Kehilangan itu masih berbekas - Azmi Saat - Utusan Malaysia

Kehilangan itu masih berbekas – Azmi Saat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DIUJI kehilangan anak tahun lalu bukan sesuatu yang mudah untuk diharungi vokalis Caliph Buskers, Azmi Saat, 35, dan isteri, Nazira Muhammad, 36.

Apatah lagi, pasangan tersebut begitu mendambakan kehadiran zuriat selepas usia perkahwinan menjangkau 10 tahun.

Bagaimanapun, Azmi reda dengan ketentuan Tuhan. Baginya, apa lebih utama ketika ini adalah keadaan isteri yang memerlukan perhatian selepas diuji kehilangan bayi yang baru dilahirkan.

“Alhamdulillah, dia semakin okey, tetapi belum stabil sepenuhnya. Saya perlu memberi ruang kepada isteri untuk mendapatkan semula kekuatan, selain elak bercakap tentang rancangan mendapatkan anak.

“Emosinya masih rapuh dan dia juga belum bersedia untuk menimang cahaya mata kerana masih trauma dengan apa yang kami lalui.

“Saya pernah bertanyakan soal anak, tetapi dia hanya mendiamkan diri. Jadi, saya tidak lagi bercakap tentang perkara itu. Saya hanya mahu dia tenang dan tidak terganggu,” ujarnya.

Kata Azmi, tumpuannya sekarang adalah untuk menceriakan isterinya dengan melakukan perkara yang boleh menggembirakan mereka berdua.

“Bila isteri sedih, cepat-cepat saya dekati dan peluk dia. Orang lain tidak faham apa yang dirasainya, justeru nasihat dan saranan untuk bersabar atas apa yang berlaku bukan cara tenangkan dia.

“Kami sering melancong untuk tenangkan fikiran. Destinasi yang kami pilih bukan tempat yang cantik, sebaliknya membolehkan kami melakukan aktiviti bersama.

“Baru-baru ini, kami ke Langkawi dan lakukan aktiviti parasailing bersama-sama. Kami kena banyakkan aktiviti seperti ini untuk alihkan fikiran tentang anak,” kongsinya.

Kata Azmi lagi, dia percaya rezeki zuriat adalah ketentuan Tuhan. Dia dan isteri tidak pernah putus usaha mendapatkan zuriat.

“Bila saya katakan tidak mahu fikirkan soal anak, tidak bermaksud kami tidak berusaha. Saya percaya, belum ada rezeki.

“Buat masa ini, kami enjoy dengan kehidupan dan belum terfikir untuk melakukan rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) dan sebagainya,” ujarnya.

Syukur keluarga memahami

Azmi berkata, dia bersyukur dikurniakan ahli keluarga yang memahami keadaan mereka.

Katanya, dia dan isteri terharu dengan keprihatinan keluarga kedua-dua belah pihak yang faham dan tidak pernah membangkitkan soal zuriat di hadapan mereka.

“Ketika kami berdepan saat sukar selepas kehilangan anak, mereka banyak memberikan sokongan. Mereka faham dan menjaga hati kami,” katanya.

Kongsi Azmi, dia turut lega kerana ibunya juga memahami, malah tidak pernah membangkitkan isu tersebut.

“Saya pernah meminta maaf kepadanya kerana belum dapat menghadiahkan dia cucu. Tetapi, dia sangat memahami.

“Katanya, kami kena percaya rezeki zuriat adalah ketentuan Allah,” katanya lagi.

Single baru? Insya-Allah tahun depan

Bercerita tentang single terbaru, Azmi memaklumkan, buat masa ini, dia dan anggota Caliph Buskers masih mencari lagu yang sesuai untuk dihadiahkan kepada peminat.

“Kami belum bertemu lagu yang sesuai untuk dirakamkan. Insya-Allah, kami akan berikan tumpuan untuk single baharu, tahun hadapan.

“Sebelum ini, anggota Caliph Buskers jarang dapat berkumpul bersama kerana penularan Covid-19.

“Alhamdulillah, keadaan sekarang sudah pulih, tawaran persembahan juga semakin bertambah. Insya-Allah, tahun hadapan kami boleh menghadiahkan sesuatu untuk peminat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN