih untuk berdikari dan ingin menjadi contoh yang baik kepada anak-anak saya,” katanya.
Didik anak bersyukur
Berbahagi pandangan tentang cara mendidik dan membesarkan anak, Marion menyifatkan, ia cabaran sukar yang harus dilalui setiap individu yang bergelar ibu dan bapa.
Kata Marion, dia dan suami sentiasa mendidik anak-anak tentang bersyukur dengan rezeki diberikan Tuhan. Dia juga berharap ketiga-tiga anaknya membesar sebagai insan yang bertanggungjawab.
“Kami bertuah diberikan rezeki dan nikmat kesenangan. Kadang kala, kami menggembirakan anak-anak dengan sambutan hari jadi dan sebagainya.
“Tetapi, dalam membesarkan anak, saya dan suami sedar tentang batasan yang perlu kami jaga agar tidak berlebih-lebihan memanjakan mereka.
“Saya tidak memberikan apa sahaja yang mereka mahukan. Saya dan suami mendidik mereka agar selalu bersyukur dan sentiasa mengucapkan Alhamdulillah atas segala nikmat dan kebaikan yang mereka peroleh,” ujarnya.
Kata Marion lagi, penting untuk dia dan suami membesarkan anak-anak dalam persekitaran normal dan sederhana.
“Saya tidak mahu terlalu memberi mereka kemewahan. Mereka perlu berdikari apabila meningkat dewasa kelak.
“Saya beritahu anak-anak agar tidak bercakap tentang perkahwinan sehingga mereka bekerja dan memiliki kehidupan stabil hasil kerja keras sendiri,” jelasnya.










