Malam melankolik konsert Patah Hati - Utusan Malaysia

Malam melankolik konsert Patah Hati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAMBAKAN konsert yang dianjurkan membuktikan masyarakat dahagakan hiburan, terutama selepas meniti fasa pandemik yang hampir melumpuhkan industri seni.

Bagi memenuhi permintaan tersebut, syarikat ANS Diversified Sdn. Bhd. terpanggil untuk menganjurkan konsert Patah Hati pada 15 Mac depan di Zepp Kuala Lumpur.

Konsert tiga jam itu bakal menampilkan persembahan eksklusif enam penyanyi, solo dan berkumpulan yang mempunyai kelompok peminat tersendiri.

Mereka adalah Ernie Zakri, Noh Salleh, Naim Daniel, Aisha Retno, Insomniacks dan Nastia yang bakal mengalunkan lagu cinta dan melankolik.

Pengarah projek, Ahmad Faizal Zulkipli memaklumkan, kesemua artis terlibat mempunyai tarikan tersendiri dengan kelompok peminat memiliki kuasa beli yang tinggi.

“Barisan artis yang dipilih mempunyai nilai eksklusiviti, malah peminat sanggup bayar untuk tengok persembahan mereka.

“Mereka ini umpama magnet yang boleh menarik penonton. Dengan populariti yang ada, saya berharap jualan tiket untuk konsert ini akan sold out,” katanya.

Kata Ahmad Faizal, beberapa perkara telah digariskan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Katanya, semua artis yang membuat persembahan sudah sedia maklum dan akur dengan garis panduan yang ditetapkan penganjur.

“Dalam kontrak ada menyatakan syarat dari segi persembahan dan penampilan yang perlu dipatuhi.

“Kita mahukan sebuah konsert yang santai, pada masa sama mengelakkan kontroversi dan perkara tidak diingini berlaku,” jelasnya.

NOH SALLEH MASIH PILIH LAGU

Noh ketika dihubungi Utusan Malaysia memaklumkan, dia belum memutuskan rangkaian lagu yang akan dipersembahkan pada konsert itu nanti.

“Saya belum berbincang dengan penganjur tentang lagu yang akan dipersembahkan.

“Begitu juga bentuk persembahan, semuanya masih belum diputuskan buat masa ini,” katanya.

BAWA KELAINAN

Lebih selektif terhadap tawaran persembahan, Ernie Zakri menyifatkan pelawaan menjayakan konsert Patah Hati sebagai peluang keemasan.

Kata Ernie, dia berusaha memberikan kelainan kepada peminat untuk konsert itu nanti.

“Apa yang pasti, saya mahu sajikan pembaharuan, terutama dari segi susunan muzik kepada penonton yang dijangkakan datang daripada pelbagai latar belakang” katanya.

Kata Ernie, dia gembira kerana terus menjadi pilihan untuk beraksi dalam persembahan berskala besar.

“Saya mempunyai tempoh yang mencukupi untuk berehat dan membuat persediaan selepas menjayakan showcase, baru-baru ini.

“Saya gembira kerana dapat aktif semula bekerja, namun tidak terbeban. Penat memang ada, tetapi saya puas hati,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN