Duan Nago Bogho angkat dialek 'Kelate' - Utusan Malaysia

Duan Nago Bogho angkat dialek ‘Kelate’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK adil untuk merumuskan industri perfileman cenderung menganaktirikan penggunaan loghat atau dialek kenegerian dalam naskhah di layar perak.

Bukan tiada langsung, cuma mungkin tidak banyak yang dikomersialkan. Jumlahnya barangkali boleh dibilang dengan jari, malah ada kala sekadar diselitkan dalam lontaran dialog watak tertentu sesebuah karya.

Tidak ramai penerbit berani menanggung risiko kerana khuatir ia tidak dapat dijual, apatah lagi mengaut untung.

Bagaimanapun, apabila ada penerbit yang mula berani memecah tanggapan stereotaip kononnya ‘filem dialek tidak boleh jalan’, ia bagaikan menyuntik harapan baharu dalam perjuangan anak seni yang berusaha mengangkat nilai dan wajah masyarakat Malaysia di mata dunia.

Jika sebelum ini, filem Gadis Jolobu menekankan loghat Negeri Sembilan, misi sama kini dibawa produksi KalamAriff Holdings Sdn. Bhd. apabila mengangkat dialek Kelantan.

Menerusi filem Duan Nago Bogho, magis inti pati naskhah ini tidak cuma terlihat pada jalan cerita yang ingin diketengahkan.

Filem itu diperkuatkan lagi apabila mendapat sentuhan ‘anak Kelantan genius’, Sabri Yunus yang menduduki kerusi pengarah.

Bakal menemui penonton di pawagam bermula 19 Januari ini, berikut pandangan empat pelakon utama Duan Nago Bogho mengenai naskhah tersebut.

Kombinasi unik bahasa, budaya

Membawakan watak Nancy, pelakon, Jojo Goh berkata, antara sebab dia tertarik dengan naskhah ini kerana keunikan bahasa dan budaya yang diketengahkan.

Kata Jojo, biarpun tidak pandai berdialek Kelantan, naskhah ini baginya, cukup kaya dengan nilai seni dan budaya yang hanya sesekali ditonjolkan, terutama di layar perak.

“Saya gambarkan filem ini sebagai naskhah yang unik. Bayangkan, watak lelaki gangster, pada masa sama, dia begitu kuat memelihara maruah seni Mak Yong yang cukup terkenal di Kelantan.

“Penggunaan bahasa juga membuatkan saya seronok menjayakan filem ini. Untuk watak Nancy, saya tidak perlu fasih bertutur dialek Kelantan. Tetapi, saya seronok dapat belajar dan mendalami dialek itu secara tidak langsung.

“Mula-mula memang tidak faham, tetapi lama-kelamaan saya dapat meneka apa yang dipertuturkan,” katanya.

Sebagai pelakon, Jojo terbuka mempelbagaikan watak, selain berusaha meneroka bahasa dan budaya masyarakat lain.

“Kalau selepas ini ditawarkan berlakon filem Tamil, apa salahnya untuk mencuba? Memang saya tidak tahu cakap Tamil, tetapi kalau mendapat peluang bertutur sepatah dua dialog, pasti menarik.

“Tidak rugi belajar dan tahu pelbagai bahasa serta budaya, apatah lagi diberi peluang mengangkat nilai seni ke tahap lebih tinggi. Layar perak adalah salah satu usaha tersebut,” katanya.

Mampu angkat wajah Malaysia ke mata dunia

Menurut Sangeeta, dia berbangga diberi peluang menjayakan nakshah yang disifatkannya sarat dengan identiti masyarakat kita.

Malah, katanya, filem juga mampu menjadi medium atau platform terbaik untuk menarik lebih ramai penonton mengenali ‘wajah’ orang kita.

“Kita tidak perlu meniru filem luar kerana Malaysia sebenarnya sangat kaya dengan khazanah seni dan budaya. Semasa hadir ke Festival Filem Antarabangsa di Tokyo, Jepun, mereka mengakui kenal Malaysia menerusi karya Allahyarham Yasmin Ahmad.

“Bagi saya, kalau mahu menonjolkan seni dan budaya, filem antara platform yang berkesan.

“Setiap negeri ada pelbagai keunikan, contohnya budaya Kelantan yang ditonjolkan dalam filem ini. Kita perlu serlahkan supaya dunia boleh tengok apa yang kita ada.

“Kalau Datuk Ramli Ibrahim terkenal di luar negara dengan kemahiran tarian klasikal India, apa kata kita angkat pula seni Mak Yong bersama dialek Kelantan ke mata dunia,” katanya.

Duan Nago Bogho serlah sisi berbeza

Membawakan watak utama sebagai Duan, pelakon berusia 43 tahun ini berkata, walaupun menyelitkan unsur aksi , filem ini baginya kaya dengan keunikan seni dan budaya, terutama Mak Yong.

“Kalau nak jual aksi, banyak cerita atau filem lain dihasilkan. Kelebihan filem ini adalah elemen tradisi dan seni budaya yang dipertontonkan.

“Kita juga mahu buktikan, seni tradisi juga boleh diangkat dalam filem.

“Secara peribadi, watak Duan sangat istimewa kerana dia mahir Mak Yong, menyanyi, menari, bermain muzik dan berdikir barat dalam satu masa,” katanya.

Graduan Seni Persembahan dari Universiti Malaya (UM) itu akur, tidak mudah untuk menguasai Mak Yong.

“Saya ambil masa bertahun-tahun, malah sehingga sekarang masih mendalami dan menjiwai seni itu. Ia bukan sesuatu yang boleh direka-reka, terutama untuk memperkenalkan Mak Yong kepada orang luar.

“Kita kena hormat pada mereka yang mempertahankan dan memperjuangkan Mak Yong. Membawakan watak Duan adalah tanggungjawab besar,” katanya.

Pelihara seni budaya daripada hilang

Bagi Datuk Rosyam Nor yang membawakan watak Fendi BB, naskhah itu merupakan usaha yang baik untuk mengangkat seni dan budaya tempatan ke persada antarabangsa.

“Bagi saya, Duan Nago Bogho adalah wajah filem Malaysia. Ia memperlihatkan pertembungan yang unik untuk tujuan komersial.

“Kalau dilihat, budak-budak sekarang, ramai tidak tahu mengenai seni Mak Yong. Kalau kita tidak komersialkan melalui filem misalnya, tidak mustahil seni tradisi kita akan hilang begitu sahaja.

“Ini cara terbaik untuk memperkenalkan sesuatu budaya dan kesenian,” katanya.

Rosyam juga memuji usaha penerbit dan pengarah filem ini kerana berani memperjuangkan seni tradisi rakyat.

“Mungkin akan ada yang anggap ia membosankan apabila elemen tradisi disuntik dalam sesesebuah filem. Namun, mereka perlu tahu, ada rencah dan warna yang dicorakkan bagi menghasilkan naskhah yang cantik.

“Saya tahu, filem ini akan disokong ramai, terutama penonton dari Kelantan. Filem ini juga menampilkan ramai pelakon hebat.

“Gabungan pelakon pelbagai bangsa menjadikan ia naskhah yang mengangkat nilai perpaduan dan kaya elemen seni,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN