KALENDAR tahunan bakal bertukar baharu, mencipta lebih banyak harapan dan memastikan kemungkinan. Industri seni juga tidak terkecuali. Tahun ini, banyak kejayaan telah diukir dan tersemat dalam sejarah.
Kita harus berbangga, biarpun ada yang bertongkat, merangkak melepasi fasa pandemik, setiap penggiat seni tetap teguh melangkah dalam memastikan kanvas yang memotretkan kejayaan akan terus diwarnai.
Filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan menjadi antara naskhah paling berjaya dalam sejarah perfileman negara. Kutipan RM97 juta dalam tempoh tayangan membuktikan filem tempatan mampu menjadi tuan di bumi sendiri.
Biarpun ada pihak yang memandang filem itu tidak cukup Melayunya, kita harus berbangga apabila rakyat memberi kepercayaan kepada naskhah tempatan mengatasi karya luar negara.
Malah, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan turut menembusi pawagam luar negara seperti Indonesia yang sebelum ini cukup sukar untuk karya luar menapak.
Pengarah filem tersebut, Syamsul berkata, filem hasil anak tempatan sebenarnya mempunyai nilai pasaran yang sangat tinggi dan tiba masa kepercayaan penonton digunakan sebaiknya.
“Tiada siapa pernah meramalkan kejayaan ini. Tetapi saya yakin, pelakon dan pengarah filem tempatan boleh mencipta kejayaan lebih tinggi serta menyaingi naskhah Hollywood dalam carta pecah panggung.
“Kita boleh! Filem Mat Kilau sudah mengatasi naskhah Hollywood seperti Star Wars, The Avengers, Jurassic World, Fast and Furious dan banyak lagi untuk jumlah kutipan tiket di Malaysia,” ujarnya.
Mengikuti rapat, filem Air Force: Selagi Bernyawa juga mencipta kejayaan tersendiri apabila mengutip lebih RM30 juta dalam tempoh tayangan yang ditetapkan. Ini membuktikan industri perfileman sudah kembali bernafas.
Tidak ketinggalan, filem animasi tempatan, Mechamato Movie berjaya menyaingi naskhah paling ditunggu untuk tahun ini, Avatar 2: Way Of Water dengan kutipan lebih RM27 juta. Sesuatu yang cukup membanggakan.
Lebih manis, filem Eva yang dijangka bakal ditayangkan tahun hadapan mencipta kejutan apabila terpilih sebagai pemenang anugerah bulanan (Julai 2022) bagi kategori thriller dan suspen di Festival Filem Cannes, baru-baru ini.
Dalam pencalonan awal, filem sulung arahan Suhaiza Aziz itu bersaing dengan dua naskhah lain iaitu Deadline dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Ivy dari Jerman.
Biarpun ada beberapa naskhah baik tahun ini yang sedikit ‘tercicir’ dari segi jumlah kutipan, beberapa filem yang disebut di atas berjaya mencerminkan industri perfileman kita sudah bergerak lebih laju.
Penggiat filem tempatan juga sudah pastinya harus berlari sama untuk terus menghasilkan karya yang bermutu tinggi dan siapa tahu, satu hari nanti trofi Anugerah Academy bakal kita rangkul.
KEBANGKITAN SEMULA INDUSTRI MUZIK
INDUSTRI muzik tidak kurang hebatnya. Melihatkan karya yang dihasilkan tahun ini, ternyata penggiat muzik juga sudah mara ke hadapan. Tidak mahu hanya statik dalam zon selasa.
Anugerah Industri Muzik (AIM) yang bangkit daripada hibernasi selama lima tahun juga memperlihatkan barisan pengkarya muda mendominasi kemenangan. Itu mencerminkan masa depan industri muzik berada di tangan yang benar.
Mungkin terlalu awal untuk kita menabur pujian, apatah lagi mereka bakal berdepan dengan kelajuan peredaran era muzik yang sangat mencabar, namun sokongan dan dorongan harus seiring harapan.
Kemenangan Yonnyboi merangkul anugerah besar, Album Terbaik juga membuktikan anak-anak muda tempatan mampu menghasilkan karya bermutu tinggi, biarpun dikekang oleh pergerakan ketika pandemik.
Tidak hairan, maestro muzik yang juga ketua juri AIM 32, Datuk Mokhzani Ismail menyifatkan, karya muzik dihasilkan dalam tempoh pandemik sangat hebat dan menjadi petanda positif perkembangan sektor kreatif biarpun dunia berdepan penularan Covid-19.
“Saya lihat karya selepas pandemik sangat hebat. Tempoh berkurung memberi pengkarya cukup masa untuk memerah otak sehingga terhasilnya produk yang bermutu.
“Walaupun ada kekangan daripada sudut pergerakan, tempoh itu dimanfaatkan sebaiknya untuk menghasilkan produk yang hebat,” katanya.
Malah, tahun ini juga memperlihatkan kebanjiran konsert anak seni tempatan bersaing dengan penyanyi luar negara. Ada yang melihat itu sebagai halangan, tetapi sebenarnya kehebatan anak seni tempatan terbukti.
Nama besar seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Anuar Zain, Ziana Zain, Search dan Wings berjaya menjual habis tiket konsert mereka. Biarpun berselang minggu sahaja, peminat tidak terasa beban.
Tidak terkecuali, penyanyi muda seperti Aina Abdul, Ernie Zakri, Syamel dan Khai Bahar dilihat antara nama yang bakal meneruskan kejayaan pemuzik tempatan ke peringkat lebih tinggi.
Kehadiran penyanyi luar negara seperti Datuk Seri Rossa, Afgan, Dewa 19 dan Ungu juga membuktikan industri seni muzik sudah kembali bernafas.
Tahun 2023 bakal lembaran baru untuk penggiat seni tidak kira muzik atau filem. Lebih banyak kejayaan harus dicipta, namun yang penting, kepercayaan dan sokongan rakyat terhadap karya tempatan harus dipegang erat.
Semoga yang muda berbakat terus didukung dan yang lama diberi peluang. Semoga pintu kejayaan terbuka luas dan memberi sinar kepada penggiat seni. Bergerak ke hadapan dan jangan lupa memberi ihsan. Buat semua penggiat seni tanah air, ayuh kita boleh!











