Mira Filzah tunggu masa sesuai berlakon - Utusan Malaysia

Mira Filzah tunggu masa sesuai berlakon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAMANYA seakan menyepi selepas melahirkan anak pertama Mei lalu.

Kesibukan menguruskan rumah tangga membuatkan Mira Filzah jarang tampil di skrin televisyen dan media arus perdana.

Kemunculan empunya nama penuh, Nur Amirah Filzah Badioezaman pada majlis anjuran Rizman Ruzaini, baru-baru ini memberi ruang untuk mendapatkan cerita terbaharu mengenainya.

Mira yang tampil serba putih pada majlis tersebut memaklumkan, keinginan untuk kembali berlakon amat menebal setelah lama menyepi.

“Insya-Allah, tahun depan saya akan berlakon semula. Buat masa ini, saya masih mempertimbangkan beberapa tawaran untuk disesuaikan dengan masa.

“Sebenarnya, ada beberapa syarikat produksi yang memberikan tawaran selepas saya habis berpantang. Ketika itu, saya tidak dapat memberi kata putus kerana sibuk menguruskan rumah tangga dan anak.

“Alhamdulillah, sekarang bila sudah ada pembantu, saya boleh pertimbangkan untuk berlakon semula,” katanya.

Kata Mira, menjadi ibu tidak menghalang dirinya melakonkan pelbagai jenis watak. Cuma, anak kelahiran Ipoh, Perak ini lebih mementingkan kesesuaian masa dan lokasi.

“Saya tidak kisah tentang watak kerana saya ingin melepas rindu di lokasi penggambaran. Buat masa ini, saya kena tengok tawaran yang betul-betul bersesuaian. Sebagai ibu, anak tetap jadi keutamaan.

“Tahun ini semua sudah disusun dengan baik. Jadi, tidak ada masalah untuk saya berlakon tahun depan,” katanya lagi.

Anak dapat tawaran iklan

Selain ditawarkan berlakon, Mira berkata, dia juga menerima pelawaan pihak tertentu yang ingin menampilkan anaknya, Wan Khair Amir dalam iklan.

“Saya masih pertimbangkan perkara itu. Kalau berat untuk dia, saya tolak cara baik.

“Saya lihat anak suka tengok kamera. Tetapi, saya tidak galakkan dia muncul dalam drama kerana masih bayi.

“Apa juga keputusan yang diambil, saya kena utamakan yang terbaik untuk dia,” jelasnya.

Sebagai ibu, Mira tidak menggalakkan anaknya berlakon pada awal usia. Katanya, dia mahu anaknya membesar seperti kanak-kanak lain.

“Saya mahu dia pergi ke sekolah, ada masa untuk zaman kanak-kanak, bermain bersama kawan-kawan dan sebagainya. Jadi, saya tidak galakkan dia berlakon pada usia terlalu muda,” ujarnya.

Asalkan rezeki ada

Mira Filzah pernah berada di kemuncak populariti, sekali gus meletakkan dirinya sebagai pelakon buruan penerbit dan pengarah.

Bagaimanapun, kemunculannya agak terbatas selepas bergelar isteri dan ibu.

“Dari sudut kerjaya, tawaran tidak menyusut kerana rezeki saya lebih kepada menjadi jurucakap produk. Mungkin dalam dunia lakonan agak perlahan kerana saya belum memberikan kata persetujuan untuk mana-mana produksi.

“Untuk kembali popular seperti yang dikecapi pada 2019, saya tidak lagi fikirkan. Saya pernah mencapai tahap itu, jadi sekarang saya rasa okey. Tidak perlu lagi kejar perkara itu. Senang cerita, asalkan rezeki ada, itu sudah memadai,” katanya.

Mira juga percaya, populariti bukan satu-satunya penanda aras yang meletakkan dia sebagai pilihan mewakili jenama besar.

“Saya percaya, imej dan personaliti yang bersih juga antara faktor yang dipertimbangkan jenama besar sebelum memilih seseorang selebriti untuk mewakili produk mereka. Bukan populariti semata-mata

“Populariti dan imej yang baik kena bergerak seiring. Selagi saya menjaga imej, media sosial juga bersih tanpa sebarang perkara negatif, insya-Allah tawaran akan sentiasa ada,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN