PADA usia 55 tahun, mungkin tiada apa yang lagi mahu dikejar penyanyi bersuara emas, Ziana Zain. Melewati 32 tahun perjalanan seni, pahit manis ditelan seiring. Itulah resmi kehidupan.
Namun, jauh di sudut hati, dia memasang impian untuk menjayakan sebuah konsert solo. Persembahan berskala besar menghimpunkan peminat yang selama ini ada ketika jatuh dan bangunnya.
“Sebenarnya, banyak yang tidak sempat saya lakukan, tahun lalu. Banyak juga yang saya tidak sangka terjadi pada 2022, namun perancangan Tuhan itu lebih indah.
“Konsert bersama Anuar Zain, sudah. Tetapi, kalau boleh, saya mengimpikan ada penaja yang sudi memberikan dana untuk persembahan solo pula. Usia saya sudah 55 tahun. Saya mahu sesuatu yang memberi kenangan terindah.
“Tetapi, saya hanya boleh berharap dan berangan. Mana tahu Tuhan akan makbulkan,” katanya.
Membuka helaian pencapaian tahun lalu, Ziana meluahkan syukur kerana banyak kejayaan dari segi karier dan kehidupan peribadi yang diukir. Semua itu baginya, tanda Allah sayang kepadanya.
“Banyak perkara menggembirakan terjadi, tahun lalu. Saya harap tahun ini akan lebih baik, sama ada dalam urusan dunia mahupun akhirat. Saya sangat bersyukur dengan nikmat rezeki Allah beri.
“Dapat buat konsert, anak-anak membesar dengan baik, malah ada yang sudah masuk universiti. Banyak impian yang telah termakbul. Seronok dan gembira dengan apa yang diraih sekarang.
“Tetapi, tetap ada ujiannya, namun semua itu saya lalui dengan reda dan tenang. Dia tidak akan uji kita di luar kemampuan, insya-Allah semuanya baik-baik sahaja,” ujarnya.
Ditanya apa lagi yang mahu dicapai, Ziana mengambil masa sebentar untuk menjawab. Perlahan dia melontarkan butir bicara:
“Saya sudah ada rumah, kereta. Tidak besar, tetapi mencukupi untuk kami satu keluarga. Apa lagi saya mahu? Anak-anak sudah besar, masing-masing pandai jaga diri, jaga solat. Itu sudah mencukupi.
“Cuma saya mohon, umur dipanjangkan. Saya mahu lihat anak-anak berjaya. Saya sudah sediakan jalan untuk mereka, harapnya mereka melangkah menuju kejayaan sebenar. Masa depan saya adalah mereka.
“Saya selalu nasihat, tolong diri sendiri untuk jadi manusia berguna dunia akhirat. Saya bekerja seorang, hidup seorang, jadi tolong saya juga. Saya mahu lihat mereka membesar dan menjadi orang baik,” kongsinya.
AKTIF BERLAKON
Melihatkan graf karier seni Ziana tahun lepas, boleh dikatakan dia semakin aktif dalam dunia lakonan. Beberapa drama bersiri dan telemovie menjadi bukti penglibatan semulanya dalam bidang lakonan.
“Memang saya kembali aktif berlakon. Cuma, komitmen perlu disusun dengan baik. Saya baru habis penggambaran drama raya, Family Yang Popular bersama Datuk Rahim Razali, Khatijah Tan dan Rashidi Ishak.
“Alhamdulillah, rezeki sentiasa ada. Disiplin kena jaga. Masa perlu tepati, insya-Allah orang senang bekerja,” katanya.
Lantas, di mana punca tenaga dan kekuatannya datang? Pada usia melepasi separuh abad, dia masih kekal relevan dan mampu beraksi dengan cukup baik.
“Ada masa kita bertenaga, tetapi tiba-tiba menurun. Bergantung kepada aktiviti harian kita. Sekarang, peminat juga berbeza. Kalau mereka mahu hentam, hentam sahaja.
“Alhamdulillah, saya masih menerima jemputan persembahan atau konsert seperti Konsert Ambang 2023 bersama Suria FM dan IOI City Mall, baru-baru ini. Ramai artis lain terlibat antaranya Kugiran Masdo, Andi Bernadee, Floor 88 dan Amir Masdi.
“Seronok bila dapat berkongsi pentas dengan anak-anak muda. Suria FM juga banyak membantu anak-anak seni. Alhamdulillah, rezeki,” katanya.










