‘Sebelum kecam, cari dulu siapa Didie Alias’ - Utusan Malaysia

‘Sebelum kecam, cari dulu siapa Didie Alias’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALI ini pengacara, pelawak dan pelakon, Didie Alias menduduki kerusi juri musim baharu, The Masked Singer Malaysia.

Janjinya? Fesyen di luar kotak dan itu juga menjadi keunikan yang membentuk identiti Didie Alias.

Lantas, bersediakah dia untuk dikecam? Segelintir warganet pula ibarat menanti mangsa dan waktu sesuai, manakala Didie seolah-olah membuka luas ruang itu untuk mereka.

“Lama sebenarnya saya tidak terlibat dalam program realiti. Apabila mendapat tawaran The Masked Singer Malaysia, saya terus susun jadual. Ini antara program yang mendapat rating tinggi, jadi saya perlu terlibat untuk terus kekal relevan.

“Kalau bercakap mengenai fesyen,terpulang jika ada yang mahu mengecam. Anak muda yang mungkin tidak kenal Didie Alias boleh layari internet dulu.

“Mereka kena ingat, setiap juri ada karakter masing-masing. Sebelum mencerca penampilan saya, boleh buat kaji selidik dulu. Dari dulu lagi, saya memang suka tampil berbeza dan unik,” katanya.

Tampil dengan lebih gah, The Masked Singer Malaysia musim ketiga bakal membuka tirainya semula dengan kehadiran 15 barisan selebriti terkemuka terdiri daripada nama hebat pelbagai cabang seni.

Musim ketiga ini bakal menyaksikan penglibatan lapan personaliti menduduki kerusi juri tetap antaranya Elly Mazlein, Zul Ariffin, Sharnaaz Ahmad, Shuib, Emma Maembong dan Atu Zero.

Ratu Rock, Ella kembali sebagai juri untuk tiga musim berturut-turut, manakala pengacara tersohor, Datuk AC Mizal sekali lagi menggalas tugas sebagai hos.

Bakal membuka tirai pentas malam ini, 15 kostum menarik dan unik akan digayakan barisan peserta iaitu Mawar Berduri, Kurita, Si Tangkis, Betta Fish, Lollipop, Bertih Jagung, Zirafah, Abg Burger, Mr Parrot, Manggis, Pizza Panas, Brokoli, Nyoq Muda, Dewi Angsa dan Si Mawas.

Dalam pada itu, Didie mengakui tidak pernah ambil hati atau terasa dengan kecaman segelintir warganet yang mungkin sengaja mencipta kontroversi melibatkan penam­pilannnya.

Katanya, itu semua ibarat makanan insan seni dan untuk kekal bertahan, itu adalah antara kepahitan yang harus ditelan.

“Mungkin saya sudah terbiasa, jadi saya tidak kisah bila ada yang kecam. Sudah jadi makanan sejak azali. Cuma, era ini lebih senang dengan tinggalkan sahaja komen di Instagram atau Facebook,” ujarnya.

Bercakap tentang perkembangan kerjaya, anak seni berusia 50 tahun ini bakal menganjurkan festival jualan raya tahun hadapan, selain membintangi beberapa naskhah dan menjayakan pelbagai program.

‘Tahun hadapan sibuk sedikit. Alhamdulillah, rezeki. Tetapi, tidak boleh cerita banyak, nanti ada yang dengki. Tidak adalah, semua rezeki itu Allah SWT yang beri,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN