MEMBUKA lembaran cerita, penyanyi, Shila Amzah mengakui, kegagalan rumah tangganya dengan Haris Idraki Ilias, menyingkap pelbagai cerita, meskipun dia berusaha menyembunyikan apa sebenarnya berlaku.
Pun begitu, Shila dalam sela waktu tertentu, ada ketika memberikan petanda tertentu seolah-olah sepanjang empat tahun melayari alam rumah tangga, dia menahan bebanan emosi.
Mengakui banyak berkorban atas nama hidup berkeluarga, Shila akur, ia bukan perasaan yang normal, memandangkan rumah tangga seharusnya diwarnai dengan cinta, kasih dan sayang.
“Apa yang boleh saya katakan, keindahan itu sudah tiada. Apabila perkara yang kita lakukan sehari-harian dilihat sebagai pengorbanan, di situ hilangnya warna dalam perhubungan.
“Saya tidak kata hidup saya dulu terkongkong atau disekat, tetapi ini stigma terhadap wanita yang berkahwin. Kita kena begitu begini, sedangkan sebagai suami isteri, kita harus sama-sama mengisi warna rumah tangga dengan kasih sayang.
“Kalau kita buat kerana terpaksa, itu adalah pengorbanan dan akan ada rasa kekurangan tentang keperluan diri,” katanya.
Lelah dengan semua itu, Shila sedar, dia harus keluar daripada perhubungan yang sudah hilang kemanisannya.
“Saya buat keputusan keluar daripada perkahwinan itu seminggu sebelum saya tulis lagu untuk menceritakan perasaan saya ketika itu. Saya akui, lagu Jauh Hati memang agak peribadi.
“Saya keluar rumah pada 12 November tahun lalu, Tetapi, sebelum itu, saya masih menjalankan tugas sebagai isteri. Ketika membeli barangan keperluan, saya tidak dapat halang air mata daripada jatuh.
“Saya menangis sepuas-puasnya. Apabila balik, saya dapat ilham untuk tulis lagu dan dalam masa 20 minit, Jauh Hati terhasil,” katanya.
Shila mengakui, dia berasa sedikit lega apabila dapat meluahkan apa yang ditanggung. Segala rasa dicurahkan dalam penulisan lagu.
“Saya mengambil sedikit masa untuk merawat jiwa. Bukan tidak move on, tetapi kita berhak merawat luka mengikut fasa sendiri. Tetapi, saya lega dan rasa ringan apabila mendapat kehidupan baharu.
“Satu perasaan yang luar biasa apabila dapat semula hidup kita. Saya sekarang semakin bahagia, ceria, aktif dan saya perlukan tenaga yang bagus daripada setiap orang yang ditemui,” katanya.
Masa untuk bangkit semula
Di sebalik kegagalan rumah tangganya, Shila akui, banyak perkara baik yang datang setelah dia nekad untuk bangkit semula.
Kata penyanyi berusia 32 tahun ini, dia tidak menyangka perjalanan kerjayanya juga tampak memberangsangkan.
“Semuanya berlaku begitu pantas, pada masa sama, setiap bulan ada sahaja momen indah yang tercipta. Satu persatu perkara baik datang, contohnya penyertaan dalam program The Masked Singer, Anugerah Juara Lagu (AJL), selain Gegar Vaganza musim kesembilan.
“Satu demi satu single dihasilkan, saya bagaikan dapat apa yang saya mahukan. Saya pilih untuk melancarkan Jauh Hati pada akhir tahun kerana mahu jadikan ia sebagai penutup yang indah untuk 2022.
“Saya ingin tinggalkan tahun ini dengan perasaan lega. Mahu mulakan tahun baharu nanti dengan semangat baharu sambil belajar daripada pengalaman lalu. Saya mahu jadi manusia yang lebih matang dan ibu yang baik serta kuat untuk anak saya,” katanya.
Permulaan 2023 yang sibuk
Sementara itu, ditanya perancangan tahun baharu, kata Shila, permulaan 2023 bakal menyaksikan dia kembali berdepan dengan jadual padat.
Ia termasuk memenuhi undangan persembahan sambutan tahun baharu di Singapura, di samping mencuri sedikit masa untuk bercuti.
“Balik daripada bercuti, saya akan kembali sibuk memandangkan perlu terbang ke Sydney, Australia untuk acara persembahan di sana. Selepas itu, saya akan sibuk menjalani latihan sempena AJL.
“Awal 2023 juga akan ada pengumuman mengenai perancangan konsert jelajah di seluruh negara nanti,” katanya.










