Famili Duo: Jual bakat atau ‘drama’?

Famili Duo: Jual bakat atau ‘drama’?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERBANDING musim terdahulu, pujian wajar diberikan kepada produksi Famili Duo pada tahun ini apabila berjaya meraih perhatian ramai untuk terus melekat menonton siaran dari minggu ke minggu.

Diam tak diam, program siaran TV3 itu sudah memasuki babak terakhir pada Ahad ini, di mana tumpuan bakal terarah pada pentas final yang tentunya lebih menggamatkan.

Siapa sangka, sebuah program televisyen yang pada awalnya cuma sekadar suka-suka apabila menggabungkan pasangan penyanyi yang mempunyai ikatan persaudaraan, kini mampu menjadi antara program yang ditunggu-tunggu penonton saban minggu.

Boleh dilihat, betapa bersungguhnya stesen TV untuk memastikan program itu mendapat tempat di hati penonton, apatah lagi persaingan yang semakin hebat dalam dunia penyiaran itu sendiri.

Sama ada disengajakan atau tidak, Famili Duo juga dilihat seakan mengubah sasaran inti pati bahan tontonan.

Tidak hanya mempertaruhkan bakat peserta, program itu juga seakan ‘menjual’ bahan kandungan tontonan lain dan paling ketara adalah ‘drama’ sampingan yang kebetulan berupaya meraih perhatian sehingga tular di media sosial.

Baik kecaman terhadap pengacaranya, Janna Nick, komen pedas Mas Idayu sebagai juri, ragam peserta, termasuk kontroversi peribadi, ia secara tidak langsung menghangatkan lagi penganjuran program berkenaan.

Pendek kata, tahun ini, Famili Duo, memang paling drama!

Pun begitu, usah dilupa tumpuan asal pertandingan itu sendiri yang memberi ruang kepada peserta untuk menyerlahkan lagi bakat sedia ada.

Platform tersebut membantu artis yang bertanding untuk membuktikan kepada penonton kehadiran mereka dalam industri hiburan bukan semata-mata sekadar memeriahkan suasana.

Bagaimanapun, tidak dinafikan, terdapat beberapa peserta yang dilihat begitu bersungguh-sungguh memanfaatkan platform tersebut untuk mengetengahkan bakat, meskipun mungkin rezeki tidak berpihak kepada mereka untuk beraksi di pentas final.

Penyingkiran pada minggu ketujuh, Ahad lalu, menyaksikan tiga pasangan terpaksa akur apabila gagal mara ke pentas akhir, namun itu bukan bermakna mereka tidak bagus.

Siti Sisters misalnya, telah menunjukkan progres yang positif. Malah, sepanjang pembabitan mereka dalam Famili Duo musim ini, boleh dikatakan Siti Saida dan Siti Saerah semakin berani dalam membuat persembahan.

Begitu juga dengan duo Sabhi Saddi dan Fareedpf serta Ara Johari dan Shaffiq Erwin yang telah menunjukkan prestasi memberangsangkan sepanjang penglibatan mereka.

Bagaimanapun, kegagalan untuk mara ke pentas akhir, bukanlah bermakna ketiga-tiga pasangan duo ini sudah luntur semangat untuk meneruskan perjuangan seni masing-masing.

Bukan tidak berbakat, cuma rezeki tidak berpihak meskipun sudah berusaha memberikan yang terbaik.

Wang RM100,000 jadi buruan finalis

Sementara itu, beralih kepada peserta yang berjaya mara ke pentas akhir, pasangan adik-beradik, Ayda dan Fyna Jebat dilihat bijak menggerakkan permainan saban minggu.

Mereka membuktikan ternyata memang ada bakat, malah duo ini juga meletakkan usaha yang lebih dari segi props dan penguasaan pentas.

Mereka berdua sanggup berhabis untuk memastikan peluang bergelar juara tidak terlepas begitu sahaja.

Menyusuli jejak langkah mereka ialah Zaki Yamani dan Yamani Abdillah yang merupakan duo underdog dalam persaingan sengit dengan nama hebat lain di pentas Famili Duo.

Pasangan adik-beradik itu menunjukkan prestasi memberangsangkan sepanjang minggu dan menerusi persembahan pada minggu ketujuh, ramai meramalkan tidak mustahil trofi juara mampu menjadi milik mereka.

Selain itu, pasangan sepupu, Sissy Imann dan Naim Daniel juga mampu menyuntik kebimbangan di hati finalis memandangkan latar belakang mereka dalam bidang seni cukup kuat.

Menjelang minggu akhir, mereka antara duo yang menjadi bahan bualan ramai gara-gara terheret dengan isu komen pedas Mas Idayu. Namun, kontroversi yang melanda tidak membuatkan mereka patah semangat.

Bahkan, kemunculan Sissy meneruskan perjuangan pada minggu Separuh Akhir dipuji ramai, sekali gus menepis spekulasi dia mungkin menarik diri daripada program tersebut.

Selain itu, turut tersenarai sebagai finalis adalah duo, Wani Kayrie dan Bella Astillah yang turut menjadi tumpuan penonton.

Meskipun kecil-kecil cili padi, kedua-duanya juga mempunyai kekuatan tersendiri ketika beraksi di pentas dalam usaha memburu gelaran juara.

Namun, peminat juga mempunyai calon juara masing-masing. Pentas pertarungan pada Ahad ini tentunya lebih sengit dan bakal memberi kejutan buat semua dalam persaingan merebut wang tunai RM100,000 untuk dibawa pulang.

Famili Duo disiarkan secara langsung dari Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam dengan menampilkan Janna Nick dan Sean Lee sebagai pengacara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya