KEMELUT rumah tangga, termasuk kes perceraian yang meningkat dalam masyarakat mencetuskan idea kepada pengarah berkaliber, Shahrulezad Mohammeddin untuk mengangkat isu tersebut sebagai fokus drama rantaian, Cina Buta.
Ternyata formula itu berhasil apabila drama lakonan Nad Zainal, Ungku Ismail Aziz, Aliff Aziz, Azhan Rani, Didie Alias dan Puteri Aishah yang bersiaran di Astro Ria itu mendapat sambutan luar biasa penonton.
Kata Shahrulezad, dia mahu membuka mata masyarakat tentang masalah sebenar mengakibatkan keruntuhan rumah tangga dan faktor yang menyumbang kepada peningkatan kes perceraian di negara ini.
“Cerita ini berkaitan pasangan suami isteri baru berkahwin. Pertembungan ego antara suami dan isteri adalah perkara yang biasa berlaku ketika usia perkahwinan masih setahun jagung.
“Hubungan pasangan suami isteri berkenaan akan bertukar toksik sekiranya masing-masing keras kepala, panas baran dan tidak matang.
“Kes penceraian banyak berlaku disebabkan masalah kecil seperti ego, pertembungan sikap, panas baran dan perangai pasangan yang toksik, berbanding melibatkan orang ketiga yang hanya menjadi kes terpencil,” katanya.
Mengulas lebih mendalam, Shahrulezad mahu membawa penonton memahami masalah dihadapi pasangan, Sharnaz dan Mia Sara yang dilakonkan Ungku Ismail dan Nad Zainal.
“Banyak jenis hubungan toksik yang cuba dipaparkan dalam drama ini. Cuma, saya ketengahkan dua karakter yang berkongsi persamaan iaitu sikap baran dan kepala angin.
“Kedua-duanya ada masalah ego, keras kepala dan terperangkap dalam hubungan bermasalah. Situasi seperti ini sangat dekat dengan masyarakat kita,” katanya.
Antara kelainan yang diketengahkan dalam drama 18 episod ini adalah cara percakapan dan komunikasi yang menggunakan bahasa santai dan lebih bersahaja. Jelas Shahrulezad, perkara itu disengajakan untuk mewujudkan hubung kait penonton dan karakter yang dilakonkan.
“Memang saya rancang dan cuba ketengahkan cara percakapan orang Kuala Lumpur (KL). Bagi orang luar, ia kedengaran janggal. tetapi pada mereka yang tinggal atau membesar di KL, cara percakapan sedemikian bukan perkara asing.
“Saya ingin berkongsi dengan penonton cara percakapan santai seperti itu juga dipraktikkan dalam masyarakat,” katanya.
Lakonan perlu menjadi – Azhan Rani
Drama Cina Buta menampilkan pelakon hebat dan berwibawa antaranya Azhan Rani yang membawakan watak Tan Sri.
Kata Azhan, antara keseronokan berlakon dalam drama tersebut adalah apabila digandingkan dengan pelakon hebat.
“Nampak karakter ini seperti tidak serius, namun kalau lakonan kami tidak menjadi, ia akan nampak bodoh.
“Bila digandingkan dengan Didie Alias, saya takut gagalkan dia. Kalau saya buruk, dia turut terkena tempiasnya. Jadi, saya kena fokus dan lepaskan.
“Pemilihan pelakon amat bertepatan dan mampu melunaskan kepercayaan diberikan. Saya juga tercabar apabila berkongsi layar dengan pelakon hebat seperti Nad. Kombinasi dan eksperimentasi yang menjadi.
“Saya seronok bekerja dengan Shahrulezad dan kru produksinya. Tambahan pula, skrip drama ini tidak memeningkan.
“Banyak babak yang dijayakan secara spontan. Saya dan Didie cuma diperlukan selama empat hari, namun pengalaman ketika berlakon drama ini sangat menyeronokkan,” kongsinya.
Puteri Aishah bebas warnai karakter
Membawakan watak Bibah Pekak, Puteri Aishah memaklumkan, dia diberi kebebasan untuk mewarnakan watak berkenaan mengikut caranya tersendiri.
“Berlakon sebagai Bibah Pekak memang seronok kerana saya tidak perlu mengenakan solekan berlebihan.
“Lebih menyeronokkan apabila saya diberi sedikit kebebasan dalam membentuk dialog untuk disesuaikan dengan karakter.
“Saya suka watak yang berlainan. Kalau diberi peluang membawakan watak seperti ini lagi, saya akan terima,” kongsinya.
Kata Puteri lagi, dia gembira kerana lakonannya dalam drama tersebut menjadi dan menerima reaksi positif penonton.
“Orang tidak tahu saya yang membawakan watak tersebut. Bila saya kongsikan di Instagram (IG), baru ramai yang perasan itu adalah saya,” jelasnya.










