“SAYANG, mereka sudah belikan tiket. Macam tidak percaya saya akhirnya akan jejak bumi Jordan.”
Itu antara kata yang terungkap dari bibir Nana Mahazan, saat melayangkan berita kepada suami, Mohamed Raqeem Brian Abdullah, mengenai hasratnya menyertai misi bantuan musim sejuk untuk pelarian Syria di Jordan.
Jika tiada aral, tanggal 12 Januari depan akan menyaksikan pengacara dan usahawan itu berangkat ke sana bersama-sama penganjur, Muslim Volunteer Malaysia (MVM) dalam melunaskan misi kemanusiaan.
Misi antarabangsa kelolaan Jabatan Program & Hal Ehwal Kemanusiaan MVM itu dalam rangka mengutip sumbangan sebanyak RM500,000.
Berkongsi perkara itu, Nana berkata, dia tidak pernah terfikir peluang itu akan hadir dalam hidupnya, meskipun sudah sering terlibat dalam program bantuan di pelbagai lokasi di tanah air.
Baginya, peluang menyertai misi bantuan pelarian Syria ini adalah antara perkara terbesar pernah berlaku dalam hidupnya.
Peluang itu katanya, harus didakap erat sebagai pengalaman yang mungkin tidak akan dapat dilupakan sehingga akhir hayat.
“Tidak pernah terlintas di minda saya akan sertai misi kemanusiaan seperti ini. Saya akui, memang selalu rasa bahagia apabila dapat membantu dan menggembirakan orang lain. Saya rasa tenang dan seronok bila dapat menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
“Saya tidak kisah untuk terlibat atau turun padang bila ada program amal dilaksanakan, sama ada untuk misi bantuan banjir atau sebagainya, saya cuba bantu mana yang boleh.
“Tetapi, apabila diberi peluang menyertai misi bantuan pelarian Syria ini, jujur saya katakan, perasaannya berbeza sangat. Pelbagai emosi dan rasa bercampur baur. Kali ini, ia sangat berbeza,” katanya.
Menceritakan perkara itu, kata Nana yang dipilih sebagai ikon misi ini oleh MVM, bohong jika dia tidak dilanda bimbang dan gemuruh.
Satu sebabnya dari sudut keselamatan dan kedua, Nana sendiri ‘berperang’ dengan dirinya yang masih tidak percaya kemampuannya untuk memastikan dia dapat membawa sesuatu yang dapat membuka minda masyarakat sekembali dari Jordan nanti.
“Saya tertanya-tanya, adakah saya mampu melakukannya? Saya ambil ini sebagai cabaran dan tanggungjawab yang saya perlu dilunaskan. Tetapi, jauh di sudut hati, saya tidak boleh tipu sedang berperang dengan diri.
“Namun, saya kumpul semangat yang ada dan anggap misi ini sebagai sebahagian usaha untuk membantu saudara di sana. Tidak besar mana pun sumbangan saya di dunia ini, bahkan untuk negara.
“Tetapi, saya fikir, sekurang-kurangnya, saya boleh jadi contoh buat anak-anak, rakan-rakan atau orang sekeliling, sekali gus menyuntik inspirasi kepada mereka untuk terus melakukan kebaikan.
Biarpun mungkin cuma hanya seorang yang ikut jejak, saya bahagia kerana dapat lakukan sesuatu,” katanya.
Rasa diri tidak layak
Berkongsi lanjut, bekas penyampai radio Era itu berkata, dia pernah beranggapan, dirinya tidak layak menyertai misi kemanusiaan seperti ini, memandangkan sebelum ini, imej dan gayanya tidak muslimah.
Bagaimanapun, Nana sedar, ia tidak seharusnya dijadikan sebagai halangan. Dia juga tidak menafikan, selepas berhijrah, banyak perkara baik mula melingkari kehidupan dan kerjayanya.
“Sebelum ini, sebagai selebriti dengan imej tidak bertudung dan funky, orang selalu pandang seolah-olah saya tidak tahu agama.
“Jujurnya, saya rasa tersinggung dengan tanggapan seperti itu. Penilaian mereka seolah-olah saya bukan orang yang baik.
“Namun, saya tetap teruskan kerja amal tanpa berharap untuk disanjung. Saya lihat, persepsi orang mula berbeza apabila saya bertudung. Walhal, sebelum itu, saya selalu rasa terpinggir dan tidak layak menghadiri majlis atau bersama orang yang berilmu.
“Disebabkan imej saya ketika itu, saya rasa orang tidak mahu jemput saya sertai program ilmu. Tetapi, saya selalu lihat dari sudut positif, mungkin orang tidak tahu saya tiada masalah untuk sertai majlis ilmu. Saya tidak mahu salahkan orang lain,” katanya.
Mahu suntik kesedaran
Menggalas tanggungjawab besar sebagai ikon MVM, Nana sedar, dia perlu memainkan peranan dalam usaha menarik pelbagai pihak menyumbang kepada misi kemanusiaan itu.
Mengakui bukan tugas yang mudah, Nana bagaimanapun enggan terlalu awal berputus asa dan berusaha melakukan yang terbaik supaya hasrat murni itu tercapai.
“Memandangkan tidak pernah ke sana, saya tidak boleh bayangkan keadaan sebenar tempat itu. Menonton rakaman video, tentunya tidak sama dengan merasai sendiri pengalaman di sana.
“Tetapi, itulah tanggungjawab saya dalam misi ini. Cabarannya, apabila pulang nanti saya perlu pastikan rasa dan jiwa sepanjang di sana dapat disampaikan kepada rakyat di negara ini dengan berkesan agar lebih banyak sumbangan dapat dikumpulkan.
“Mungkin juga apabila berkongsi tentang kempen kesedaran, ada yang tidak peduli. Tetapi, ia tidak akan sesekali membuatkan saya berputus asa untuk berkongsi perkara baik. Saya yakin, perlahan-lahan impaknya akan tetap kelihatan.
“Saya akan gunakan suara sebagai selebriti untuk memastikan lebih banyak pihak mendengar, sekali gus menyalurkan bantuan. Media sosial juga penting dan saya akan jadikan ia sebagai platform untuk melaksanakan kempen kesedaran ini,” katanya.
Dalam pada itu, menurut Nana, dia juga telah diminta MVM untuk mengikuti kelas pengurusan trauma sebelum berangkat ke Jordan.
Katanya, ia sebagai antara persiapan utama dari sudut kesihatan mental selama seminggu berada di Jordan nanti.
“Kelas itu memang penting dalam memastikan mental saya benar-benar bersedia, sama ada ketika berada di sana mahupun selepas pulang nanti.
“Saya tidak berani janji mampu kawal diri dengan baik kerana hati saya rapuh dan mudah tersentuh. Dapat berita dipilih menyertai misi ini pun, air mata saya mengalir. Inikan pula bila sudah berada di sana.
“Mujurlah suami dan keluarga sangat memahami dan sokong usaha saya. Mereka adalah sistem sokongan terkuat saya,” katanya.










