‘Slank akan terus hidup’ - Utusan Malaysia

‘Slank akan terus hidup’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKITAR era 1980-an, Slank adalah antara antara band yang menerajui kebangkitan muzik rock di Indonesia.

Bergerak seiring kumpulan rock tempatan, Search dan Wings, perkongsian warna muzik sama membuahkan persahabatan yang akrab, malah membina jambatan antara dua negara sehingga kini.

Lalu, apabila sekali lagi dipelawa beraksi di Kuala Lumpur, Slank yang dianggotai Kaka, Bimbim, Ivanka, Abdee dan Ridho sukar menolak, apatah lagi ia membuka ruang untuk mereka bertemu rakan lama di sini, selain peminat.

Menyatu dalam konsert 4 Dekad Slank yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, Ahad lalu, satu momen menarik dapat dilihat apabila Search turut turun padang menyaksikan persembahan sebagai tanda penghormatan dan sokongan buat teman lama mereka.

Menyajikan hampir 18 lagu, Slank ternyata masih berupaya menghiburkan peminat sehingga ramai terlupa yang sedang beraksi di pentas itu, rata-rata usia mereka sudah menjengah 50-an.

Bagaimanapun, usia bukan perkara utama yang ingin disentuh di sini. Tetapi, persoalan bagaimana Slank mampu bertahan sebagai kumpulan rock yang tidak tergugat, meskipun selera muzik pendengar berubah mengikut peredaran masa.

“Ini bukan kali pertama soalan begini diajukan dan kami tetap akan berikan jawapan yang sama. Memasuki angka empat dekad, kami percaya, persefahaman penting untuk sesebuah kumpulan.

“Perlu adil dan memberi sama rata. Bahkan, kami selalu berpegang kepada prinsip, harus mempunyai mimpi yang sama. Kami juga harus berterusan berkarya. Mungkin kerana itu, kami bertahan sehingga hari ini,” kata Kaka ketika ditemui pada sidang media, baru-baru ini.

JERAT DADAH

Bagaimanapun, onak dan duri yang dilalui tidak mengecualikan mereka daripada terjerat pelbagai episod kontroversi.

Hal itu diakui kelima-lima anggota kumpulan itu yang menganggap, semua pengalaman dilalui menjadi pengajaran dan momen berharga yang mematangkan mereka.

“Harus diakui, tempoh empat dekad juga menyaksikan kami melalui begitu banyak momen suka dan duka bersama. Ia proses dalam mematangkan kami. Malah, kalau ditanya, apakah momen paling buruk yang pernah dilalui, kami akan jawab jujur.

“Era 1990-an, kami pernah terlibat dengan masalah dadah. Bagaimanapun, hal tersebut dapat ditangani dan kami berjaya keluar daripada belenggu masalah itu untuk bangkit memberi tumpuan kepada apa yang kami mulakan iaitu muzik.

“Bila difikirkan semula, momen terburuk tidak boleh dipadam, tetapi ia menjadikan siapa kami hari ini,” katanya.

Ditanya sama ada mereka terharu menyaksikan masih ramai mengangkat muzik rock, Bimbim mempunyai pandangan tersendiri.

Katanya, perubahan muzik tidak dapat dielak, sementelah selera pendengar juga bukan sesuatu yang boleh dikawal.

“Namun, menyaksikan masih ramai menghargai muzik dan karya kami, ia membuatkan kami terharu dan bersyukur. Kami juga berbangga kerana banyak juga kumpulan indie yang bagus pada masa kini.

“Baik di Indonesia atau Malaysia, sekalipun menjayakan persembahan gig berskala kecil, peminat tetap memberikan sokongan kuat. Bagi kami, itu sesuatu yang positif.

“Industri muzik sama seperti fesyen, ia akan berputar setiap 20 tahun dan akan kembali,” katanya.

Menambah bicara sebelum menutup pertemuan, Abdee sempat berkongsi, dia percaya dengan sokongan berterusan peminat, Slank akan tetap menghasilkan karya dan bermuzik.

“Apa yang boleh dikatakan, insya-Allah, selagi Indonesia masih ‘berdiri’, selama Malaysia masih berjaya, Slank akan terus hidup,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN